Gelanggang Rakyat

5 ahli parlimen PH desak siasat ‘mafia korporat’

Oleh Aslani M |

DI pintu pagar Parlimen pagi semalam anak-anak muda yang mewakili 51 NGO menggesa kerajaan menangkap bekas Pesuruhjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Mereka menyerah memorandum mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tuduhan mafia korporat dan reformasi SPRM.

Memorandum tersebut diterima beberapa ahli parlimen termasuk Wong Chen, Zahir Hassan, Wan Ahmad Faisyal dan Madius Tangau.

NGO Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri) berharap memorandum tersebut tidak hanya disambut dengan tangan, sebaliknya perlu disertakan dengan tindakan.

Sebagai menyokong usaha anak-anak muda terbabit, lima ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mendedah kepada umum mengenai siasatan terdahulu terhadap Azam.

“Kami menyeru agar semua siasatan yang dijalankan Kerajaan Madani terhadap pegangan saham Tan Sri Azam Baki didedahkan kepada umum. Kami memahami dua siasatan sedemikian telah dijalankan setakat ini, namun tiada satu pun dapatannya didedahkan kepada orang ramai,” kata mereka pada kenyataan hari ini.

Ahli-ahli parlimen terbabit iaitu Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan a/l Subramaniam; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Ahli parlimen terbabit dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Rafizi Ramli.

Mereka mendesak laporan wajar dikeluarkan kepada umum atau sekurang-kurangnya dikemukakan kepada jawatankuasa Parlimen untuk kajian dan penelitian lanjut.

Mafia korporat

Selain isu membabitkan Azam, Mandiri juga mendesak kerajaan mendedahkan dakwaan berkaitan isu ‘Mafia Korporat’.

Pada Februari lepas media antarabangsa Bloomberg mendakwa Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia.

Nilai pegangan berkenaan dianggar bernilai hampir RM800,000. Menurut Bloomberg nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM.

Laporan Bloomberg turut mendedah wujud dakwaan gerakan korporat membabitkan SPRM, di mana wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif menjual saham dalam syarikat sasaran.

Pada 6 Jun lepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato’ M Kumar dilaporkan berkata, dua kertas siasatan yang melibatkan Azam telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu lima ahli parlimen PH terbabit menyeru Jabatan Peguam Negara mendedahkan status semasa siasatan-siasatan tersebut.

“Kami mendesak semua ahli parlimen termasuk menteri kabinet dan Perdana Menteri menyatakan secara terbuka sama ada mereka menyokong penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam dan isu mafia korporat.

“Kami juga menggesa 51 NGO mendesak semua ahli parlimen menyatakan pendirian terbuka secara jelas mengenai isu tersebut terutamanya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Kata mereka, sekarang merupakan peluang paling sesuai untuk menguji komitmen ahli-ahli parlimen terhadap integriti dan akauntabiliti.

Kempen RCI

Turut dicadang 51 NGO tersebut memulakan kempen ‘name and shame’ dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada semua ahli parlimen untuk memberikan respons sama ada menyokong atau menentang tersebut.

Lima ahli parlimen terbabit turut menegaskan RCI boleh ditubuhkan atas nasihat Perdana Menteri, dan sekiranya lebih 51 peratus ahli parlimen menyokong penubuhan RCI tersebut Perdana Menteri akan terikat untuk mengesyorkan penubuhan RCI kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kami menghargai dan ingin menekankan pendirian tegas Yang di-Pertuan Agong tidak berkompromi dengan gejala rasuah. Sokongan terhadap reformasi pindaan perlembagaan berhubung Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” ujarnya.

Ahli parlimen terbabit juga menggesa 51 NGO menyokong pendirian berhubung pindaan perlembagaan mengenai Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dengan penekanan khusus terhadap pengukuhan peranan Parlimen.

Ahli parlimen berkenaan turut mendedah telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, serta dua pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *