Gelanggang Rakyat

Harga diesel di Malaysia 3 kali naik

Oleh M Faqih |

KENAIKAN harga minyak diesel di Malaysia sebanyak RM2.15 seliter dalam tempoh tiga bulan disifatkan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebelum ini.

Bermula dengan kenaikan daripada RM2.57 seliter kepada RM2.84 seliter pada Januari 2026 dan pada Februari naik sebanyak 3 sen menjadi RM2.99 seliter.

Dan sekarang RM4.72 seliter, yakni berlaku kenaikan sebanyak RM1.73 seliter. Lebih pelik lagi pada Januari lepas Selat Hormuz di Iran belum lagi ditutup bagi laluan kapal tangki minyak.

Naib Presiden PUTRA Dato’ Asmawar Samat menyifatkan alasan kenaikan mendadak harga diesel di Malaysia menimbulkan tanda tanya rakyat.

“Apakah alasan sebenar kenaikan tersebut kerana perang di Timur Tengah akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran mulai tercetus pada 28 Februari 2026.

“Sedangkan harga minyak diesel di Malaysia dinaikkan sejak Januari 2026 lagi. Penutupan Selat Hormuz berlaku pada awal Mac 2026 untuk kapal kargo AS dan sekutunya sahaja,” katanya pada kenyataan.

Pada 18 Mac lepas harga runcit diesel di Semenanjung meningkat kepada RM4.72 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 19 Mac hingga 25 Mac.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga runcit petrol RON97 turut dinaikkan sebanyak 70 sen kepada RM4.55 seliter, dan harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal RM3.27 seliter.

Gulung tikar

Kesan kenaikan mendadak itu menyebabkan kira-kira 100 syarikat pengusaha bas persiaran di Zon Utara kemungkinan terpaksa ‘gulung tikar’.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff dilapor berkata, sebahagian besar pengusaha bas persiaran di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis tidak dapat menjalankan perniagaan akibat kenaikan harga diesel.

“Kenaikan kepada RM4.72 seliter di Semenanjung sahaja sungguh memeranjatkan pengguna kerana berlaku dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Kenaikan itu berkuatkuasa pada 19 Mac lepas. Sedangkan Sabah dan Sarawak kekal RM2.15 seliter,” kata Asmawar.

Beliau turut bimbang kapal kargo Malaysia terlibat dengan sekatan kerana hubungan Presiden AS Donalad Trump dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dilihat begitu intim ketika Persidangan ASEAN November lepas.

Kata beliau walaupun 50 peratus minyak mentah (crude oil) Malaysia datang melalui Selat Hormuz, namun perdagangan masih boleh berjalan seperti biasa.

Lebih murah

Oleh itu beliau mendesak penjelasan kerajaan Madani kerana harga minyak diesel di negara bukan pengeluar minyak seperti Thailand, Filipina dan Indonesia lebih murah berbanding Malaysia.

Beliau turut bimbang harga petrol RON95 dan RON97 akan dinaikkan atau subsidi akan dikurangkan sekiranya penutupan Selat Hormuz kepada pihak tertentu berlarutan.

“Situasi itu akan memaksa kenaikan harga minyak yang kini sekitar US$120 setong kepada US$150 setong. Selagi tiada penjelasan dan pencerahan diberikan, maka rakyat akan membuat telahan apakah Kerajaan Madani terus menerus retorik seperti bunyi guruh di langit.

“Amat memalukan dan rakyat terus tertekan dengan kos sara hidup dan harga barangan serta upah yang semakin meningkat sehingga mengurangkan tabungan rakyat,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *