Kemelut Bersatu rencat misi PN

Oleh M Faqih |
PERGOLAKAN dalaman yang masih melanda rumah tangga Bersatu, tentunya akan merencat misi Perikatan Nasional (PN) untuk mara lebih jauh. Sedangkan sasaran sebelum ini melebarkan pengaruh PN ke Perak, Selangor dan Pahang.
Bersatu masih dilanda kemelut ketika ada parti-parti lain berminat menyertai PN. Sehingga April lepas empat parti menghantar permohonan untuk menyertai atau bekerjasama dengan PN.
Parti terbabit iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Iman,dan Putra. Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi PN, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man April lepas.
Dan sudah tentu ketika ‘demam’ pilihan raya umum (PRU) ke-16 mulai riuh diperkatakan, peluang terbuka parti terbabit mencuba nasib. Setidak-tidaknya dapat menguji sokongan rakyat.

Namun, bagi pemerhati politik tempatan Yusri Yusof, PN perlu melihat kekuatan akar umbi parti terbabit terlebih dahulu sebelum disenarai sebagai calon PN pada PRU nanti. Situasi tersebut pernah menimpa Pejuang pada PRU lepas. Ketika itu Pejuang bertanding di bawah payung Gerakan Tanah Air (GTA). Calon yang ditampilkan bukan sebarangan.
Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Langkawi, manakala anaknya Dato’ Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun. Namun, Pejuang gagal meraih simpati majoriti rakyat.
Gelombang rakyat yang berlaku pada PRU lepas tidak dapat dinafikan masih bersisa. Orang Melayu dilihat masih bergantung harap kepada PN.
Impian penyokong reformasi untuk menikmati kemakmuran di bawah teraju Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti mengingau di malam hari. Malah, ramai otai reformasi mengangkat kaki meninggalkan bahtera lama. Maka PN lah antara tempat bernaung. Malangnya PN masih dihantui kemelut Bersatu dengan siri pemecatan dan penggantungan keahlian. Tempoh krisisnya begitu lama.
Kemelut

Mengapa dibiarkan Bersatu masih berantakan ketika orang Melayu mahu bernaung di bawah payung PN. Garis penamat krisis Bersatu dilihat masih samar. Malah, terbaharu Lembaga Disiplin Bersatu dilapor memecat dua Adun, manakala tujuh lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal.
Adun terbabit iaitu Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang). Beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah. Selain itu Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti).
Manakala tujuh wakil rakyat yang digantung keahlian iaitu Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Dato’ Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Dato’ Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Dato’ Khlir Mohd Nor (Ketereh). Apa cerita ni.

Turut digantung Adun Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan Adun Kuala Sepetang, Ahmad Man. Ketika Bersatu bergelut dengan demam panas, Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dikatakan mahu berpayung di bawah gabungan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof Madya Ir Dr Khairudin Md Isa menyifatkan langkah itu tidak memberi nilai strategik kepada masa depan blok pembangkang. Kata beliau Muhyiddin cuba menghidupkan parti-parti kecil yang tidak mempunyai pengaruh besar dalam politik nasional.
Tanpa berselindung beliau berhujah parti-parti di bawah IPR hanya bersifat ‘parti nyamuk’ dan tidak mempunyai kekuatan untuk membantu memperkukuh pembangkang.
“Mengapa Muhyiddin lebih sibuk menghidupkan IPR, sedangkan Bersatu masih gagal menunjukkan pelan pemulihan parti?” katanya seperti dilapor laman berita, Politiko. Khairudin turut menyifatkan keadaan itu seperti ‘PN bergerak ke utara tetapi Bersatu bergerak ke selatan’.
Sokong Anwar

Isu yang membelit Bersatu bukan perkara baharu. Lebih dua tahun lepas enam ahli parlimennya tiba-tiba menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Mereka iaitu Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dato’ Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dato’ Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Malah, ada bekas-bekas pemimpin Bersatu dilapor kembali ke pangkuan Umno. Antaranya bekas Timbalan Ketua Bersatu Cameron Highlands Mohd Azmi Abdullah mengumumkan kembali menyertai Umno.
“Pelbagai cabaran dihadapi sepanjang berada dalam parti pembangkang termasuk kekangan kewangan dan kesukaran menggerakkan organisasi di peringkat bahagian,” katanya kepada sebuah laman berita.

Ramai bimbang nasib Bersatu mengulangi apa yang berlaku terhadap Semangat 46. Parti itu diasaskan Tengku Razaleigh Hamzah. Selepas gagal impian untuk mentadbir negara, seorang demi seorang pemimpin Semangat 46 keluar parti.
Antara yang paling awal meninggalkan Semangat 46, Marina Yusof, Dato’ Ibrahim Ali, Nordin Salleh, Wan Najib Wan Muhammad dan ramai lagi. Sebaliknya apa yang berlaku dalam Bersatu sekarang, pemimpin dipecat dan digantung.
Usaha pemulihan PN di bawah Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentunya agak sukar sekiranya kemelut salah satu parti komponennya tiada noktah.
Peluang PKR
Di sebalik kemelut Bersatu, ada kajian mendakwa PKR memiliki peluang untuk mempertahan kemenangannya di 25 kerusi Parlimen yang disandang sekarang sekiranya PRU16 diadakan tahun ini.
Kajian terbabit melihat trend sokongan PKR di 66 kerusi Parlimen yang dijangka menjadi sasaran untuk ditanding pada PRU akan datang. Ia berdasarkan analisis sekumpulan penyelidik dari beberapa universiti awam. Kajian itu dijalankan sejak Januari hingga April lepas membabitkan 14,962 sampel.
Turut didedah kubu kuat PKR bertumpu di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kawasan berkenaan antaranya meliputi Parlimen Ampang, Gombak, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Wangsa Maju, Batu, Lembah Pantai, Batu Pahat serta Tebrau.
Begitu juga Parlimen Tambun, Perak dianggap masih selamat untuk dipertahan PKR. Daripada keseluruhan 66 kawasan Parlimen yang ditinjau, 30 kawasan Parlimen diletakkan sebagai kerusi marginal.

Bagaimanapun kajian tersebut tidak menyentuh konflik dalaman PKR, di mana bekas Timbalan Presiden Dato’ Seri Rafizi Ramli boleh dianggap sebagai musuh dalam selimut.
“Terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin PN untuk memanfaatkan strategi Rafizi. Begitu juga dengan Albert Tei boleh menarik pengundi Cina supaya tidak menyokong calon PH.
“Saya lebih percayakan Albert Tei dan Rafizi daripada Muhyidin dan Dato’ Seri Azmin Ali dalam konteks nak membantu PN mengalahkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” ulas pemerhati politik di media sosial.

Bagaimanapun pula dengan Umno. Bagi Dr Armin Baniaz Pahamin sokongan kepada Umno dilihat sebagai sokongan tidak langsung kepada kelangsungan dominasi politik Pakatan Harapan dan DAP.
“Perpaduan Melayu gagal bukan kerana rakyat Melayu menolaknya, tetapi kerana elit politik Melayu sendiri memilih survival kuasa,” catatnya di laman sosialnya.
Dapatan kajian tersebut perlu diberi perhatian serius. Untuk membolehkan PN mara ke medan, Bersatu pula perlu menoktah segera kemelut dalaman. Lagipun parti-parti lain sudah melancar jentera pilihan raya.
Sekiranya Bersatu masih berlengah, pastinya parti itu akan terpinggir dalam arus politik perdana. Rakyat akan menjauhi parti yang bermasalah. Tempatnya boleh diganti sesiapa sahaja yang sehaluan dalam perjuangan termasuk Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Rafizi dan Isham Jalil.
