Umno, PH ada peluang balas dendam

Oleh M Faqih |
SITUASI yang berlaku di Negeri Sembilan sekarang pernah dicetus di Perak pada 4 Disember 2020. Ketika itu Menteri Besar (MB) Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Adun.
Usul undi percaya terhadap Faizal hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 tidak menyokong dan satu berkecuali. Usul dibawa Adun Barisan Nasional (BN) Pengkalan Baru Dato’ Abd Manap Hashim.
BN mengimpikan jawatan MB kerana parti itu mempunyai bilangan Adun paling ramai. BN mempunyai 25 Adun, Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Perak mempunyai 59 Adun. Sebelum itu Faizal dilantik sebagai MB selepas Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum (PRU) 2018.
PH berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memperolehi majoriti mudah 31 kerusi Dun pada PRU14. PH menang 29 daripada 59 kerusi Dun Perak. Bagaimanapun dua Adun BN menyertai PH.
Namun, kedudukan Faizal tergugat melalui usul undi percaya. Umno menunjukkan belangnya kerana memiliki jumlah Adun lebih ramai berbanding parti lain.
Berikutan itu pada 10 Disember 2020 Adun Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad dilantik Menteri Besar Perak yang baharu. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak tidak tergugat biarpun MB bertukar.
Mungkinkah situasi serupa juga akan berlaku di Negeri Sembilan. Negeri itu merupakan kubu PKR dan PH sejak PRU 2008.
Tarik sokongan

Kerajaan negeri Negeri Sembilan yang diketuai PKR hilang majoriti selepas 14 Adun BN tiba-tiba menarik balik sokongan terhadap Dato’ Seri Aminuddin Harun.
Pada PRU 2022, BN memiliki jumlah kerusi paling banyak di Dun Negeri Sembilan. BN mempunyai 14 kerusi berbanding DAP (11).
Dan apabila BN menarik sokongan jumlah kerusi kerajaan PH susut kepada 17 kerusi iaitu DAP (11), PKR (5) dan Amanah (1). Manakala parti bukan PH pula mengumpul 19 kerusi iaitu BN (14), PAS (3) dan Bersatu (2).
Dun Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Gabungan parti memiliki 19 kerusi sudah boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Sebaliknya majoriti dua pertiga perlu mempunyai 24 kerusi.

Berdasar keadaan di Perak pada 2020, kemungkinan besar Aminuddin akan berundur bagi memberi laluan Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Dato’ Jalaludin Alias.
Lagipun PKR hanya memiliki lima kerusi Dun berbanding BN (14). Biarpun dalam banyak situasi berlaku pertembungan antara DAP dan Umno, namun ramai melihat Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih berminat menyelamatkan kerajaan PH-BN.

Tanpa Zahid sudah tentu bukan sekadar MB bertukar di Negeri Sembilan, sebaliknya muncul kerajaan baharu. Umno ada pilihan lain dengan mendapat sokongan Perikatan Nasional melalui PAS dan Bersatu.
Teori kesepatan itu boleh membentuk kekuatan 19 kerusi, berbanding PH (17). Seandainya Aminuddin mahu menguji pengaruh beliau juga boleh mendapat perkenan Yang Di Pertua Negeri bagi membubarkan Dun.
Namun, dalam keadaan sekarang pilihan raya negeri bukan pilihan popular kerana pengaruh kerajaan Madani semakin merosot. Tekanan hidup rakyat ekoran kenaikan harga diesel yang melangit boleh menyebabkan peluang PH tipis.

Petunjuk yang berlaku pada PRN Sabah ke-17 pada 29 November 2025 sudah cukup menjadi bukti. PH hanya menang kerusi tunggal melalui PKR di Dun Melalap.
Pada PRN Sabah PKR menurunkan 12 calon, hanya bernasib baik di Dun Melalap. DAP pula lebih malang apabila kalah semua kerusi yang ditandingi. Kerusi tersebut iaitu Dun Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong dan Elopura.

Maka jalan selamat dalam situasi pengaruh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semakin merudum, kemungkinan Aminuddin dinasihat memberi laluan kepada Jalaluddin. Lagipun Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini dianggap sebagai ‘orang kanan’ bekas Timbalan Presiden PKR Dato’ Seri Rafizi Ramli.
Bagaimanapun sekiranya teori tersebut gagal, pilihan yang ada gabungan parti baharu akan membentuk kerajaan. Namun, ramai percaya ia bukan pilihan Zahid dan Anwar. Krisis yang berlaku di Negeri Sembilan bukan perkara baharu. Isu takhta hanya sekadar kebetulan. Ia dikatakan bermula pada 17 April lalu apabila Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan memecat Undang Luak Sungei Ujong.
Dua hari kemudian Empat Undang mengisytihar pemecatan Yang Di Pertuan Besar. Dan pada 20 April Tuanku Besar Tampin pula menyertai Undang Yang Empat menandatangani dokumen mengesahkan untuk menurunkan Tuanku Mukhriz.
Terlepas
Biarpun impian Umno menduduki kerusi MB Negeri Sembilan semakin cerah, namun kerusi sama di Perak boleh terlepas. Di Perak Umno bukan dominan kerana hanya memiliki sembilan kerusi Dun. Sedangkan PH memiliki 24 kerusi. PN mempunyai kerusi paling banyak di Perak iaitu 26 kerusi. Sekiranya PH menarik sokongan terhadap Saarani, kerajaan PH-BN boleh tumbang.

Saarani boleh menyelamatkan keadaan dengan bekerjasama dengan PN. Sekiranya pendekatan itu diterima, kerusi Saarani boleh terlepas. Namun, adakah Zahid sanggup membiarkan kerajaan PH-BN di Perak jatuh. Tentunya tidak. Apapun episod membelas dendam boleh berlaku. PH-BN dilihat tidak lagi selamat melayari bahtera kerajaan Madani.
