Hilang kerja angkara diesel

Oleh M Faqih |
BERDASAR rekod harga minyak mentah tertinggi dalam sejarah dunia berlaku pada Julai 2008. Ketika itu harga minyak jenis Brent mencecah USD$147 per barel.
Harga Brent mencapai USD147.27 setong dicatat pada 11 Julai 2008 dianggap sebagai tanda aras harga tertinggi dalam sejarah moden. Ia juga disebabkan ketegangan di Timur Tengah antara Iran dan Barat.
Harga minyak pernah melepasi USD120 setong pada tahun 2022 akibat konflik Rusia-Ukraine. Biarpun harga di peringkat dunia mencanak naik, namun ketika itu harga RON97 ialah RM2.70 seliter. Manakala RON92 pula RM2.62 seliter.

Di era akhir kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak harga minyak mentah dunia pernah mencecah USD115 setong, namun harga runcit diesel RM2.20 seliter.
Dan berdasar analisis harga minyak dunia sekarang menuju USD90 per barel ekoran ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran reda seketika, dalam edah gencata senjata.
Peliknya mengapa harga diesel di Malaysia boleh melonjak sehingga RM6.72 seliter ketika harga minyak mentah dunia semakin stabil. Adakah ia ada kaitan dengan dasar kerajaan atau keupayaan pemimpin.
Ini kerana ketika era akhir kerajaan BN dilaksana mekanisme subsidi yang lebih tinggi untuk menampung kenaikan harga global. Sedangkan era Madani subsidi ditarik balik.
Ancaman
Maka tidak pelik apabila TA Securities menyifatkan kenaikan harga diesel lebih 200 peratus sejak Februari menjadi ancaman utama kepada sektor pembinaan.
Harga diesel pada awal Februari RM2.15 seliter, namun meningkat kepada RM6.72 seliter minggu ini. Alasannya kerana gangguan bekalan akibat perang di Asia Barat.

Bagi memperlihatkan keadilan, kita tengok pula ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19. Pada Mac 2020, harga minyak di Malaysia turun drastik.
Bagi tempoh 21 hingga 27 Mac 2020, harga RON95 RM1.44 seliter, manakala RON97 RM1.74 dan diesel RM1.75 seliter. Harga itu terendah dalam sejarah negara.
Sedangkan ketika pandemik kemuncak ramai rakyat tidak mempunyai pendapatan. Mereka tidak dapat keluar bekerja kerana larangan pergerakan.
Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia sehingga 31 Mei 2025 dicatat 5,346,653 kes. Ia berdasarkan data kumulatif kes keseluruhan. Pandemik Covid-19 mencatatkan angka korban tertinggi dalam sejarah kesihatan Malaysia.

Biarpun rakyat berdepan dengan kesukaran dalam tempoh agak lama, namun tidak ada laporan yang menyebut penduduk mati akibat kebuluran. Bakul makanan sampai ke tangga rumah penduduk. Apakah ia menggambarkan kecekapan pemimpin.
Ketika itu ramai tidak dapat keluar bekerja kerana pandemik. Malangnya sekarang rakyat tidak bekerja kerana harga diesel berada di paras kayangan. RM6.72 seliter paling mahal dalam sejarah negara.
Gulung tikar

Hari ini 1,000 pengusaha bas persiaran di Pantai Timur berdepan dengan gulung tikar bukan kerana pandemik, sebaliknya angkara harga diesel di luar kawalan.
Bas persiaran tidak tergolong dalam senarai penerima subsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Pantai Timur (Pebat), Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat memberitahu bas persiaran tidak tergolong dalam syarikat yang layak menerima SKDS.
Begitu juga kira-kira 100 syarikat pengusaha bas persiaran di Zon Utara. Mereka juga berdepan masalah ‘gulung tikar’ kerana harga diesel mahal.

Sebahagian besar pengusaha tidak dapat menjalankan perniagaan akibat kenaikan harga diesel. Akibat harga diesel melambung juga menyebabkan harga bahan-bahan binaan termasuk simen meningkat 9.1 peratus. Dan konktrit siap naik 7.9 peratus.
Berdasar analisis kenaikan diesel 10 peratus boleh mendorong bahan binaan meningkat 1.2 peratus. Kesannya boleh menjejaskan margin bersih hingga 87 mata asas.
Oleh itu Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia menggesa kerajaan mengambil langkah membantu industri pembinaan yang kini berdepan tekanan serius ekoran kenaikan mendadak harga diesel.

Presidennya, Dato’ Dr Azman Yusoff menjelaskan kenaikan luar biasa memberi kesan langsung kepada kos operasi khususnya penggunaan jentera berat, pengangkutan dan rantaian logistik projek. Kesannya lebih 41,000 kontraktor berisiko terjejas sekiranya situasi itu berterusan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato’ Yusuf Abd Wahab dilapor mengakui kenaikan harga diesel memberi kesan ketara syarikat pengangkutan, kontraktor dan pembekal yang tidak menikmati subsidi kerajaan.
“Apabila kos pengangkutan meningkat, ia secara langsung menyebabkan harga bahan binaan turut naik, meningkatkan kos keseluruhan projek pembinaan,” katanya kepada media.
Berhenti kerja
Maka tidak hairanlah kajian Hong Leong Investment Bank (HLIB), Selangor dan Kuala Lumpur mencatat jumlah pemberhentian kerja tertinggi pada Mac 2026.
Malaysia merekodkan sebanyak 5,900 kehilangan pekerjaan pada Mac, berbanding 7,500 kes yang direkodkan pada Februari. Kebanyakan berlaku dalam sektor industri pembuatan, perdagangan borong dan runcit, serta maklumat dan komunikasi.
Selangor dan Kuala Lumpur merupakan lokasi perindustrian dan komersial utama Malaysia, mencatat pemberhentian pekerja terbesar. Selain itu Pulau Pinang dan Johor turut sensitif terhadap perubahan ekonomi.

Oleh itu Presiden PUTRA Dato’ Ibrahim Ali mendesak kerajaan menunjukkan iltizam politik yang jelas untuk membawa perubahan demi menangani kos sara hidup rakyat.
“Hentikan retorik kelirukan rakyat dan memeras poket rakyat dengan menaikkan harga diesel dan petrol secara melampau, di mana kerajaan Madani ambil peluang buat duit dari saku rakyat.
“Kerajaan Madani sudah kekeringan disebabkan boros berbelanja serta hutang negara sudah mencecah hampir RM1.5 trilion. Rakyat tidak boleh menunggu lebih lama. Masa untuk bertindak sekarang,” katanya pada kenyataan.
