Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Khabar SG4

Kelantan perkukuh peranan institusi perundangan

Editor: Arus Lebir12:44 petang35 views
Saiz teks20px

Oleh Aslani M |

LAPORAN Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendapati Terengganu menduduki tempat pertama Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2026.

Negeri itu dicatat mendapat 77 mata melebihi purata nasional 46 mata. Diikuti Selangor (70 mata), Perak (65 mata) dan Negeri Sembilan (63 mata).

Menurut IDEAS dalam aspek Penyediaan Dokumen Belanjawan, Terengganu berjaya menyediakan enam daripada tujuh dokumen utama belanjawan mengikut tempoh ditetapkan.

Terengganu juga satu-satunya negeri yang menerbitkan dokumen Enacted Budget dalam tempoh penilaian MyOBI. Pendekatan terbabit membolehkan rakyat melihat perincian perbelanjaan sehingga ke peringkat program.

Mengambil kira perkembangan tersebut, Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan juga berusaha melakukan pembaharuan bagi memperkukuhkan peranan institusi perundangan berkenaan.

Speaker Dun Kelantan Dato’ Seri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menjelaskan antara perkara yang diberi perhatian termasuk semakan terhadap peraturan-peraturan Dun yang sudah lama digunakan.

Kata beliau peraturan tersebut perlu dikemas kini supaya selaras dengan perkembangan semasa, termasuk perubahan dalam pengurusan persidangan dan penggunaan teknologi.

“Kita sedang meneliti keperluan untuk menambah baik beberapa aspek berkaitan perjalanan persidangan, termasuk penggunaan video dan kemudahan teknologi dalam dewan.

“Selain itu, saya turut berpandangan bahawa Dun perlu mempunyai pentadbiran yang lebih tersusun dan tidak terlalu bergantung kepada struktur Pejabat Menteri Besar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bangunan Dun Kelantan sekarang terletak di Kompleks Kota Darulnaim. Mulai dibina pada tahun 1986 dan siap pada Mac 1987.Bangunan Dun Kelantan mulai diguna pada tahun 1989. Kompleks Kota Darulnaim meliputi kawasan seluas 12 hektar yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian dan pelbagai lagi jabatan.

Dan selepas siap Mabna MBI, Blok 8 Kompleks Kota Darulnaim, Pejabat dan Sekretariat Dewan Negeri Kelantan beroperasi di Aras 9

.

Bangunan kayu

Pada Abad ke-19 Dun Kelantan beroperasi di Opis Panjang yang terletak di hadapan Istana Balai Besar, Kota Bharu. Bangunan dibina daripada kayu panjang.

Pada era Sultan Muhammad IV (1899–1920) sebuah bangunan kayu baharu berbentuk empat persegi dibina dan dinamakan sebagai ‘Opis Pohon Celagi’.

Pejabat pentadbiran kerajaan kemudian dipindahkan ke Bangunan Takdir yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim, bersebelahan dengan Pejabat Pos Lama di Kota Bharu.

Dan ketika zaman pendudukan Jepun (1942) pusat pentadbiran dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan dipindahkan ke sebuah bangunan baharu yang terletak di Jalan Hospital Doktor (MPKB).

Mohd Amar memberitahu pembaharuan lain yang dicadangkan institusi Dewan mempunyai pentadbiran, peruntukan dan pengurusan kakitangan tersendiri.

“Jika pendekatan itu dapat dilaksanakan di Kelantan, pengurusan Dewan Negeri akan menjadi lebih teratur dan keperluannya dapat dirancang dengan lebih baik. Pada masa ini, beberapa keperluan seperti latihan dan pembangunan kakitangan masih bergantung pada peruntukan kerajaan negeri.

“Oleh itu, kita mahu melihat kemungkinan untuk memperkukuh kedudukan pentadbiran Dewan supaya dapat berfungsi dengan lebih berkesan,” kata beliau.

Menurutnya perkara yang memerlukan penambahbaikan perlu dikaji semula, manakala perkara yang baik daripada pentadbiran terdahulu perlu diteruskan.

Kompleks Dun baharu

Kata beliau, keperluan membina sebuah Kompleks Dewan Negeri yang lebih sesuai pada masa hadapan dirancang akan menempatkan dewan persidangan, Pejabat Speaker, Pejabat Timbalan Speaker dan kemudahan pentadbiran yang berkaitan.

Selain itu dilengkapi galeri sejarah Dewan Negeri yang memaparkan perkembangan institusi tersebut, termasuk gambar bekas Speaker dan Timbalan Speaker serta bahan sejarah berkaitan. Galeri terbabit boleh menjadi tempat rujukan orang ramai, penyelidik dan pelajar yang ingin mengetahui sejarah perjalanan Dewan Negeri Kelantan.

Mohd Amar juga menjelaskan kemudahan persidangan perlu ditambah baik supaya lebih selesa dan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kemudahan tempat letak kereta kerana kawasan sedia ada menjadi sesak ketika persidangan berlangsung.

Bagaimanapun cadangan membina kompleks baharu memerlukan perancangan rapi kerana melibatkan peruntukan kewangan dan persetujuan kerajaan negeri.

“Kita berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi Dewan Negeri pada masa hadapan,” ujarnya.

Sehingga kini hanya beberapa negeri mempunyai Kompleks Dewan Undangan Negeri yang berasingan daripada Pejabat SUK termasuk Sarawak dan Perlis.

Bangunan Dun Sarawak terletak di Petra Jaya, tebing utara Sungai Sarawak dan berhadapan dengan Kuching Waterfront. Dirasmikan pada 27 Julai 2009 oleh Yang di-Pertuan Agong. Kos pembinaannya sekitar RM300 juta.

Manakala bangunan Dun Perlis pula terletak di Kompleks Seri Putra. Bagaimanapun kebanyakan negeri bangunan dewan perundangan berada di kompleks yang sama dengan pejabat SUK.

Mohd Amar dilantik sebagai Speaker Dun Kelantan pada 5 September 2023. Sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Besar, anggota Exco Kerajaan Negeri dan ahli parlimen Pengkalan Chepa.

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.