Isu judi, PRN Melaka curi tumpuan muktamar PAS
Oleh M Faqih |
ISU judi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Perikatan Nasional (PN) dijangka menghangatkan muktamar PAS kali ini. Pentasnya di Kota Bharu. Gelanggang perdebatan bermula esok dijangka menarik perhatian perwakilan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak.
Pada 12 Ogos lepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.
Malah mahkamah juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000. Mahkamah mengekal keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi berkaitan kawal selia perniagaan perjudian.
Mahkamah memberitahu kawal selianya terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan (Kementerian Kewangan) menerusi Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953.
Lebih aneh lagi kerajaan negeri dianggap tiada kuasa untuk mengharamkan aktiviti yang telah diluluskan lesen oleh pihak berkuasa Persekutuan.

Bagaimanapun pada prosiding sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Dato’ Azizah Nawawi dilapor menyifatkan keputusan Kerajaan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen premis pertaruhan nombor ramalan tidak seharusnya dicampuri mahkamah.
Menurutnya keputusan membabitkan budi bicara kerajaan negeri serta pertimbangan berkaitan kebajikan rakyat Kedah mengatasi kepentingan peribadi pengendali berkenaan.
Sebelum itu enam permohonan semakan kehakiman difailkan ejen pertaruhan nombor ramalan dan syarikat pertaruhan nombor ramalan bagi mencabar keputusan kerajaan negeri.
Mungkin ada perwakilan akan berhujah tauke judi akan segar semula di Kedah. Sedangkan majoriti rakyat memberi mandat kepada PAS bagi membolehkan perkara yang menyimpang daripada moral dibanteras.

Pada November 2021 Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada kenyataan memberitah kerajaan negeri akan menghentikan pembaharuan lesen pihak berkuasa tempatan bagi premis judi bermula 1 Januari 2023.
Gejala sosial
Langkah itu sebagai sebahagian usaha untuk membendung gejala sosial. Isu terbabit benar-benar mencabar usaha kerajaan Kedah bagi melahirkan kesejahteraan hidup rakyat.

Maka kesempatan muktamar kali ini menjadi gelanggang terbaik bagi perwakilan mendebatkan semula isu tersebut. Setidak-tidaknya mencari solusi terbaik bagi membolehkan perkara yang bertentangan dengan moral manusia dibanteras.
Judi bukan sahaja ditegah dalam Islam, sebaliknya ia juga dilarang agama-agama lain. Dalam Bible penganut Kristian dilarang sifat tamak, cinta kepada wang dan perbuatan merugikan diri serta orang lain.
Malah, Buddha menasihatkan penganutnya menjauhi judi dan Hindu pula menganggap judi sebagai perbuatan yang merosakkan jiwa serta menjauhkan seseorang daripada nilai kebenaran.
Lebih malangnya lagi ketika isu itu hangat diperdebatkan rakyat, Kerajaan Madani seperti membisu. Juga tidak kedengaran suara pemimpin Amanah, yang pernah mengganggap mereka sebagai parti Islam.
Bersatu

Isu PN dengan kerenah Bersatu juga mungkin mencuri perhatian perwakilan. PN perlu merangka hala tuju yang jelas selepas Bersatu semakin hilang identiti. Keputusan secara kolektif diperlukan lebih-lebih lagi bagi menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.
Sekiranya Bersatu membawa diri seperti berlaku pada PRN Negeri Sembilan, PN perlu membuat keputusan tegas. Setidak-tidaknya menunggu keputusan muktamad Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas aduan dibuat Bersatu.
PRN Melaka agak berbeza berbanding PRN Negeri Sembilan memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) belum membuat keputusan yang jelas. Ruang yang terbuka itu membolehkan Pakatan Harapan (PH) juga mengintai peluang untuk memikatkan Umno.
Sekiranya Umno memilih PH, kemungkinan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN lepas sukar dipertahankan. Ini kerana kebelakangan ini penolakan pengundi Melayu terhadap DAP tidak mampu disembunyikan lagi.

Ia terbukti berlaku pada PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Bagi pemerhati politik, Dr Armin Baniaz Pahamin antara formula yang boleh dipertimbangkan BN dibiar mempertahankan 20 kerusi dan lapan lagi diberi kepada PN.
“Atau 21 kerusi kepada BN dan tujuh kepada PN, berdasar kebolehmenangan. Namun, angka tersebut tidak harus menjadi keputusan awal yang kaku.
“Pembahagian muktamad mesti ditentukan melalui data pilihan raya terkini, kekuatan jentera, penerimaan calon dan potensi kemenangan di setiap kawasan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Dan sudah tentu medan muktamar kali ini formula pembahagian kerusi akan dirungkaikan. Ia menjadi harapan kepada perwakilan dari Melaka untuk membolehkan PAS dan PN mengintai peluang mentadbir negeri.
Maka tidak dapat disembunyikan lagi muktamar kali ke-72 begitu penting bagi menentukan hala tuju PAS ketika parti itu sudah melangkah ke arus perdana politik negara sejak 2022. Impian perwakilan PAS, juara PRU16 bukan lagi milik PH.


