Laluan berliku Anwar pertahan kerusi PM

Oleh M Faqih |
KETIKA bahang pilihan raya umum (PRU) ke-16 semakin dirasai rakyat, beberapa parti tidak dapat menyembunyikan lagi krisis dalaman yang berlaku. PKR dilihat tenang seketika selepas menguasai Putrajaya pada November 2022. Dengan bantuan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat menduduki kerusi perdana menteri (PM).
Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar tidak mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan. PH hanya menguasai 82 kerusi parlimen. PH hanya lebih sembilan kerusi parlimen berbanding Perikatan Nasional (PN) – 73.

PH diselamatkan Zahid dengan membawa 30 kerusi BN bagi melayakkan Anwar menduduki kerusi perdana menteri. Kemudian PH disokong pula Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan menghadiahkan 22 kerusi.
Begitu juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menambahkan kekuatan PH dengan enam kerusi parlimen lagi. Hasil sokongan BN, GPS dan GRS membolehkan Anwar yang mengindamkan jawatan perdana menteri sejak 2008, menjadi kenyataan.
Namun, keutuhan kerajaan Madani tidak mampu bertahan lama. Ia dirosakkan gelagat menteri yang tanpa segan silu menuang pemikiran liberal dalam kementerian dan dasar ekonomi Madani yang menyusahkan rakyat.
Menongkah arus

Dan hari ini penolakan terhadap kepimpinan Anwar semakin melebar. Dato’ Seri Rafizi Ramli tidak lagi keseorangan. Rafizi memulakan episod menongkah arus sejak Mei 2025.
Beliau seperti membalas dendam selepas tewas di pemilihan PKR pada 2025. Rafizi turut mendapat dukungan ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad. Selain itu Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Selain itu Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat). Bagaimanapun Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) tidak lagi kelihatan bersama Rafizi. Beliau dihadiahkan jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 16 Disember 2025.
Sebelum ini kumpulan Rafizi boleh dianggap sebagai duri dalam daging PKR. Anwar juga dilihat tidak ada kekuatan untuk menyingkirkan Rafizi biarpun sering bertembung dalam banyak isu.
Mahasiswa Keadilan

Bagi golongan muda, mereka melihat Anwar dan PKR begitu lemah. Duri dalam daging PKR tidak mampu dicabut. Maka kelompangan itu mendorong lapan pemimpin majlis pimpinan pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengangkat kaki meninggalkan PKR.
Sedangkan sebelum ini mereka diuar-uarkan sebagai pelapis masa hadapan PKR. Setiap parti politik ada pelapis dalam kalangan mahasiswa. Pada 25 dan 26 November 2023, MKM menghadiri Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan 2023 dan Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023.
MKM turut mendukung ucapan dasar Presiden PKR yang membayangkan reformasi harus dilakukan secara bil hikmah dan bukannya tergopoh gapah ikutan barat yang hanya akan membinasakan.

Tiba-tiba hari ini MKM mengumumkan keluar daripada PKR. Mereka juga menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan Anwar. Perkara itu disahkan pengerusi MKM, Ram Erfan Zur Nuqman yang menegaskan, “kami menolak budaya mempertahankan parti secara membuta tuli ketika prinsip perjuangan semakin ditinggalkan.
“Sehubungan itu, sebanyak lapan ahli majlis pimpinan pusat MKM mengumumkan keluar daripada parti hari ini,” katanya pada kenyataan baru-baru ini.
Turut menjejaki Ram Erfan; timbalan pengerusi, R Paarveen; naib pengerusi II, Ismail Hakim; setiausaha kerja, Muhammad Zuhair Hazman Zohari; setiausaha kerja II, Khairunnabiha Baharin; bendahari Emy Azariena; ketua penerangan Muhammad Luqman Hakim Mohd Kamal dan ketua biro seni, budaya & sukan Muhammad Danish Fitri Mohd Razi.
Bagaimanapun naib pengerusi III, Saw Zi Xuan masih kekal dalam PKR biarpun meletak jawatan dalam majlis pimpinan pusat MKM. Satu pertiga Ahli Majlis Pimpinan Pusat MKM meletakkan jawatan, maka kepimpinan sayap siswa PKR itu terbubar dengan sendirinya. Ia selaras dengan Fasal 13.3 Perlembagaan Mahasiswa Keadilan Malaysia.
Malah, bekas pengerusi MKM (2024-2025), Yuveraaj Pillai yang juga Timbalan Ketua Pemuda PKR Batu turut mengumum keluar daripada PKR. Beliau mendakwa 50 ahli Pemuda PKR dan ahli pimpinan Pemuda PKR Wilayah Persekutuan juga keluar parti.
Mereka terdiri daripada pengamal undang-undang, psikologi, ekonomis dan pelbagai latar belakang akademik. Menurut Yuveraaj, PKR dahulu berdiri sebagai parti reformasi dan harapan rakyat, kini semakin hilang arah.
PKR menubuh MKM pada 2012 bagi mewakili suara mahasiswa universiti awam dan swasta. Sejak ditubuhkan, MKM memperjuangkan isu berkaitan kebajikan pelajar, kebebasan akademik dan keadilan sosial.

Selepas 14 tahun MKM menjadi sayap kepada Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), malangnya hari ini AMK mendakwa Mahasiswa Keadilan Malaysia bukan sayap rasmi PKR. Nampaknya AMK menghalalkan episod ‘u-turn’ lagi.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin dilapor berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan tersebut yang didakwa berniat mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti serta Anwar.
Kerusi selamat

Pergolakan PKR juga sudah lama membarah di Sabah. Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin baru-baru ini mahu pimpinan PKR berhenti mengerah keringat anggota bawahan semata-mata untuk memastikan beberapa nama besar terus selesa di `kerusi selamat’.
Kata beliau anggota parti turun ke bawah untuk mempertahankan parti ketika susah, bukan untuk melihat budaya mencari jalan mudah terus diraikan apabila parti berada di puncak kuasa. Kemelut yang melanda PKR itu sudah tentu menggugat impian PKR untuk mempertahankan Anwar di kerusi perdana menteri bagi penggal kedua.
Sedangkan sebelum ini ramai bimbang krisis berpanjangan yang melanda Bersatu merencatkan pelan tindakan Perikatan Nasional (PN). Krisis rumahtangga Bersatu sedikit sebanyak mengganggu pelan PN untuk melebarkan pengaruh di luar kerajaan empat negeri (SG4).

Hakikat itu juga diakui bekas pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang bimbang PN ‘dibebankan’ oleh konflik dalaman Bersatu. Menurutnya konflik tersebut semakin menjauhkan gabungan itu daripada fokus sebenar untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Di sebalik kemelut terbabit, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa mahu PAS dan PN membuat persiapan memperbaiki kepincangan yang semakin banyak. Kata beliau PAS dan PN perlu dukungan semua, termasuk bukan Melayu.
“Tetapi wajib bermula dengan menyatupadukan Melayu terlebih dahulu. Realiti masa kini ialah majoriti orang Melayu bersama PAS dan PN. Justeru ia satu cabaran untuk PAS dan PN melengkapkan diri memikul amanah yang semakin besar.
“Bukan memilih berpecah sesama Melayu, kemudian mengharap dukungan bukan Melayu. Melayu bersatu menjamin pemerintahan yang adil dan sejahtera. Zaman berzaman Melayu Islam memerintah negara majmuk, berbagai kaum dan agama,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan hanya politik bersandarkan nilai dan ajaran Islam yang menjamin kebaikan. Hakikat itu juga diakui bekas panglima tentera Iraq, Jeneral Mahmood Shit Khattab. Kata beliau agama merupakan faktor terpenting yang boleh meninggikan moral rakyat.

