Kerajaan Madani hilang arah tadbir negara

Oleh Aslani M |
PADA Mei 1998 sejarah mencatat kejatuhan Presiden Suharto berpunca tekanan ekonomi yang begitu teruk akibat krisis kewangan Asia 1997.
Kesannya mencetus ketidakstabilan politik dan protes rakyat. Krisis tersebut menyebabkan rupiah menjunam, inflasi melambung sehingga memaksa Indonesia memohon bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Mungkinkah situasi serupa boleh berulang. Hari ini krisis seperti 1997 sedang dihadapi rakyat seluruh dunia ekoran tindakan ganas Amerika Syarikat dan zionis Yahudi melancarkan serangan ke atas Iran.
Biarpun dari segi geografi Asia Barat terletak jauh dari Asia Tenggara, namun kesannya sudah mulai dirasa sekarang.
Malam tadi Kementerian Kewangan mengumumkan peningkatan sebanyak 60 sen harga RON97 iaitu RM5.15 dan RON95 tanpa subsidi (RM3.85) serta kenaikan 80 sen diesel di Semenanjung Malaysia (RM5.52).
Presiden Putra Dato’ Ibrahim Ali menyifatkan kenaikan diesel kepada RM5.52 bukan soal teknikal, sebaliknya menggambarkan kerajaan sudah hilang arah dalam mengurus negara. Situasi itu diambil kira memandangkan Malaysia sebagai negara pengeksport minyak.
“Apabila harga minyak dunia naik, negara untung. Itu fakta yang tidak boleh diputar. Tetapi hari ini berlaku keadaan yang songsang.
“Negara untung, rakyat pula ditekan dan disuruh berjimat. Ini bukan ekonomi. Ini salah urus. Kerajaan bercakap tentang ‘pengurangan beban fiskal’ hakikatnya beban dipindahkan ke bahu rakyat. Kerajaan tidak tahu mengurus, rakyat akan dijadikan mangsa. Itulah yang sedang berlaku hari ini,” katanya pada kenyataan.
Nadi ekonomi

Diesel bukan barang mewah, sebaliknya ia sebagai nadi ekonomi rakyat. Semua perkara bergantung kepada enjin diesel bagi menghasilkan makanan dan barangan keperluan lain.
Teori ekonomi tidak sukar dibaca apabila harga diesel naik, harga barangan akan meningkat dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.
Kata Ibrahim dalam prinsip ekonomi paling asas, apabila negara menikmati lebihan hasil, rakyat mesti dilindungi, namun di Malaysia sekarang berlaku sebaliknya.
“Parti Putra mencadangkan satu dasar jelas menggunakan lebihan hasil minyak untuk melindungi rakyat melalui “Windfall Allocation Rule”, sekurang-kurangnya 30 peratus disalur kepada menstabilkan harga diesel,” ujarnya.
Selain itu subsidi bersasar wajar diberi kepada sektor yang menggerakkan ekonomi rakyat seperti logistik makanan, petani, nelayan dan perusahaan kecil.
Kerajaan juga dicadang menetapkan julat harga diesel yang stabil supaya rakyat tidak terus terdedah kepada kejutan pasaran global setiap kali harga berubah. Amaran Putra, sekiranya kerajaan tidak mampu, bermakna Madani tidak tahu mengurus kekayaan negara.
“Apabila ibu terpaksa kurangkan makanan anak kerana harga naik, itu kegagalan yang tidak boleh disembunyikan. Sejarah membuktikan, kerajaan jatuh bukan kerana angka, tetapi kerana hilangnya kepercayaan rakyat.
“Kerajaan yang gagal akan cari alasan. Kerajaan yang berani akan lindungi rakyat. Hari ini rakyat sudah nampak kerajaan sekarang di pihak siapa,” ujar Ibrahim.
Kos sara hidup

Perikatan Nasional (PN) turut menggesa kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai faktor sebenar kenaikan mendadak harga bahan api.
Selain itu PN mencadangkan kerajaan mengumumkan langkah-langkah segera bagi mengurangkan kesan kenaikan itu terhadap kos sara hidup rakyat.

Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kenaikan besar harga bahan api dalam tempoh singkat amat membimbangkan kerana ia akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Kenaikan tersebut disebabkan peningkatan kos pengangkutan dan logistik yang melibatkan pengeluaran bahan makanan serta barangan keperluan harian lain.
“Kenaikan harga diesel dijangka memberi kesan berantai kepada keseluruhan ekonomi memandangkan ia digunakan secara meluas dalam sektor pengangkutan, pertanian, pembinaan dan industri,” katanya.
Harga diesel berbeza

Begitu juga perbezaan ketara harga diesel antara Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak yang jauh lebih rendah iaitu RM2.15 seliter menimbulkan tanda tanya rakyat.
Takiyuddin menyifatkan mungkin terdapat justifikasi tertentu berkaitan struktur subsidi dan pertimbangan ekonomi wilayah menyebabkan jurang harga terlalu besar berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan.
“Pengguna dan peniaga di Semenanjung terpaksa menanggung beban yang jauh lebih berat atau seolah-olah dihukum oleh kerajaan atas sebab-sebab tertentu.
“Keadaan itu menuntut penjelasan yang telus dan jujur bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat,” kata Takiyuddin.

Bagaimanapun PN mengambil maklum kerajaan mengaitkan kenaikan bahan api tersebut ekoran peningkatan harga minyak global serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Namun, rakyat berhak mengetahui sejauh mana kerajaan membuat persediaan dalam menghadapi perkembangan tersebut, termasuk pelan mitigasi bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, peniaga serta perusahaan kecil dan sederhana.
“Timbul persoalan sama ada langkah-langkah yang diumumkan setakat ini berkesan dan mencukupi untuk benar-benar meringankan beban dan kebimbangan itu,” ujarnya.
Strategi
Kenaikan mendadak harga petroleum turut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan mempunyai strategi yang jelas dan menyeluruh mengurus dasar subsidi bahan api, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada bantuan bersasar tambahan akan diperluas kepada golongan terkesan. Selain itu menyatakan unjuran berhubung kemungkinan kenaikan selanjutnya dalam tempoh terdekat.
“PN mencadangkan agar kerajaan menimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor dan syarikat yang mendapat manfaat daripada lonjakan harga komoditi global, termasuk sektor minyak dan industri berkaitan supaya hasil tambahan tersebut dapat disalur bagi meringankan beban rakyat.
“Kerajaan wajib mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan dasar yang dilaksanakan bersifat telus, bertanggungjawab dan berkesan,” ujar Takiyuddin.
Kerajaan juga perlu bertindak segera bagi mengelakkan tekanan berterusan ke atas ekonomi Malaysia, selain itu memastikan perkembangan global yang tidak menentu tidak membebankan negara secara melampau.
Bom jangka

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman pula menyifatkan langkah kerajaan menaikkan harga diesel RM5.52 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April dianggap sebagai ‘bom jangka’. Ia boleh mencetuskan tekanan inflasi lebih meluas serta meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Baginya langkah tersebut mendedahkan ekonomi negara kepada risiko peningkatan harga barangan susulan tekanan kos dalam rantaian bekalan dan logistik.
“Selepas hampir empat minggu konflik tercetus, kerajaan masih dilihat samar dalam menilai impak ekonomi secara menyeluruh tanpa petunjuk jelas berhubung langkah mitigasi yang akan diambil,” katanya.

Sementara itu pengumuman kerajaan menaikkan harga bahan api malam tadi mendapat cemuhan dan kecaman sebahagian besar warga netizen.
Laman sosial Kementerian Kewangan menjadi tempat netizen meluahkan perasaan marah dan kecewa. Malah, ada dalam kalangan mereka menyifatkan negara sekarang diterajui pemimpin kelulusan bidang sastera yang tidak mampu mengurus ekonomi negara.
