Serantau

Anak muda Melayu Patani bangkit

PULUHAN ribu anak muda Melayu dari wilayah Patani, Yala dan Narathiwat berhimpun sempena program Melayu Raya 2026 yang diadakan di Pantai Wasukri, Taluban, Saiburi pada 3 dan 4 Syawal 1447.

Program tersebut merupakan kali kelima dianjurkan. Perhimpunan itu mengambil semangat kegemilangan kerajaan Patani Darussalam yang pernah bertakhta di selatan Thailand dan utara Tanah Melayu selama lebih 200 tahun.

Kesultanan Patani Darussalam merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam yang berdaulat di selatan Thailand, diasaskan pada 1584.

Pernah menjadi pusat perdagangan dan kebudayaan Islam yang merangkumi wilayah Patani, Yala dan Narathiwat sebelum jatuh di bawah penguasaan Siam pada 1791. 

Melayu berkualiti

Kini anak muda Patani bangkit dengan bergabung di bawah satu kesatuan bagi melahirkan semangat Melayu Raya. Himpunan terbabit dianjurkan Civil Society Assembly for Peace (CAP) bersama jaringan rakan-rakan strategik.

Perhimpunan tahun ini mengangkat tema ‘Melayu Berkualiti’ bermatlamat melahirkan orang Melayu Patani yang berkualiti dengan memahami sejarah perjuangan datuk nenek mereka.

Penasihat CAP Muhammad Aladee Dengni memberitahu tema tersebut dipilih sebagai respon terhadap realiti sosial masyarakat Melayu Patani sekarang.

Kata beliau ramai dalam kalangan anak Patani berhijrah mencari rezeki di Bangkok, wilayah-wilayah lain serta luar negara.

“Usaha ini bertujuan membentuk generasi yang bukan sekadar bekerja, tetapi memiliki kualiti, kemahiran serta maruah diri yang dihormati dan diiktiraf.

“Jika tahun lepas fokus diberikan kepada isu alam sekitar, maka tahun ini penekanan diberikan kepada pembangunan manusia sebagai aset utama masyarakat,” katanya pada perhimpunan tersebut, seperti disiarkan laman sosial pertubuhan tersebut.

Program berkenaan berjalan dalam keadaan terkawal dan tersusun. Pihak penganjur turut mengadakan koordinasi bersama pihak keselamatan termasuk tentera, polis serta pentadbiran daerah Saiburi dan Majlis Tempatan Taluban.

Perhimpunan Melayu Raya 2026 turut menarik kehadiran pelancong dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Kehadiran pelancong dari luar Patani menyebabkan penginapan di sekitar Saiburi, Patani dan Narathiwat penuh. Ia secara tidak langsung dapat merangsang ekonomi penduduk tempatan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang perhimpunan berlangsung termasuk ikrar pemuda, deklamasi puisi Melayu Raya, puisi berantai, pidato antara bangsa, talk Melayu berkualiti, memanah wanita, pertunjukan silat dan pameran produk.  

Jati diri

Aladee turut menjelaskan di sebalik kemeriahan tersebut, pihak penganjur mengakui wujud kebimbangan awal susulan insiden keselamatan yang berlaku pada akhir Ramadan lepas.

“Melayu Raya bukan platform politik atau gerakan pemisahan, sebaliknya merupakan ruang membina kesedaran masyarakat terhadap identiti, budaya dan jati diri Melayu,” ujarnya.

Menurutnya juga semua pengisian pentas bersifat membina dan bukan provokatif serta tidak bertujuan mencetuskan konflik dengan pemerintah.

Sebaliknya kata beliau, pengukuhan identiti sebagai elemen positif yang mampu menarik minat masyarakat luar mengenali budaya tempatan bagi membuka peluang ekonomi lebih luas.

Melayu Raya 2026 bukan sekadar festival budaya, sebaliknya menjadi manifestasi secara kolektif masyarakat Melayu Patani dalam usaha memperkukuh identiti dan memperluas jaringan serantau.

Selain itu mengangkat martabat komuniti melalui pendekatan damai dan pembangunan secara berterusan.

Bagi generasi lama mereka menyifatkan perhimpunan tersebut tidak pernah diadakan sebelum ini bagi memperlihatkan penyatuan orang Melayu di Patani.

Mereka mengakui gerakan seumpama itu tidak kelihatan sebelum ini yang mampu menterjemahkan kesatuan hati orang Melayu Patani selepas kerajaan Patani Darussalam tumbang lebih 300 tahun lepas.

Pihak penganjur berazam meneruskan perhimpunan tersebut bagi siri keenam tahun hadapan, biarpun berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *