Gelanggang Rakyat

Pembangkang ‘naik angin’ isu Projek Agropolitan

Oleh Aslani M |

IMPIAN penduduk miskin menyertai Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis, Gua Musang supaya dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.

Projek itu dilaksanakan pada 2009 pada peringkat awal dikendalikan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melibatkan kos kira-kira RM240 juta.

Seramai 585 peserta dipilih menyertai Agropolitan Kelantan Selatan. Sasaran awal ECERDC purata pendapatan peserta meningkat daripada RM500 kepada RM1,000. Peserta diberi lot rumah dan kebun koko seluas setengah ekar dan mengusahakan ladang sawit seluas 10 ekar.

Difahamkan pada peringkat awal menyertai Projek Agropolitan peserta memperolehi pendapatan sebanyak RM700 hasil kebun sawit dan RM200 jualan koko.

Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila ECERDC menyerah pengurusan Agropolitan Rantau Manis kepada Kesedar pada 2022. 

Menurut beberapa peserta selepas ladang diserah ECERDC kepada Kesedar, ladang tersebut tidak lagi diurus peserta, sebaliknya Kesedar melantik kontraktor untuk memungut sawit.

Ekoran itu ramai peserta terpaksa mencari rezeki di tempat lain kerana hilang pendapatan di ladang sawit yang diusahakan sejak sekian lama.

Dan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada Ogos 2024 Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid menyampaikan sijil tahniah kepada peserta projek Agropolitan.

Hari ini isu tersebut kembali hangat apabila dibangkitkan Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun). Kata beliau peserta projek tersebut diberi rumah dan lot ladang bagi membolehkan mereka mencari rezeki.

Surat penamatan

Namun, katanya pada tahun 2022 peserta terbabit diberi surat penamatan sebagai peserta projek Projek Agropolitan Rantau Manis.

“Saya baca perjanjian terbabit. Ia tidak melibatkan perjanjian antara peserta dengan kerajaan negeri atau kerajaan Pusat. Perjanjian hanya melibatkan peserta dengan Kesedar.

“Peserta diberi tanah ladang dan rumah, namun tiba-tiba mereka ditamatkan sebagai peserta. Ditamatkan mungkin kerana tidak serasi dengan politik,” katanya ketika membahas ucapan Menjunjung Kasih di Dun Kelantan.

Sedangkan ketika peringkat awal rancangan pembangunan diwujudkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien mahu agensi persekutuan membantu rakyat supaya dapat keluar daripada kemiskinan.

Wan Rohimi yang juga seorang peguam berkata, kerajaan negeri memberi tanah kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membangunkan kawasan Kelantan selatan.

Katanya program pembangunan di bawah Kesedar meliputi rancangan kemajuan tanah dan rancangan pemulihan tanah.

Geran

Menurut beliau kerajaan negeri meluluskan beribu hektar sejak diwujudkan Kesedar, namun malangnya masih ramai peneroka belum mendapat geran hak milik tanah.

“Peneroka menyertai rancangan tanah di bawah Kesedar sejak berpuluh tahun lalu, namun selepas selesai membayar hutang, mereka belum lagi dapat memiliki tanah kebun dan lot rumah.

“Tanah itu diberi kerajaan negeri kepada Kesedar antaranya meliputi Paloh 1, Paloh 2, Paloh 3, Lebir, Sungai Asap, Jeram Tekoh, Renok Baru, Limau Kasturi dan Agropolitan Rantau Manis.

“Kerajaan negeri sudah lama memberi tanah, mengapa sehingga sekarang peneroka tidak diberi geran. Sedangkan ramai dalam kalangan mereka juga sudah meninggal dunia,” katanya.

Isu yang dibangkit Adun Melor membuatkan pembangkang tidak senang duduk, di mana Adun Nenggiri Mohd Azmawi Fikri bangkit mencelah, kata beliau Kesedar sudah berusaha mengeluarkan geran kepada peneroka sejak era Dato’ Seri Najib Razak.

Menjawab isu tersebut Wan Rohimi memberitahu sudah berpuluh tahun kenyataan kerajaan Pusat mahu memberi geran kepada peneroka, namun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.  

Malah, ketika kerajaan Pusat diketuai Najib yang berakhir dengan kekalahan pada pilihan raya umum 2018, namun harapan peneroka juga tidak menjadi kenyataan.

Dan sekali lagi pembangkang naik angin dan bangkit dengan mempersoalkan ketika Kesedar dipengerusikan Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, tidak juga diberi geran kepada peneroka.  

“Ketika Senator Ustaz Nik Abduh menjadi pengerusi Kesedar pada 2020 hingga 2022, pelan tindakan sudah dibuat untuk memberi geran tanah kepada peneroka.

“Malangnya Perdana Menteri dari Umno ketika itu Dato’ Ismail Sabri membubarkan parlimen lebih awal sehingga menyebabkan usaha tersebut tidak menjadi kenyataan,” ujarnya.  

Adun Melor juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa khas  mengkaji semula tanah yang diberi Kesedar, namun tidak diberi geran hak milik kepada peneroka.

Kata beliau jawatankuasa itu boleh mencadangkan kepada kerajaan negeri bagi menaikkan cukai pemilikan tanah oleh agensi kerajaan Pusat.

Selain itu perlu melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Kesedar bagi membolehkan masalah berkaitan pemilikan tanah dapat diselesaikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *