Masyarakat Patani pertahan tradisi ‘Raya Nae’

Oleh Aslani M |
TRADISI puasa enam di bulan Syawal di negara kita tidak lagi semeriah dahulu. Nenek moyang kita hanya beraya sehari pada 1 Syawal, kemudian pada 2 Syawal mereka mulai berpuasa.
Mereka mengejar kelebihan sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ulama sering menyebut puasa enam hari selepas Ramadan akan diberi ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Surah al-An’am ayat ke-160, menjelaskan setiap amalan kebaikan akan diganjari pahala sebanyak 10 kali ganda.
Puasa setahun
Dan bermakna puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diberi ganjaran pahala 60 hari. Ini bermakna jumlahnya ialah 360 hari.
Inilah kelebihan yang dipertahankan nenek moyang kita. Namun, suasana sekarang sudah jauh berubah. Kini rumah terbuka Aidilfitri diadakan sepanjang Syawal.
Namun, tradisi datuk nenek kita masih lagi dipertahankan di Selatan Thailand. Banyak paparan boleh ditemui di media sosial yang menggambarkan tradisi tersebut masih menjadi amalan masyarakat Melayu.
Antaranya Facebook Gunung Aman, Wartani Melayu, Persatuan Pemuda Pemudi Ternang, Persatuan Anak Kampung Cerangtadung dan pelbagai lagi.

Keunikan yang digambarkan raya puasa enam dengan menziarahi tanah perkuburan beramai-ramai. Perayaan itu lazimnya dimulakan dengan gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan.
Kemudian diikuti dengan menziarahi tanah perkuburan beramai-ramai. Penduduk masing-masing membawa kuih muih dan mereka makan beramai-ramai. Tentunya seronok.
Berbeza di negara kita tradisi menziarah kubur diadakan pada 1 atau 2 Syawal. Dan program gotong royong membersihkan kubur dilakukan menjelang Ramadan. Dahulu ada keluarga mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang datang ke kubur.
Warisan Melayu

Di Thailand, suasana raya puasa enam Syawal begitu terasa apabila masyarakat saling mengunjungi rumah penduduk sambil menikmati pelbagai juadah tradisional seperti ketupat, lemang dan aneka hidangan warisan Melayu.
Tradisi itu juga disambut di Pulau Jawa, Indonesia dengan perayaan dikenali sebagai Hari Raya Ketupat. Ia disambut seminggu selepas Aidilfitri sebagai simbol kesyukuran dan silaturahmi.
Keunikan Hari Raya Enam di Patani memperlihatkan nilai perpaduan, semangat gotong-royong dan hubungan erat antara generasi.

Golongan tua, muda tanpa mengira jantina berkumpul dengan menziarahi kubur nenek moyang. Mereka bertahlil beramai-ramai. Ada juga yang membaca surah Yaasin.
Tradisi tersebut dianggap sebagai lambang masyarakat Melayu Patani berkongsi budaya dan warisan bagi memperkukuh ikatan sosial serta semangat kebersamaan dalam komuniti setempat.
Raya Nae
Walaupun ia bukan perayaan keagamaan secara rasmi, namun Hari Raya Enam mempunyai nilai budaya dan tradisi yang kuat dalam masyarakat Melayu Patani. Ia dipertahankan sejak turun-temurun.
Selain menziarahi tanah perkuburan, penduduk berkunjung dari rumah ke rumah. Tradisi tersebut juga disebut sebagai Hari Raya Orang Tua atau Hari Raya Ziarah. Ia dikenali juga sebagai Raya Nae.

Bagi masyarakat Patani, amalan terbabit berpadu dengan tradisi tempatan sehingga melahirkan budaya Hari Raya Enam sebagai tanda kesyukuran dan kebersamaan.
Persatuan Pemuda Pemudi Kampung Ternang memaparkan suasana pagi di kampung tersebut pada 8 Syawal, di mana masyarakat menziarahi kubur keluarga dan saudara yang meninggal dunia.
Perayaan itu dirayakan bangsa Patani selepas berpuasa enam hari di bulan Syawal. Raya enam merupakan hari raya kebudayaan yang diamalkan sejak zaman lampau.

“Kebiasaan amalan yang dilakukan hari ini ialah solat sunat tasbih dan ziarah-menziarahi kaum keluarga, saunak-saudara serta menziarahi tanah perkuburan supaya mengingati mati dan mendoakan untuk si mati.
“Mudah-mudahan amalan baik ini dapat dikekalkan walau dipandang bidah oleh sekelompak tertentu,” katanya.
Di Patani sekiranya ada penduduk memakai baju Melayu yang lengkap bersamping ia dianggap sebagai orang Malay. Namun, sekarang suasana itu sudah menular selepas muncul gerakan Melayu Raya.
Merantau

Ada laman sosial juga mencatat selesai raya enam bermakna habis musim Hari Raya Aidilfitri di Patani. Dan selepas itu ia kembali kepada suasana seperti sebelum Ramadan.
Anak-anak Patani kemudian merantau kembali mencari rezeki termasuk ke Bangkok, wilayah lain atau hijrah ke Malaysia.
Di Kelantan tradisi seperti di Patani masih menjadi amalan cuma suasananya berbeza. Amalan ziarah diamalkan bermula 1 Syawal dan hujung minggu.
Ramai juga mengambil kesempatan berpuasa enam selepas kembali bekerja. Ada yang berpuasa secara terus dan selang seli. Inilah akar budaya Melayu yang bersendikan agama.
