Pengaruh PH di bawah Anwar makin merosot

Oleh M Faqih |
JOHOR tidak dapat dinafikan merupakan kubu Umno di Tanah Melayu. Selain Johor, Melaka juga boleh dikatakan sebagai benteng akhir Umno. Hanya dua negeri berkenaan, pemimpin Umno masih menduduki kerusi ketua kerajaan.
Biarpun Pahang dan Perak juga menteri besar daripada Umno, namun tiada kuasa dominan. Tanpa bantuan Pakatan Harapan (PH) Umno berada di kerusi pembangkang di dua negeri terbabit.
Pada 2022, Umno hilang kerusi ketua kerajaan di Perlis. Sebelum itu di Kedah dan Terengganu. Begitu juga di Sabah dan Sarawak.
Silap percaturan Umno akan hilang kuasa politik di Pahang, Perak dan Melaka pada pilihan raya umum (PRU) ke-16. Atau mungkin Melaka akan terlepas tangan lebih awal melalui pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Namun, kekuatan Umno di Johor juga boleh dirobek. Buktinya pada PRU ke-14, Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat membentuk kerajaan negeri di Johor. Ketika itu PH memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
PH mendominasi jumlah undi dengan didahului DAP apabila menang 14 kerusi, diikuti Parti Amanah Negara (Amanah) – 9 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – 8 kerusi dan PKR (5 kerusi). Manakala BN hanya mampu mempertahankan 19 kerusi dan PAS pula menang kerusi tunggal di Dun Bukit Pasir.
PH berjaya mengumpul 781,493 undi. DAP mendapat undi paling tinggi iaitu 311,905; diikuti Bersatu (214,703 undi); Amanah (140,001 undi) dan PKR (114,884 undi).
BN pula mendapat 555,995 undi dengan didahului Umno apabila mengumpul 353,616 undi, MCA ditempat kedua 144,888 undi dan MIC (42,502 undi).
Berdasar jumlah undi terkumpul pada pilihan raya yang diadakan 9 Mei 2018 jumlah undi diraih Umno lebih tinggi berbanding DAP. Namun, perbezaan jumlah undi hanya 41,711 undi.
Dr Mahathir ketuai PH

Mungkinkah jumlah undi begitu tinggi diraih DAP kerana ketika itu PH diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalil kedua dapat dilihat apabila jumlah undi Bersatu juga tinggi dengan 214,703 undi.
Bagaimanapun ketika menghadapi PRN Johor pada Mei 2022, Pengerusi PH ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi Dr Mahathir. Dr Mahathir keluar PH pada Februari 2020.
Selepas PH dipimpin Anwar prestasi gabungan terbabit mulai merosot. Hakikat itu tidak dapat dinafikan apabila BN berjaya bangkit semula dan pada PRN 2022 apabila menang di 40 kerusi. Dun Johor memiliki 56 kerusi.
BN kembali berkuasa di Johor dengan memperoleh mandat lebih dua pertiga pada PRN ke-15. BN memenangi 40 kerusi, di mana Umno menguasai 33 kerusi, MCA (4) manakala MIC (3).
Kerusi Dun yang dimenangi BN iaitu Dun Buloh Kasap, Sungai Balang, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Rengit, Machap, Layang-Layang, Kahang, Penawar, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Tanjung Surat, Benut dan Kukup.
BN juga berjaya merampas semula Pemanis, Kemelah, Bekok, Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Semerah, Yong Peng, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Paloh, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Pulai Sebatang dan Pekan Nanas.
Pada PRN tersebut juga pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun muncul buat pertama kali sebagai pengundi. Ternyata rata-rata anak muda Melayu menolak PH.
PH pula hanya menang 11 kerusi, Perikatan Nasional (3), manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu.

Dijangka prestasi PH akan terus merudum pada PRN16 Johor kali ini. Petunjuk yang berlaku di Sabah tahun lepas, di mana PH hanya menang satu kerusi. Sedangkan Anwar yang juga perdana menteri kerap turun padang membantu kempen calon PH. DAP turut gagal memenangi sebarang kerusi di Sabah.
Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang ramai pengundi tertekan dengan kenaikan kos sara hidup. Kenaikan harga diesel memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Kemudi PN
PN juga tidak ketinggalan akan memeriahkan PRN Johor kali ini. Kemudi PN sekarang bukan lagi di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan PRN Johor sebagai medan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat khususnya dalam isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara.
Kata beliau PN akan memasuki gelanggang pilihan raya dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen PN agar memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya Johor dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan.
“Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, Perikatan Nasional akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia lebih baik,” ujarnya pada kenyataan.
