Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Gelanggang Rakyat

Projek lebuh raya di Sabah masih merangkak

Editor: Arus Lebir2:58 petang11 views
Saiz teks20px

Oleh Lanjusoh |

KELEWATAN pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bukan lagi sekadar sentimen tempatan. Ia sudah menjadi isu nasional. Malah, isu tersebut dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026.

Biarpun dilancar secara rasmi berperingkat antara April 2016 hingga Disember 2017, hanya empat pakej telah siap, manakala 31 pakej lagi masih dalam pelaksanaan sehingga 25 Ogos lepas.

Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun hanya kira-kira 11.4 peratus siap. Apa cerita ini. Projek itu melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya empat lorong tanpa tol.

Laporan Audit Negara mengenal pasti beberapa ketakteraturan serius, termasuk sembilan pakej dikategori ‘projek sakit’. Selain itu isu kelulusan Arahan Perubahan Kerja melebihi had kuasa.

Apa puncanya. Antaranya dilapor berkaitan isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan kelewatan pembayaran pampasan.

Laporan Ketua Audit menemui kelemahan dalam mekanisme kelulusan melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan Arahan Perubahan Kerja (APK) serta pelarasan had kewangan.

Bagaimanapun Kerajaan Sabah menafikan kelewatan berpunca daripada mereka. Ia ditegaskan Ketua Merinyu Projek, Dato’ Seri Salleh Said Keruak.

Jalan di Sandakan

Salleh dilapor menjelaskan projek berkenaan melibatkan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor serta syarikat utiliti.

Kata beliau lebih 70 peratus projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A membabitkan kerja melebarkan Jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong.

“Kerja ini bukan mudah kerana melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti,” katanya kepada media di Sabah.

Sarawak cemerlang

Lebih pelik lagi projek sama di Sarawak tidak terbantut seperti di Sabah. Sebaliknya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Sebanyak 10 daripada keseluruhan 11 pakej direkodkan siap sepenuhnya setakat 31 Mac lepas, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2/2026.

Menurut Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, satu lagi pakej, iaitu WP11 mencapai kemajuan 99.9 peratus. Jajaran projek berkenaan sepanjang 829.40 kilometer. Pakej pertama, dari Telok Melano ke Sematan siap pada 2019.

Menteri Kerjaraya

Menurut Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi, jajaran sepanjang 786 kilometer melibatkan 11 pakej, dan 10 daripadanya telah dibuka secara berperingkat.

Hari ini kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo sekali lagi menjadi tumpuan di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Semporna, Dato’ Seri Shafie Apdal mahu kerajaan bertindak berdasar Laporan Audit Negara.

“Laporan Audit Negara jelas, jadi kerajaan perlu mengambil tindakan berdasar laporan tersebut. Kena lantik kontraktor berdasar kelayakan.

“Malangnya ada projek itu diurus bekas pemimpin politik. Di Sarawak sudah siap. Mana-mana kontraktor yang gagal kena ambil tindakan. Minta ambil ketegasan berdasar Laporan Ketua Audit,” katanya.

Shafei Apdal

Beliau juga meluah simpati terhadap nasib lebih 4 juta rakyat Sabah yang tidak memiliki banyak kemudahan pengangkutan awam.

Terbengkalai

Wetrom Bahanda

Sebelum itu isu serupa dibangkit Ahli Parlimen Kota Marudu, Dato’ Wetrom Bahanda. Beliau mahu projek jalan dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.

Isu Lebuhraya Pan Borneo turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Krau, Pahang Kamal Ashari. Beliau simpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Sabah.

Kamal Ashaari

Sebelum itu isu sama dibangkit Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis juga merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2/2026.

Beliau memohon siasatan dilakukan berdasarkan dapatan Laporan Ketua Audit kerana ia membabitkan kos sebanyak RM24.89 bilion demi kepentingan rakyat Sabah.

“Sebanyak RM1.788 bilion peruntukan telah habis digunakan untuk membayar PDP sedangkan kemajuan fizikal pada 21 September 2019 (ketika kontrak PDP ditamatkan) hanya 12.8 peratus berbanding jadual 41.9 peratus iaitu lewat 29.1 peratus.

“Setakat 31 Mac 2026, hanya 4 daripada 35 pakej kerja siap. Daripada 31 WP masih berjalan, 9 berstatus projek sakit dan 13 lewat daripada jadual.

“Sebanyak 73 lanjutan masa diluluskan antara 144 hingga 2,191 hari. Tarikh siap kini dilanjutkan hingga 2030,” kata beliau.

Kos kontrak keseluruhan RM17.910 bilion dianggar meningkat kepada RM18.960 bilion. Kos semasa Fasa 1A ialah RM11.323 bilion melebihi siling RM10.336 bilion iaitu sebanyak RM0.987 bilion (9.5 peratus).

Isnaraissah Munirah

Isnaraissah mendakwa Arahan Perubahan Kerja (APK) melebihi had kuasa yang dibenarkan berjumlah RM513.99 juta. Pembayaran tanpa kontrak RM163.64 juta dan tuntutan kos utiliti belum dibuat RM41.37 juta.

Selain itu kos insurans dan bon dalam BQ RM32.95j levi CIDB dibayar kepada kontraktor sebanyak RM6.03 juta

Bagaimanapun bagi mencari keadilan isu Lebuhraya Pan Borneo, kita amati  apa dijawab Timbalan Menteri Kerjaraya, Dato’ Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Maslan

Beliau mengakui Fasa 1A yang melibatkan 15 pakej kerja, kemajuan fizikal yang dijadualkan 96.23 peratus, sedangkan kemajuan fizikal sebenar 89.54 peratus.

Namun pembayaran kewangan mencapai 88.78 peratus. Kerja telah siap hampir 90 peratus dan pembayaran juga hampir 89 peratus. Jadi, dari segi pembayaran, perkara itu tidak menjadi masalah.

Bagi Fasa 1B, projek yang baharu bermula, kemajuan fizikal dijadualkan ialah 24.76 peratus, manakala kemajuan sebenar mencapai 25.53 peratus.

“Kita melaksanakan pemantauan yang rapi melalui mesyuarat yang diadakan setiap bulan pada tahun lepas, begitu juga tahun ini.

“Sebelum ini, pemantauan secara sedemikian tidak pernah dilaksanakan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Marudu. Benarkah dakwaan itu?

Menurutnya juga perubahan pelaksanaan projek daripada Project Delivery Partner (PDP) kepada kaedah konvensional antara sebab projek terbabit lewat.

Pelaksanaan PDP ditamatkan pada 22 September 2019, selepas berlaku pertukaran kerajaan. Penamatan PDP turut melibatkan proses perolehan yang baharu.

Prestasi kontraktor

Jalan kampung di Sabah

Sebanyak 15 kontraktor bagi pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 dianugerahkan kontrak pada tahun 2021 selepas berdepan dengan pandemik Covid-19.

Selain itu isu pengambilan tanah. Ahmad memberitahu Jabatan Tanah dan Ukur Sabah hanya mempunyai tujuh jurunilai menyebabkan kerajaan membuat keputusan melantik jurunilai swasta supaya urusan dapat dilaksana dengan lebih pantas.

“Pengalihan utiliti juga menjadi masalah. Dari segi prestasi kontraktor, ada yang menunjukkan prestasi baik dan ada juga kurang memuaskan,” ujarnya.

Biarpun pelbagai alasan disandarkan menteri bagi meredakan kemarahan rakyat Sabah, namun ia sukar diterima. Lagipun rakyat Sabah sudah memberi isyarat jelas menolak parti Semenanjung pada Pilihan Raya Negeri ke-17 akhir tahun lepas.

Pakatan Harapan (PH) paling terkesan apabila hanya menang satu kerusi. PKR menang di Dun Melalap melalui calonnya, Dato’ Jamawi Ja’afar dengan majoriti hanya 525 undi.

Paling terjejas DAP apabila tewas di kesemua 8 kerusi Dun yang ditandingi pada PRN Sabah 29 November 2025. Begitu juga BN hanya menang di enam kerusi daripada 45 kerusi ditandingi. Sedangkan sebelum itu BN menguasai 14 kerusi DUN pada PRN 2020.

Salleh Said Keruak dan Ketua Menteri Sabah

Parti tempatan Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menguasai 29 kerusi dan Warisan pula 25 kerusi Dun. PAS pula mencatat kemenangan sulung di Dun Karambunai melalui Dato’ Dr Aliakbar Gulasan.

Dr Aliakbar Gulasan

Berdasar perkembangan itu jelas rakyat Sabah seperti tidak lagi yakin dengan pemimpin dari Semenanjung. Buktinya Lebuhraya Pan Borneo masih merangkak di Sabah, ketika projek serupa di Sarawak menjejaki garis akhir.

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.