Oleh Lanjusoh |
BIARPUN banyak peruntukan diumum kerajaan kepada Sabah, namun rakyat negeri itu masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia. Sabah kekal dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia, mencatatkan kadar 1.2 peratus berbanding purata nasional sebanyak 0.2 peratus pada tahun 2025.
Sedangkan setiap tahun Menteri Kewangan Malaysia ketika membentang belanjawan mengumumkan banyak peruntukan untuk Sabah.

“Tetapi wang tersebut tidak semestinya sampai kepada rakyat di peringkat bawah. Jelas terdapat perkara yang perlu diperbaiki dalam sistem penyampaian kerajaan.
“Janganlah kita mengumumkan peruntukan yang besar sedangkan belum tentu semuanya dibelanjakan sepenuhnya. Janganlah kita hanya mengumumkan kelulusan projek-projek besar tanpa memastikan pelaksanaannya benar-benar berlaku,” kata Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Menurutnya Klinik Kesihatan Mantanani, sekarang baru hendak dibina pagar. Manakala Politeknik Kota Belud pula sudah dua kali melalui proses pecah tanah, namun bayang projek belum kelihatan.

Kata beliau juga pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dinaikkan kepada RM1.5 bilion setahun. Bagaimanapun beliau mengingatkan pemberian khas itu merupakan hak yang termaktub dalam perlembagaan Sabah.
Tidak sepadan
Ahli Parlimen dari Warisan itu mendakwa peruntukan yang diumum kerajaan Pusat agak besar, namun projek yang dilaksana tidak sepadan.
Contohnya pada tahun 2023, sebanyak RM6.5 bilion diumumkan untuk Sabah. Dan pada tahun 2024, jumlah itu meningkat kepada RM6.6 bilion, manakala pada tahun 2025, sebanyak RM6.7 bilion diumumkan.
Begitu juga peruntukan khusus untuk Sabah berdasar buku anggaran RM2.08 bilion pada tahun 2023, RM2.17 bilion (2024) dan RM1.47 bilion (2025).

Kata beliau bagi tempoh tiga tahun, daripada 2023 hingga 2025, daripada RM19.8 bilion yang diumumkan, hanya RM4.22 bilion dapat dibuktikan melalui butiran khusus untuk Sabah.
“Selebihnya mungkin terkandung dalam butiran lain atau digabungkan dengan Sarawak, seperti projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Mengapa perkara ini sentiasa menjadi fokus saya? Saya mahu mengetahui realiti sebenar perbelanjaan berbanding jumlah yang diumumkan. Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Sabah mengeluh tentang keperluan asas. Saya merujuk kepada Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan bermula Belanjawan 2023 hingga 2027.
“Selain itu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara. Daripada kedua-dua dokumen ini, kita boleh mendapatkan tiga angka penting bagi setiap butiran perbelanjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Isnaraissah turut mendedah pada tahun 2023 di bawah Kementerian Kerja Raya, peruntukan bagi pembinaan jalan-jalan di Sabah diumumkan sebanyak RM737 juta.

Namun, pada tahun yang sama, peruntukan tersebut dikurangkan kepada hanya RM27.2 juta. Dan daripada jumlah itu, perbelanjaan sebenar hanya RM24.9 juta.
Sedangkan kata beliau banyak jalan yang bermasalah di Kota Belud, termasuk Jalan Tanjung Batu, Jalan Kampung Songsong, Siasai Jaya, Siasai Kumpang, Jalan Sembirai, Sinorok, Jalan Tin Paus Linkodon, Jalan Dung Piring Kibidahan, Potos, Pinalabumong Bulat dan Jalan Pinasang Pohus.
Pada tahun 2023 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), peruntukan bekalan elektrik luar bandar Sabah diumumkan sebanyak RM284.5 juta. Namun, jumlah itu dikurangkan kepada RM43.3 juta, dengan perbelanjaan sebenar sebanyak RM43.1 juta.
Bagi bekalan air luar bandar Sabah pula, peruntukan sebanyak RM131.6 juta diumumkan, tetapi dikurangkan kepada RM74.5 juta. Perbelanjaan sebenar hanya RM69.5 juta.
Ketinggalan

Kampung Donggoy, Kampung Songsong dan Kampung Suangpangol masih belum mendapat bekalan air bersih sehingga hari ini.
Pada tahun 2024 di bawah Kementerian Kerja Raya, peruntukan bagi pembinaan jalan-jalan di Sabah diumumkan sebanyak RM679.8 juta. Namun, jumlah itu dikurangkan kepada RM213.5 juta dan perbelanjaan akhirnya hanya RM207.6 juta. Jumlah yang dibelanjakan kurang daripada separuh daripada peruntukan asal.
Di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), peruntukan bagi bekalan elektrik luar bandar Sabah diumumkan sebanyak RM302 juta, namun dikurangkan kepada RM99.8 juta. Dan perbelanjaan sebenar RM97 juta.
Bagi bekalan air luar bandar Sabah, peruntukan sebanyak RM135.9 juta diumumkan, kemudian dikurangkan kepada RM69.9 juta. Perbelanjaan sebenar RM68.4 juta.
“Dalam tempoh dua tahun ini sahaja sebanyak RM1.83 bilion daripada peruntukan bagi butiran khusus Sabah telah dikurangkan dalam tahun semasa.
“Malah, lebih RM1.9 bilion daripada jumlah yang diumumkan untuk Sabah tidak dibelanjakan. Jika peruntukan dipotong sehingga jumlah yang tinggal cukup-cukup untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), maka tidak hairanlah perbelanjaan boleh mencapai 90 hingga 100 peratus.
“Dari sudut teknikal, perkara itu mungkin tidak salah. Namun, dari sudut hak dan keadilan kepada Sabah, saya tidak tahu bagaimana hendak memberikan komen,” tambahnya.

Pada tahun 2025 peruntukan yang diumumkan meningkat daripada RM419.8 juta kepada RM918.8 juta. Bagaimanapun jumlah itu perlu diteliti bersama perbelanjaan sebenar bagi memastikan jumlah yang diumumkan benar-benar dibelanjakan.
Peruntukan bekalan elektrik luar bandar Sabah diumumkan sebanyak RM178.8 juta, dikurangkan kepada RM124.9 juta, dan perbelanjaan sebenar RM123.3 juta.
Bagi bekalan air luar bandar Sabah, peruntukan diumumkan sebanyak RM100 juta, tetapi dikurangkan kepada RM65.6 juta. Perbelanjaan sebenar RM63.4 juta. Pada tahun 2026, peruntukan khusus Sabah meningkat kepada RM1.85 bilion dan perbelanjaan masih berjalan.
Namun, kata Ahli Parlimen Kota Belud bagi Belanjawan 2027, jumlah menurun kepada RM1.75 bilion, sedangkan peruntukan pembangunan negara meningkat daripada RM81 bilion kepada RM83 bilion.
Tadika di kubur

Beliau juga memohon komitmen kerajaan terbitkan pecahan RM18.7 bilion untuk Sabah mengikut kementerian.
“Bermula Belanjawan 2028, saya memohon supaya butiran khusus untuk Sabah diwujudkan bagi perbelanjaan pembangunan sekolah, hospital, klinik dan kemudahan lain.
“Kita mengatakan mahu menghapuskan kemiskinan. Namun, Sabah setiap tahun menjadi antara negeri mencatat kadar kemiskinan tertinggi,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan dibentang penyata perbelanjaan sebenar Kerajaan Persekutuan di Sabah setiap tahun di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Selain itu peruntukan Sabah yang diluluskan di Dewan Rakyat disarankan tidak dipindahkan keluar dari Sabah.
“Sebagai contoh, KKDW hanya membelanjakan RM300 juta daripada RM600 juta yang diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya. Baki yang tidak digunakan jangan dipindahkan keluar dari Sabah.
“Sebaliknya, gunakanlah baki tersebut untuk projek bekalan air, bekalan elektrik, sekolah atau klinik, walaupun pelaksanaannya melibatkan kementerian yang berlainan,” tambahnya.
Lebih mendebarkan lagi apabila Isnaraissah mendedahkan terdapat Tadika Kemas menumpang di pondok perkuburan, termasuk Tadika Kemas Kulambai Kumpang.

Sekarang Sabah diterajui Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah. Sebelum itu Warisan dan Barisan Nasional. Biarpun teraju kerajaan bertukar ganti, namun rakyat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman tidak banyak berubah.
Lebih pelik lagi peruntukan diumum setiap tahun agak besar, namun projek dilaksanakan tidak sepadan. Walhasilnya rakyat Sabah di pedalaman kekal di tahap lama. Di mana silapnya?

