Serantau

Harga diesel di Malaysia atasi Thailand

Oleh M Faqih |

PADA 15 Mac lepas, aruslebir.com menyifatkan sudah sampai masanya negara Asia Barat bangkit daripada lena lama. Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pelindung pemerintah di Negara Teluk perlu dikaji semula.

Ini kerana hegemoni AS di Asia Barat kelihatan semakin layu dan kemungkinan besar diambil alih Iran dengan sokongan Rusia dan China. Tiba ketikanya mereka bersatu atas nama Islam. Menyingkirkan sekular dan barat yang tamat haloba.

Sila lihat https://aruslebir.com/teluk-jadi-kubur-negara-polis-dunia/. AS sejak sekian lama dibenci dunia. Hari ini negara itu dilihat semakin hilang kekuatan.

Penganalisis politik Asia Barat, Halim Bede menggambarkan Presiden AS Donald Trump terpaksa memberi ‘bantuan’ bernilai USD14 bilion kepada Iran untuk meningkatkan aliran minyak dan cuba memperlahan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.

Trump dilapor mengumumkan akan memberi kelonggaran sekatan terhadap minyak Iran yang telah dipam dan sedang dihantar di laut.

Halim menjelaskan perkembangan yang berlaku itu memperlihatkan kekalahan memalukan AS. Sedangkan negara itu sudah lama berlagak seperti polis dunia.

“Sebelum ini pentadbiran Presiden Obama memberi USD1.4 bilion kepada Iran, setelah diperintahkan oleh mahkamah supaya dipulangkan wang milik Iran yang dirampas AS,” dakwa Halim.

Ternyata pada fasa sekarang AS kalah dalam peperangan strategi dengan Iran. Bahang perang yang dimulakan Trump menyebabkan dunia menjadi panik.

Tindakan AS dan zionis Yahudi menyerang infrastruktur minyak medan minyak Iran menyebabkan penduduk dunia dilanda gelisah.

Habis stok

Di Thailand, media sosial memaparkan rakyat negara itu terpaksa berebut mendapatkan minyak di stesen petroleum. Deretan kereta memanjang menunggu giliran untuk mengisi minyak. Seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok ketika dihubungi mengakui situasi tersebut.

Malah, ada laporan menyebut banyak stesen minyak kehabisan stok. Namun, di sebalik krisis tersebut kerajaan Thailand dilaporkan tidak menaikkan harga diesel secara drastik.

Di negara itu harga diesel dinaikkan secara berperingkat daripada 30 Baht (RM3.58) kepada 33 baht (RM3.93). Dan Kerajaan Thailand menanggung sebahagian besar kenaikan melalui subsidi.

Begitu juga di Indonesia harga semua bahan api termasuk diesel bagi kategori peribadi – RM1.85, komersial (RM3.85) terus dikekalkan pemerintah.

Kerajaan Indonesia menanggung kenaikan kos melalui subsidi tambahan. Sedangkan di Malaysia harga diesel di Semenanjung naik mendadak daripada RM2.84 kepada RM4.72.

Di era Madani buat pertama kali dalam sejarah, harga diesel Malaysia lebih mahal daripada Thailand dan Indonesia. Harga diesel di Semenanjung naik RM1.88 seliter atau lebih 60 peratus. Peliknya di Sabah dan Sarawak masih kekal RM2.15 dengan subsidi menyeluruh.

Pemerhati politik Lim Sian See mempersoalkan hanya minyak di Malaysia menggunakan kaedah pilih kawasan sehingga harga berbeza begitu ketara antara Semenanjung dan Borneo.

Mengambil kira perkembangan di Indonesia dan Thailand, pemimpin pembangkang mencadangkan kerajaan Madani menggunakan Petronas untuk memperluaskan subsidi bahan api ekoran krisis di Selat Hormuz.

Sebaliknya, pemimpin kerajaan Madani menjawab keuntungan Petronas untuk kegunaan jangka panjang dan bukan digunakan bagi tujuan subsidi menyeluruh.

Diesel

Di Malaysia krisis harga diesel berlaku sejak Jun 2024. Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter. Menteri Kewangan II Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Menurutnya pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat menjimat sebanyak RM4 bilion setahun, di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Sedangkan kesan peningkatan harga diesel menyebabkan kos industri meningkat ketara. Sebelum Jun 2024, kos penggunaan jentera berat bagi meratakan tanah kebun RM800 sehari.

Namun, selepas berlaku kenaikan harga diesel, kos meningkat kepada RM1,000 sehari. Dan sekarang harga diesel RM4.72 seliter sudah tentu kos ladang meningkat berganda lagi.

Kesan berantai itu sudah pasti akan menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat lagi. Harga barangan keperluan asas dijangka meningkat lagi.

“Harga beras dan pelbagai keperluan asas lain dijangka meningkat dalam masa terdekat. Semua barangan diangkut menggunakan lori yang bergerak berbekalkan diesel.

“Pemborong dan peruncit sudah tentu akan menyerap kos mereka kepada pengguna. Dan kesannya harga barangan akan meningkat lagi,” kata seorang pegawai kerajaan.

Perang di Asia Barat menjadi alasan kenaikan harga barangan yang dihalalkan kerajaan. Dan harga itu dijangka kekal biarpun peperangan sudah tamat dan Selat Hormuz sudah boleh dilalui kapal dagang.

Teori itu tidak sukar dianalisa. Contohnya harga daging lembu di Kelantan sekarang sekitar RM25 sekilogram, sedangkan dua tahun lalu RM32 sekg. Biarpun berlaku penurunan RM7 sekg, namun lauk berasaskan daging tidak pernah turun.

Kesan seperti itulah menyebabkan kerajaan Thailand dan Indonesia memilih memberi subsudi bahan api di negara terbabit, sebaliknya Malaysia tidak.

Maka tidak hairanlah harga diesel di Malaysia lebih mahal berbanding Thailand. Ia merupakan rekod baharu di era Madani. Sedangkan Malaysia mempunyai pelantar minyak yang terdapat di perairan Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Lebih pelik lagi harga bahan api di Borneo jauh lebih murah, namun di Semenanjung mahal. Sepatutnya harga itu juga boleh dinikmati rakyat di Kelantan dan Terengganu kerana di Pantai Timur ada telaga minyak. Adakah kerajaan Madani masih menjadi pilihan rakyat? Apa yang pasti popularitinya makin merudum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *