Oleh Aslani M & Damys Hana |
PROJEK Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Gemuruh, Kuala Terengganu ke Kelantan diharap menjadi kenyataan selepas sejak sekian lama disisihkan Kerajaan Pusat.
Teka teki projek tersebut kini muncul semula. Dan mungkihkah ia disenaraikan dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan pada Jumaat ini.
Sebelum ini cadangan projek LPT3 dicadang dilaksanakan menerusi model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) kerana masalah kewangan Kerajaan Persekutuan.

Ia melibatkan jajaran sepanjang 122 kilometer bermula dari Kampung Gemuruh sehingga ke Tunjong, Kota Bharu. Kos pembinaan dianggar sebanyak RM9.8 bilion berdasarkan kajian tahun 2022.
Malah, sebelum ini kerajaan meluluskan pelaksanaan pembinaan LPT3 dengan kos kerja-kerja awalan berjumlah RM35 juta.
Peruntukan tersebut melibatkan kajian pembinaan LPT3 dan laporannya telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Bekas Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof memberitahu media sebelum ini Kementerian Kerja Raya menunggu tindakan lanjut daripada agensi berkenaan dan EPU.
“Kementerian akan membuat keputusan sama ada perbelanjaan LPT3 akan diperuntukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) atau seterusnya,” kata beliau.
Projek LPT3 merupakan sambungan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2). LPT2 dibuka pada 31 Januari 2015. Laluannya bermula dari Jabor, Pahang hingga ke Gemuruh sejauh 184 kilometer. Kos pembinaannya kira-kira RM4.1 bilion.

Pembinaan dijalankan pada tahun 2001 hingga 2006 dilaksanakan secara berperingkat. LPT2 dilengkapi 10 persimpangan bertingkat, 10 plaza tol, tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan dua hentian sebelah.
Duit royalti
Bagaimanapun projek itu menggunakan dana royalti milik kerajaan Terengganu, dianggar berjumlah RM1.85 bilion. Kerajaan Persekutuan dikatakan telah membayar sebahagian daripada peruntukan itu.
Bagaimanapun pada April lepas Kerajaan Persekutuan dilapor belum menjelaskan tuntutan bayaran balik kos projek LPT2 berjumlah RM1.43 bilion kepada Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat memberitahu kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah susulan termasuk mengadakan beberapa siri rundingan. Selain itu mengemukakan surat rayuan rasmi melalui Menteri Besar Terengganu.
Bagaimanapun sikap flip flop berterusan Kerajaan Pusat menyebabkan Kerajaan Kelantan mengambil langkah alternatif. Kelantan mencadangkan menaik taraf dan memperbesar laluan sedia ada dari Selising sehingga ke Bukit Yong di sempadan Terengganu.
Projek terbabit bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan dan cuti persekolahan.

Menurut laporan kontrak naik taraf Jalan Persekutuan KB-KT (FT3) bernilai RM168.88 juta dianugerah kepada Citaglobal Land Sdn Bhd bagi menaik taraf laluan sepanjang 7.25 km menghubungkan laluan Kota Bharu dengan Kuala Terengganu.
Skop kerja melibatkan penukaran jalan sedia ada daripada laluan sehala kepada laluan dua hala (empat lorong).
Deraan politik
Biarpun berdepan deraan politik begitu lama, namun Kerajaan Kelantan tidak berputus asa untuk memastikan projek LPT3 benar-benar menjadi kenyataan, sejak sekian lama ditunggu rakyat Pantai Timur.

Menurut Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, pembinaan jajaran berkenaan penting bagi menyediakan laluan alternatif kepada rakyat Kelantan.
“Kerajaan negeri berharap permohonan berkaitan penyambungan LPT2 dari Gemuruh ke Kelantan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
“Kemudahan lebuh raya berkenaan bukan sahaja menyediakan laluan alternatif, malah memberi peluang kepada rakyat menikmati kemudahan perhubungan lebih baik,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, semalam.
Kelantan berharap perkara berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pembentangan Belanjawan 2027, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Apapun nasib LPT3 juga dianggap mengulangi apa yang berlaku terhadap projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, hanya dilaksanakan selepas berpuluh tahun rakyat Kelantan menanti.
Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 66.88 kilometer melibatkan kos RM2.33 bilion. Jadual awal dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027. Namun berdasar perkembangan di lokasi, tarikh itu seperti tersasar.
Projek terbabit dibahagikan tujuh pakej utama akan bersambung dengan Lingkaran Tengah Utama (LTU). Sehingga sekarang dua pakej siap sepenuhnya iaitu pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok dan pakej 2A (Kadok-Ketereh).
Mungkinkah deraan politik Kerajaan Pusat menyebabkan gelombang hijau terus subur di Pantai Timur.


