Oleh M Faqih |
BAGI golongan pekerja pengumuman gaji minimum RM2,000 sebulan adalah saat yang sangat ditunggu. Itu impian lama yang terpendam. Sekarang gaji minimum M1,700. Kenaikan RM300 agak besar bagi mereka.
Sedangkan Perintah Gaji Minimum RM1,700 baharu berkuat kuasa di seluruh negara mulai 1 Ogos 2025.

Perintah itu menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih. Selain itu, majikan menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja.
Isu lama belum selesai, tiba-tiba datang pula arahan baru. Sedangkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 baru bermula empat tahun lepas. Gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022.

Dan tidak sampai tiga tahun tahap gaji minimum dinaik lagi. Isunya apakah peraturan baharu itu diterima tanpa dalih oleh majikan. Sedangkan majikan ada kaedah tertentu bagi melepaskan diri.
Perkara itu pernah dikongsi Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital dan Di Jabatan-Jabatan Kerajaan (NUWHSAS), Roziah Mohd Hashim.
Menurut beliau pihaknya bimbang nasib pengawal keselamatan di hospital dan pekerja pembersihan di sekolah ketika gaji minimum RM1,700 dilaksana. Kata beliau aduan diterima, majikan mulai memotong bayaran elaun kerja lebih masa di antara RM400 hingga RM1,700.
Potong elaun
“Tindakan tersebut dibimbangi mempunyai kaitan dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,700. Pemotongan bayaran elaun kerja lebih masa dibuat selepas pengumuman pelaksanaan gaji minimum oleh kerajaan,” katanya, seperti dilapor media.
Selain itu pekerja juga berdepan pemotongan pelbagai faedah termasuk jumlah cuti tahunan dan cuti sakit. Ia pernah berlaku ketika pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada tahun 2022.

Apakah kes serupa tidak berulang dengan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan?. Siapa sebenarnya lebih tertekan ekoran kenaikan gaji minimum, majikan atau pekerja atau pengguna.
Sudah tentu kesan akhir akan dipikul pengguna. Majikan akan memberi alasan kenaikan kos operasi, kos pengeluaran, rantaian bekalan dan keadaan ekonomi bagi menaikkan harga produk.
Hakikat itu turut diakui Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangs, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Dato’ Dr Syed Hussain Syed Husman.

Kata beliau biarpun majikan menanggung peningkatan kos operasi antara 10 hingga 12 peratus susulan kenaikan gaji minimum, namun kesannya tidak sama bagi semua syarikat.
Menurutnya kesan lebih ketara dirasai syarikat yang bergantung tinggi terhadap tenaga kerja sehingga boleh menjejaskan margin keuntungan, aliran tunai dan kemampuan mengambil pekerja baharu.
“Ada syarikat mungkin menaikkan harga bagi menyerap sebahagian kos melalui margin keuntungan lebih rendah dan ada yang meningkatkan produktiviti atau mengurangkan perbelanjaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sudah tentu majikan akan memindahkan kos tambahan gaji pekerja kepada pengguna. Pengguna sudah pasti akan memikul beban akhir.
4 juta

Kata Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri R Ramanan, lebih empat juta pekerja akan menikmati kenaikan gaji minimum RM2,000 sebulan mulai Jun 2027.
Berlaku peningkatan RM300 atau 17.6 peratus daripada RM1,700. Biarpun gaji naik, namun tidak bermakna harga barang dan perkhidmatan meningkat setara dengan 17.6 peratus. Apapun kenaikan harga tetap juga akan berlaku.

Hakikat itu turut dikesan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA). Kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Saravanan Thambirajah, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 berisiko mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Sekiranya peningkatan kos buruh tidak disertai pertumbuhan produktiviti, ia menjejaskan kuasa beli rakyat. Sebahagian peniaga mungkin memindahkan kos tambahan operasi kepada pengguna bagi menampung kenaikan upah pekerja,” katanya kepada media.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi ketika membentang analisisnya menjelaskan kenaikan RM300 sebulan memberi tambahan pendapatan kasar RM3,600 setahun.
Menurutnya jumlah tersebut amat bermakna kepada pekerja. Sebaliknya bagi majikan, peningkatan kos perlu dibiayai. Ia mungkin berpindah kepada pengguna melalui harga barang.
Peluang kerja
Kesan sampingan lain boleh mendorong majikan mengehadkan pengambilan pekerja atau mengecilkan tenaga kerja sedia ada dan melabur dalam sistem automasi bagi meningkatkan produktiviti.
“Kenaikan gaji boleh menambah tekanan inflasi jika perniagaan memindahkan kos buruh kepada harga barang dan perkhidmatan. Risiko yang perlu dielakkan kenaikan pendapatan di atas kertas akhirnya dihakis kenaikan harga keperluan harian. Gaji naik, peluang kerja pula mengecil.
“Ini kesan berantai yang tidak boleh dipandang ringan. Jika hasil tidak meningkat tetapi kos buruh bertambah, majikan perlu menyusun semula operasi atau pengambilan pekerja baharu dikurangkan,” katanya pada kenyataan.

Selain itu pekerja sedia ada terpaksa melakukan lebih banyak tugas. Waktu bekerja dikurangkan. Pekerja yang dibayar mengikut jam mungkin kehilangan sebahagian pendapatan jika waktu kerja berkurang.
Kajian yang diterbitkan dalam Asian-Pacific Economic Literature pada 2025, melaporkan berlaku hubungan negatif antara gaji minimum dan pekerjaan belia.
Firdaus memberitahu golongan paling terdedah termasuk belia baharu memasuki pasaran kerja, pekerja tanpa pengalaman dan mereka yang kurang kemahiran.

“Kerajaan perlu menilai kemampuan industri, saiz perniagaan, margin keuntungan dan produktiviti sebelum menentukan jadual pelaksanaan gaji minimum.
“Pendekatan berperingkat memberi masa kepada majikan untuk menyesuaikan operasi dan mengelakkan kejutan kos yang mendadak,” ujar Firdaus.
Isunya mengapa kenaikan gaji minimum berlaku dalam tempoh singkat? Mungkinkah ada udang di sebalik batu. Namun, perlu ingat silap percaturan boleh mengundang padah.
Kesan kenaikan kos sara hidup tidak berlalu begitu sahaja. Lagipun semua orang tahu tahun 2027 merupakan idah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Amukan inflasi sudah tentu akan diheret rakyat ke peti undi.


