Gelanggang Rakyat

PH gelabah Presiden PAS pertahan demokrasi

Oleh Damia Hana |

PEMIMPIN PKR dan Pakatan Harapan (PH) dianggap gelabah apabila membuat laporan polis terhadap Presiden PAS kerana menolak tawaran bekas Presiden Amerika Syarikat pada 2014 yang dikatakan bersedia membantu menukar kerajaan di peringkat Pusat.

Ini kerana PAS memilih saluran demokrasi bagi menukar kerajaan dan tegas menolak bantuan pihak asing termasuk dari negara berkuasa besar.

Ketegasan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menolak tawaran bantuan Amerika Syarikat (AS) bagi menjatuhkan kerajaan Pusat pada 2014 sepatutnya disambut baik semua pihak.

Sebaliknya apa yang berlaku Naib Ketua Cabang Bandar Tun Razak V. Jonathan, Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak Amarul Hisham Jalil dilapor media tampil membuat laporan polis.

Pada ucapan penggulungan pada Muktamar PAS kali ke-72 Sabtu lepas, Presiden PAS memberitahu pemimpin parti itu pernah dijemput hadir ke Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014.

Pada pertemuan tersebut pemimpin AS dikatakan menawar bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu. Mungkinkah kerana ketegasan PAS menolak bantuan asing menyebabkan PKR Bandar Tun Razak jadi gelabah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan pendedahan tersebut sepatutnya dilihat dalam konteks pendirian tegas Presiden PAS menolak tawaran pihak luar menukar kerajaan tanpa saluran demokrasi.  

Kata beliau pendirian PAS mahu perubahan kerajaan Malaysia ditentukan rakyat melalui proses demokrasi tanpa campur tangan kuasa asing sepatutnya dipertahankan semua pihak.

“Kalau benar tawaran itu berlaku, penolakan tersebut bukan dianggap jenayah. Sebaliknya, ia menunjukkan pendirian perubahan kerajaan mesti ditentukan rakyat Malaysia melalui proses demokrasi,” katanya pada kenyataan. 

Persoalannya mengapa ada pemimpin PKR dan PH dilihat mahu menjadi juara di atas ketegasan PAS menolak bantuan pihak asing bagi menukar kerajaan.

Sepatutnya kata beliau ketegasan Tuan Guru Haji Hadi dipuji kerana menolak campur tangan asing dalam urusan negara. Sebaliknya apa yang berlaku pemimpin PAS diserang kerana mempertahankan lunas-lunas demokrasi di Malaysia.

Dana asing

“Kerajaan sepatutnya menyiasat dakwaan berkaitan dana asing disalur kepada parti politik seperti pernah didedah secara terbuka bekas pemimpin PKR Sarawak, Iswardy Morni.

“Dana itu dikatakan sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Dakwaan itu harus disiasat dan boleh dibuat laporan polis terhadap pemimpin PKR terbabit bagi memastikan kesahihan dakwaan yang dibuat,” ujarnya.

Media sebelum ini melapor Iswardy pernah dikenakan surat tunjuk sebab oleh PKR selepas membuat dakwaan berkaitan dana menghadapi PRU16, termasuk ratusan juta ringgit akan disalurkan kepada parti.

Iswardy juga dilapor pernah membuat dakwaan terbuka mengenai pemberian wang tunai kepada ketua cabang, ketua wanita dan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR.

Sehubungan itu tegas Firdaus isu yang dibangkit bekas pemimpin PKR Sarawak perlu diberi perhatian serius dan bukan dipandang sebelah mata.

“Kalau ada laporan polis terhadap Tuan Guru Abdul Hadi, silakan siasat. Cuma prinsipnya mudah, kalau melibatkan pemimpin PAS berbodong-bodong mahu membuat laporan polis, sebaliknya kalau ada kaitan dengan pemimpin PKR, diam aje?” katanya.

Beliau turut menegaskan Pemuda PAS Kelantan menyokong siasatan polis terhadap sebarang dakwaan berkaitan dana asing dilaksana secara adil dan menyeluruh membabitkan mana-mana parti politik.

Malangnya apa yang berlaku sekarang ada pemimpin PKR seakan keliru antara mempertahan atau menggadai demokrasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *