Cuit Oghe Kito

‘Daulat Tuanku’ ubah landskap politik Selangor

Oleh M Faqih |

PETANDA-petanda awal kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) mulai kelihatan pada tahun 2007. Ia digerak antaranya oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Bersih ditubuhkan pada tahun 2006 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Himpunan Bersih pada 2007 dilapor disertai 10,000 peserta. Bersih mengadakan lima siri himpunan bermula 2007 sehingga 2016.

Setahun selepas gelombang Bersih, BN hilang majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya umum (PRU) 2008. BN hilang penguasaan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang berjaya diterajui Pakatan Rakyat (PR).

Manakala Kelantan dan Kedah pula di bawah penguasaan PAS juga di berkiblat PR. Dan selepas 10 tahun kemudian yakni pada PRU 2018, BN kehilangan kerajaan Persekutuan.

Dan hari ini situasi serupa kelihatan seperti berulang. Gerakan massa sekarang bukan lagi dicetus Bersih, sebaliknya kumpulan lain di bawah paksi penyatuan ummah seperti yang berlaku pada 2018.

Ummah mulai berpadu bagi membantah hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH)  meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perhimpunan itu lebih dikenali sebagai Himpunan 812 diadakan pada 8 Disember 2018 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. PAS dan Umno serta NGO Melayu berjaya menganjur himpunan lebih besar berbanding Bersih.

Bermula dari situ kerajaan diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang selepas Bersatu menarik diri daripada PH. Manakala Dato’ Seri Azmin Ali dan pengikutnya keluar PKR.

Kemudian lahir Perikatan Nasional (PN). PN mengambil alih Putrajaya selepas PH hilang majoriti di Dewan Rakyat. Dan sekarang detik-detik 2008 dan 2020 seperti berulang semula.

Keluar parti

Langkah Azmin meninggalkan PKR hampir enam tahun lalu, sekarang dijejaki pula Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Dijangka beberapa lagi ahli parlimen PKR mengikut jejak Rafizi.

Antaranya Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Dato’ Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya). Mereka dilapor hadir pada majlis pengisytiharan Rafizi dan Nik Nazmi keluar PKR semalam.

Gerakan Rafizi mengulangi apa yang pernah dirintis Azmin. Namun, Rafizi dan Nik Nazmi dianggap lebih berani kerana sanggup mengosongkan kerusi parlimen Pandan dan Setiawangsa.

Keberanian mereka menyebabkan PKR semakin hilang momentum. Biarpun Anwar sudah menjangka langkah Rafizi, namun beliau dianggap cuba mengelak bertembung secara ‘jantan’ di gelanggang politik. Rafizi memilih masa yang tepat mengumumkan keluar PKR, sehari selepas Himpunan Daulat Tuanku di Shah Alam. Himpunan itu mampu membuka gelanggang bagi mempertautkan semula penyatuan Melayu.

Daulat Tuanku

Laungan daulat Tuanku bergema di hadapan pintu masuk SUK Selangor, Sabtu lepas. Ribuan rakyat dan pemimpin pelbagai parti Melayu dan NGO hadir pada perhimpunan tersebut.

Himpunan ‘Daulat Tuanku’ juga memperlihatkan penyatuan semula pemimpin Umno dan PAS serta bekas pemimpin Bersatu di atas satu nawaitu.

Kelihatan hadir Pengerusi Umno Selangor Dato’ Wira Megat Zulkarnain Omardin; Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri; bekas pemimpin Bersatu, Tan Sri Noh Omar; Presiden Putra, Dato’ Ibrahim Ali; Ketua Pemuda Umno Selangor, Dato’ Imran Tamrin, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sukri Omar; pemimpin Pejuang dan ramai lagi.

Perhimpunan tersebut digerakkan Pemuda PAS Selangor susulan cadangan penternakan babi moden dibangkit Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, baru-baru ini.

Ustaz Sukri memberitahu himpunan tersebut menggambarkan rakyat Selangor tidak akan berdiam diri apabila institusi diraja dan titah Sultan cuba dipersoalkan.

Noh yang juga bekas Ketua Umno Selangor menegaskan tindakan Adun DAP berkenaan wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana didakwa menyentuh titah Sultan Selangor.

Ibrahim pula mencadangkan kerajaan menggubal Rang Undang-Undang Kedaulatan Raja bagi mengekang budaya menghina dan memperlekeh institusi diraja yang semakin membimbangkan.

Himpunan bermula dengan solat Asar berjemaah di Masjid Negeri sebelum perarakan menuju ke SUK Selangor. Turut diadakan penyerahan Memorandum Taat Setia kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan.

Seorang peguam, Dr Yusfarizal Yussoff memberitahu kalau tidak kerana ucapan perbahasan titah oleh Adun Seri Kembangan yang menimbulkan cadangan penternakan babi di Selangor, tidak perlu dianjur Himpunan Daulat Tuanku.

Menurutnya sudah tiga kali Sultan Selangor bertitah untuk menoktahkan isu penternakan babi. “Perkara L (50) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 jelas meletak hak kuasa eksekutif kepada Tuanku Sultan, namun ia boleh dijalankan oleh baginda atau oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ini bermaksud, Tuanku Sultan tidak harus dipisah atau diasingkan daripada isu pentadbiran eksekutif, sehingga ada yang biadap menyatakan fungsi tersebut ibarat ‘rubber stamp’ semata-mata,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Isu babi boleh dianggap sebagai isyarat awal kerajaan PH hilang kawalan di Selangor. Biarpun PH memiliki 32 Kerusi Dun di Selangor, namun himpunan Daulat Tuanku dilihat mampu menyatukan semula orang Melayu di Selangor di bawah landskap baharu.

Pada PRU lepas jumlah kerusi Melayu dikuasai PN dan BN sebanyak 24. Sebanyak 22 kerusi dimiliki PN dan dua lagi dimenangi BN. PN-BN hanya kekurangan kurang lapan kerusi berbanding PH.

Sedangkan ketika kempen PH dan BN menyasarkan menang 53 daripada 56 kerusi Dun Selangor pada PRU lepas. Namun, PN berjaya menafikan ego PH dan BN.

Sebaliknya, hari ini hubungan PH dan BN semakin renggang. BN dan Umno menjadi mangsa cemuhan di konvensyen PH di Johor semalam. Maka sudah sampai masanya Umno Selangor dan Johor meninggalkan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih mahu mempertahankan kerajaan Madani.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *