Serantau

Dahulu isu Ambalat, sekarang diesel pula

Oleh M Faqih |

SEBELUM ini heboh isu Blok Ambalat. Juga berlaku percanggahan laporan antara media Indonesia dan Malaysia ketika lawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta.

Ambalat meliputi kawasan seluas 15.235 kilometer persegi. Lokasinya terletak di Laut Sulawesi dikatakan bernilai tinggi dari segi ekonomi dan geopolitik. 

Media Indonesia melaporkan negara itu dan Malaysia mencapai kesepakatan penting berkait pengelolaan bersama Blok Ambalat di Laut Sulawesi.

Pengumuman itu dilakukan usai pertemuan bilateral antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Malaysia di Istana Merdeka, Jakarta pada 27 Jun 2025. Kata media Indonesia, Anwar menekankan pentingnya bertindak cepat.

“Jika kita menunggu penyelesaian hukum, itu bisa memakan waktu hingga dua dekad. Jadi mari kita manfaatkan waktu ini untuk mendapatkan hasil yang bermanfaat bagi kedua negara dan membela nasib rakyat kita di wilayah yang cukup jauh dari perbatasan,” lapor media Indonesia.

Sebaliknya pada 22 Julai 2025 Anwar dilapor menegaskan perbincangan dengan Indonesia untuk melaksanakan perjanjian bagi Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) di kawasan Laut Sulawesi, membabitkan blok ND6 dan ND7 hanya di peringkat perbincangan.

“Belum ada persetujuan dalam soal Laut Sulawesi. Sebab itu rundingan bila masuk tajuk ini, barulah dibawa (kerajaan) Sabah. Kedudukan Laut Sulawesi belum dimuktamadkan,” katanya.

Dan sekarang isu hampir serupa berulang. Media Filipina mengumumkan ketibaan 329,000 tong atau lebih 52 juta liter minyak diesel dari Malaysia.

Menurut tokoh wartawan negara Dato’ A Kadir Jasin, beberapa laporan berita dari Filipina mengatakan, penghantaran dari Malaysia bertujuan memperkukuhkan bekalan bahan bakar negara tersebut.

Bagaimanapun Petronas menafikan terlibat mengeksport minyak terbabit. Manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menjelaskan hantaran itu bukan dari Malaysia.

Siapa bohong

“Jadi yang mana satu benar dan mana satu palsu? Siapa bercakap benar dan siapa berbohong?,” ujar A Kadir.

Naib Presiden Bersatu Dato’ Dr Radzi Jidin pula memberitahu kenyataan rasmi Department of Energy (DOE) semalam mengesahkan kerajaan Filipina menerima penghantaran 52.311 juta liter diesel dari Malaysia.

Menteri Tenaga Filipina, Sharon S. Garin pada hantaran di media sosial menjelaskan sebanyak 52.311 juta liter minyak diesel dibeli Filipina daripada Malaysia.

“Malaysia kata minyak diterima Filipina bukan dari Malaysia, Filipina kata dari Malaysia – mana satu betul?.   Saya mohon kerajaan segera merungkaikan perkara ini. Sekiranya kenyataan kerajaan Filipina itu tidak tepat, kerajaan Malaysia perlu minta perkara tersebut dibetulkan!,” kata Dr Radzi.

Setiausaha Jabatan Tenaga (DOE) Filipina pada kenyataan memberitahu kerajaan negara itu mengambil langkah terancang dan berpandangan jauh untuk menambah bekalan sedia ada.

Kata beliau DOE akan menyelaras rapat dengan agensi kerajaan berkaitan dan pihak industri bagi memperkukuh ketersediaan bahan api, mengekalkan keadaan pasaran yang teratur serta melindungi kebajikan pengguna.

“Intervensi kerajaan turut dilaksanakan bagi mengelak gangguan bekalan yang boleh menjejaskan sektor pengangkutan, logistik, penjanaan tenaga dan aktiviti ekonomi penting lain,” ujarnya.

Malah, sebelum ini Garin memaklumkan penghantaran tambahan diesel dari negara lain dijangka tiba bulan ini.

Anggota Exco kerajaan Terengganu Dato’ Dr Azman Ibrahim menyifatkan kerajaan Madani seperti terkial-kial hendak menafikan apabila Filipina mengaku terima diesel dari Malaysia?

Menurutnya semua orang tahu sudah lama Thailand, Australia, Bangladesh, Filipina dan beberapa negara lagi import minyak dari Malaysia.

“Tak kisahlah kapal tangki milik negara mana pun yang digunakan untuk hantar dan minyak itu milik syarikat mana. Kita tak kata pun minyak itu adalah milik syarikat minyak negara,” ujarnya pada catatan di laman sosial.

Mesej yang dihantar dari Filipina gagal dijawab segera bagi meyakinkan rakyat Malaysia. Sebaliknya kerajaan Madani terus membiarkan rakyat semakin keliru.

Pemilik kenderaan berat di Malaysia ditawarkan diesel harga kayangan atas alasan popular, perang di Asia Barat.

Mereka terpaksa membayar harga RM6.72 sen seliter. Biarpun Malaysia diketahui umum negara pengeksport minyak, namun harga ditawarkan kepada rakyat di Semenanjung antara tertinggi di Asia Tenggara.  

Oleh itu Setiausaha Agung Perikatan Nasional Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berharap kerajaan melaksanakan langkah segera untuk melindungi sektor kritikal, khususnya pengeluaran makanan dan rantaian bekalan domestik sebelum ia menjadi lebih serius.

Kata beliau kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme penstabilan harga bagi sektor pertanian, logistik dan memperluas bantuan bersasar kepada pesawah, nelayan dan pengusaha kecil.

Kegagalan kerajaan bertindak berisiko memberi kesan jangka panjang kepada kesejahteraan hidup rakyat serta ketahanan ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *