Gelanggang Rakyat

DAP buruk Kelantan pancing undi di Johor

Oleh Aslani M |

MENGAPA tiba-tiba Kelantan menjadi mangsa politik murahan DAP. Sedangkan PAS juga menerajui kerajaan negeri Terengganu dan Kedah. Jawapannya agak mudah. Ia ada kaitan dengan dendam politik.

Kelantan dilihat sebagai benteng PAS di negara ini. Sekiranya benteng itu berjaya diceroboh, kekuatan PAS dianggap pudar. Malah usaha serupa sudah lama dilakukan Umno. Ia bermula sejak Oktober 1990.

Selepas kerajaan diterajui Umno tumbang di Kelantan pada 21 Oktober 1990, ada pemimpin Umno menyebut PAS hanya mampu mentadbir Kelantan tiga bulan. Dan selepas kenyataan itu meleset, disebut pula hanya mampu bertahan tiga tahun.

Nah, sekarang PAS mentadbir Kelantan hampir 36 tahun. DAP nampaknya mengulangi teori yang pernah dirintis Umno. Pendekar DAP seorang menteri dan seorang lagi ahli parlimen. 

Nga Kor Ming ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Beliau dilapor mendakwa kes jenayah tertinggi di Kelantan ketika lebih 30 tahun PAS menerajui kerajaan. Isu tersebut tular dalam bahasa Cina di media sosial.

Video ucapan yang durasi 28 saat mendakwa Kelantan banyak kes Aids, rogol, kes dadah dan kadar pengangguran tinggi. Selain itu kemiskinan berpunca ramai bakat tempatan berhijrah ke luar negeri.

Kemuncak kemarahan terhadap Kelantan apabila Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP menyatakan “babi betina pun boleh memanjat pokok”.

Pakar Psikososio, Dr Zulkeflee Yaacob menyifatkan analogi disebut pemimpin DAP terbabit sebagai berbaul lucah.

“Pemimpin terbabit silap kerana menganggap orang ramai mudah percaya terhadap metafora seperti itu. Sedangkan pengundi Melayu sudah lama tahu survival politik cauvinis DAP,” katanya di sini.

Usaha menghodohkan Kelantan tidak terhenti di situ. Ia diteruskan pula ahli parlimen DAP Jelutong RSN Rayer dengan mendakwa Kelantan mencatat kes jenayah sesksual tertinggi di negara ini.

Halang PH

Mungkinkah kritikan keras terhadap Kelantan ekoran PAS meminta penyokongnya mengundi Barisan Nasional (BN) di kerusi tidak ditandinginya Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada kenyataan baru-baru ini menggesa penyokong Perikatan Nasional mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada PRN Johor bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“Keutamaan memastikan PH gagal memenangi kerusi berkenaan. Ya, di tempat yang PN tidak bertanding, kita mesti halang PH daripada menang,” katanya.

Maka tindak balas terhadap kenyataan itu, DAP terus menyerang Kelantan tanpa asas yang kukuh. Mengabaikan bukti yang jelas, naratif DAP seumpama meludah ke langit.

Pemimpin DAP sepatutnya menghadam data rasmi yang dikeluarkan agensi kerajaan Persekutuan. Statistik tersebut bukan dikeluarkan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Kelantan.

PDRM, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah teraju kerajaan Pusat.

Agensi terbabit mendedahkan kes jenayah tahun 2024, Kelantan hanya 91 kes. Ia berbeza jauh dengan Selangor merekodkan 438 kes, Johor (271 kes), Perak (184 kes), Sabah (155 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (140 kes), Pulau Pinang (119 kes) dan Melaka (108 kes).

Begitu juga kes bekalan, Kelantan mencatatkan 1,513 kes, jauh lebih rendah berbanding Selangor yang merekodkan 2,716 kes.

Manakala data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023 menunjukkan Kelantan merekod 93 kes HIV. Angka itu jauh lebih rendah berbanding Selangor (1,062 kes), Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Pahang, dan Perak.

Statistik Jenayah Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula merekodkan Kelantan 2,296 kes jenayah indeks pada tahun 2024 dengan nisbah jenayah indeks sebanyak 109, jauh lebih rendah berbanding Selangor yang mencatatkan 11,910 kes.

Keliru rakyat

Dr Zulkeflee menegaskan kenyataan yang mengelirukan rakyat hanya memberi gambaran salah. “Perbuatan itu tidak bermaruah, apalagi individu yang bertaraf menteri mahupun ahli parlimen memperlihat tidak berintegriti dan hilang atribut penggubal dasar negara. 

“Naratif politik jijik wajar dibatasi nilai dan prinsip sebagai jenama kepercayaan seperti Jepun dikenali dunia sebagai negara bersih kerana  amalan bertanggungjawab kepada negara,” ujarnya.

Perkara sama turut ditegaskan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan apabila menyifatkan kenyataan pemimpin DAP mengelirukan kerana memberi gambaran secara salah.

Kata beliau kenyataan mereka tidak bersandarkan data rasmi kerajaan serta lebih bermotifkan politik.

“Sebarang ulasan mengenai isu jenayah dan gejala sosial perlu merujuk kepada statistik rasmi dan bukannya menggunakan data secara terpilih sehingga mengelirukan rakyat,” katanya di Kota Darulnaim semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *