Laungan tawan Selangor bergema di Muktamar Pemuda
Oleh Aslani M |
LAUNGAN tawan Selangor bergema di Muktamar Dewan Pemuda PAS di sebuah hotel di tepi Sungai Kelantan di Kota Bharu petang ini.

Sebelum itu wakil Kedah, Ilyas Ahmad mencabar Pemuda PAS Selangor memastikan Ahli Parlimen Hulu Hangat, Mohd Sany Hamzan tidak lagi dipilih rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya kenyataan pemimpin Amanah terbabit mempersoalkan sama ada tindakan menyalahgunakan wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah jika dilakukan individu Melayu beragama Islam.
“Yang Berhormat Gombak (Amirudin) jadi masalah kenapa, tak mengapa jika nak curi, rompak atau sakau yang penting yang mengambil duit itu orang Melayu,” kata Mohd Sany di Dewan Rakyat baru-baru ini. Beliau mencelah ketika Dato’ Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berbahas.

Ketika tiba giliran perbahasan perwakilan Selangor, Mohd Zulwafi Bahaudin segera menyahut seruan tersebut bagi memastikan ahli parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) terbabit tidak dipilih pada PRU akan datang.
Selangor antara negeri menjadi sasaran PAS dan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) melalui penyatuan ummah pada PRU ke-16 tidak lama lagi.
Usaha itu ternyata berkesan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lepas apabila kerajaan PH yang menguasai negeri terbabit sejak 2018 tumbang.
Penyatuan ummah

Penyatuan ummah yang mulai digerak pada PRN Johor juga berjaya menghalang kemaraan PH apabila jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pakatan terbabit semakin merosot.
Jumlah kerusi PH merosot kepada 8 kerusi berbanding 12 kerusi sebelum ini. BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bagaimanapun Mohd Zulwafi mengingatkan PAS tidak boleh bergerak bersendirian dalam misi untuk menawan Selangor pada PRU akan datang.
Namun, kata beliau apa yang lebih penting tiada lagi pertembungan tiga penjuru di kawasan majoroti pengundi Melayu kerana ia akan merugikan.

“Kita hendaklah membawa masyarakat keluar daripada elemen kepartian semata-mata bagi memastikan isu pembangunan luar bandar dan ladang babi di Selangor dapat diselesaikan.
“Tuanku Sultan kata jangan buat ladang babi, tetapi mereka kata hendak buat. Pemuda PAS akan bertindak agresif bagi memastikan tidak ada ladang ternak babi di Selangor.
“Malah perkara itu dizahirkan melalui Himpunan Daulat di Shah Alam sebelum ini dengan kehadiran ramai rakyat tempatan bagi mempertahankan titah Sultan Selangor,” ujarnya.
Pada 22 April lepas seorang Adun DAP, Wong Siew Ki dilapor memohon pertimbangan semula penternakan babi di Selangor dengan alasan hak kesamarataan warganegara.
Sedangkan sebelum itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan tidak berkenan sebarang bentuk penternakan babi dijalankan di Selangor kerana risiko pencemaran alam sekitar dan sumber air.

Wakil Selangor terbabit juga mahu apa yang berlaku di selatan pada PRN di Johor dan Negeri Sembilan berulang di Selangor bagi menutup ego pemimpin PH.
“Oleh itu PRU16 penting bagi Pemuda PAS Selangor bagi memastikan kekayaan hasil di Selangor dapat dimanfaatkan rakyat. Ini kerana ekonomi Selangor menyumbang 25 peratus dalam KDNK negara, malangnya kekayaan lemas dalam sistem yang gagal.
“Menawan Selangor pada PRU16 bukan kerana kita tamak tetapi bagi membetulkan ekonomi Selangor. Insya-Allah apabila menang Selangor lebih mudah laluan untuk kita menguasai Malaysia,” ujarnya.
Kata beliau hasil kekayaan di Selangor akan dipastikan mengalir kepada rakyat. “Kita bukan sekadar hendak tukar Menteri Besar, dan menolak Dato’ Seri Azmin Ali tetapi menukar keseluruhan sistem yang rosak di Selangor.
“Kita akan berpandu Wawasan Induk Negara Sejahtera sebagai model dan panduan pentadbiran negara berteraskan prinsip Islam yang dilancarkan PAS pada September 2017,” tambahnya.
