Tangguh PRN elak PH-BN kecundang awal

Oleh M Faqih |
MENGAPA Ahli Parlimen DAP dari Melaka tiba-tiba mencadangkan supaya diisytihar darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada 5 April lalu mencadangkan kerajaan Melaka mengemuka petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menangguh PRN Melaka.
Cadangan itu turut disokong PKR melalui kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka dan Johor. Ketua AMK Melaka Hakimin Mokhtar dilapor berkata, langkah itu wajar dipertimbang kerana pilihan raya yang diadakan boleh mengganggu pemulihan ekonomi.
Kata beliau cadangan penangguhan PRN bukan satu bentuk pelarian politik. Hujah serupa diutarakan Ketua AMK Johor Mohd Faezuddin Puad, yang menyifatkan tiada keperluan mendesak diadakan PRN Johor kerana keadaan ekonomi tidak stabil akibat krisis di Asia Barat.

Krisis di Asia Barat berbeza dengan situasi pandemik Covid-19 pada 2020 yang meragut nyawa jutaan manusia. Biarpun kes kematian meningkat dan menakutkan, namun PRN Sabah tetap juga dilangsungkan akibat krisis politik.
PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020 selepas kemelut politik gagal diselesaikan. Ketua Menteri Sabah ketika itu Dato’ Seri Shafie Apdal memohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas pihak lawan mendakwa mempunyai sokongan mencukupi.
Umno, Bersatu, PBS dan PBRS yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) mendakwa mempunyai majoriti kerusi Dun Sabah. Akhirnya bagi merelaikan isu tersebut Yang di-Pertua Negeri Sabah bersetuju membubarkan Dun.
Covid-19
Pada masa itu krisis politik tidak mengendahkan penularan Covid-19. Lebih munasabah sekiranya darurat diisytiharkan di Sabah kerana keadaan krisis politik dan wabak penyakit begitu kritikal. Namun, pilihan raya tetap diadakan juga.
Malah, kerajaan PN yang menguasai Putrajaya juga menangguhkan sidang Dewan Rakyat ketika pandemik mencanak naik, malangnya Pakatan Harapan (PH) tidak mengendahkan.
Dan tiba-tiba hari ini hanya sekadar konflik politik di Asia Barat akibat kerangkusan Amerika Syarikat, ada pemimpin PH mencadangkan supaya PRN di Melaka dan Johor ditangguh.

Tempoh penggal ke-15 Dun Melaka dijangka berakhir pada hujung November hadapan. Ia mengambil kira PRN diadakan pada 20 November 2021. Maka akhir November 2026 genap lima tahun penggal ke-15 Dun Melaka.
Isunya mungkinkah hanya kegawatan ekonomi akibat harga diesel melonjat tinggi tiba-tiba pemimpin PH meratib PRN perlu ditangguh. Atau apakah ia berselindung di sebalik isu lain. Kerajaan Madani semakin tidak popular dan ramai melihat menanti masa ditolak rakyat.

Presiden PUTRA Dato’ Ibrahim Ali menyimpulkan PH-BN bakal kecundang bukan kerana pihak lawan terlalu kuat menyerang. Sebaliknya PH-BN kalah kerana mereka sendiri meruntuhkan kepercayaan rakyat.
“Mereka sendiri mengkhianati harapan yang pernah mereka jual. Mereka sendiri memusnahkan nama dengan tangan mereka sendiri. Hari ini rakyat sudah nampak formula sebenar kerajaan lemah mentadbir, kuat berjanji, lemah menunaikan, kuat menjaga imej, lemah menjaga hidup rakyat,” katanya pada kenyataan.
Hilang hormat
Menurut Ibrahim, kerajaan tumbang apabila rakyat sudah hilang hormat. Rakyat hilang kepercayaan. Kerajaan tumbang apabila kemarahan, kekecewaan dan rasa tertipu bercantum menjadi hukuman senyap di peti undi. Beliau membayangkan PRU16 PH-BN bukan sekadar kalah, sebaliknya terus bungkus.
“Apabila saat itu tiba, jangan salahkan lawan dan jangan salahkan rakyat. Salahkan diri sendiri kerana terlalu lama berlakon, dan terlalu lama menyangka rakyat boleh diperbodohkan.
“Inilah wajah sebenar kerajaan Madani. Mereka boleh bercakap panjang tentang reformasi dan masa depan negara, tetapi bila rakyat balik ke rumah dan buka dompet, yang ada bukan harapan, tetapi sesak nafas.
“Apabila minyak dan diesel naik, kerajaan keluarkan macam-macam hujah, angka dan alasan. Menteri boleh bercakap apa sahaja, tetapi rakyat tidak hidup atas hujah menteri,” ujarnya.

Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Muhamad Akmal Saleh turut membidas cadangan supaya kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri.
“Dulu zaman BN jadi kerajaan, kita juga menghadapi krisis ekonomi (tapi) tiada pula cadangan untuk isytihar darurat. Hari ini krisis ekonomi berlaku di negara lain juga, tetapi tiada yang mencadangkan perkara sama,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Ahli parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim menegaskan pilihan raya perlu diteruskan bagi memberi peluang rakyat menentukan kerajaan baharu.
Ketua Penerangan PAS Melaka Ustaz Ahmad Bilal Rahudin pula menyifatkan alasan penangguhan PRN kerana ketidaktentuan ekonomi global menimbulkan persoalan serius dibandingkan pelaksanaan darurat ketika pandemik Covid-19.

Kata beliau situasi semasa tidak boleh disamakan dengan era pandemik. Sistem pentadbiran negara kini berfungsi seperti biasa tanpa keperluan sekatan pergerakan.
“Saya menegaskan PRN perlu diteruskan mengikut jadual bagi memastikan proses demokrasi dihormati dan suara rakyat terus terpelihara. Kepimpinan yang berintegriti seharusnya bersedia untuk diuji di hadapan rakyat, bukan mencari alasan untuk menangguhkan proses tersebut,” ujarnya pada kenyataan.
Jelaslah konflik Amerika Syarikat, zionis Israel lawan Iran bukan alasannya. Berilah peluang rakyat Melaka dan Johor membuat perhitungan baru. Biarpun negeri terbabit masih dianggap kubu tradisional Umno, namun gelombang menolak kerajaan Madani seperti sukar dihalang lagi.
