Cuit Oghe Kito

Gelombang biru makin marak di Negeri Sembilan

Oleh M Faqih |

BERMULA sekadar ‘experiment’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai lepas. Ketika itu bermula dengan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kertas undi di tempat Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding.

Teori terbabit dicetus Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau mengarah penyokong PAS memberi undi kepada calon BN di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang tidak ditandingi PN.

Walhasilnya prestasi Pakatan Harapan (PH) merosot teruk. Sebaliknya Barisan Nasional (BN) melonjak jumlah kerusi daripada 40 kepada 48. Manakala PH menurun kepada lapan kerusi daripada 12 kerusi. Perikatan Nasional (PN), Muda dan Bersama gagal memenangi sebarang kerusi.

Umno meraih kemenangan besar iaitu 97.3 peratus apabila menang di 36 daripada 37 kerusi yang ditandingi. MCA pula mendapat 53.3 peratus apabila kuasai lapan daripada 15 kerusi disertai.

MIC mencapai kemenangan 100 peratus di kesemua empat kerusi yang ditandingi. Dan DAP hanya meraih 35.3 peratus undi apabila hanya menang enam daripada 17 kerusi ditandingi.

Ketika itu belum ada persefahaman PN-BN seperti di Negeri Sembilan. Timbalan Presiden Umno Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Pengerusi Umno Negeri Sembilan Dato’ Jalaluddin Alias mengambil pendekatan berbeza berbanding Ketua Umno Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.

Mungkin kerana semangat feudalisme yang tebal di Johor menyebabkan Onn Hafiz tidak melihat kepentingan penyatuan ummah. Umno merampas kerusi yang pernah dimenangi PN pada PRN lepas termasuk Maharani.

Sebaliknya Umno/BN Negeri Sembilan lebih gentlemen. BN Negeri Sembilan tidak meletak calon di 11 kerusi bagi memberi laluan kepada PN. BN bertanding di 25 kerusi. Pada PRN lepas Negeri Sembilan dikuasai PH apabila menang di 17 kerusi Dun. Daripada jumlah tersebut DAP menang 11 kerusi, PKR (5) dan Amanah (1).

BN pula menguasai 14 kerusi dan PN lima kerusi iaitu PAS (3) dan Bersatu (2). Bagaimanapun pada PRN kali ini Bersatu memilih berada di luar rumah besar PN.

Bersatu bawa diri

Bersatu disifatkan berada di luar penyatuan ummah. Pada 2018 Umno dianggap menghalang Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional, namun sekarang berbeza apabila Bersatu membawa diri.

Pada 2018 penyatuan ummah berada di kemuncak apabila termeterai Piagam Muafakat Nasional pada September 2019.

Dan PRN Negeri Sembilan penyatuan ummah muncul kembali. Jiwa besar Umno/BN tidak meletak calon di 11 kerusi yang ditandingi PN digambarkan seorang penulis, Roslan Shahir sebagai sesuatu yang indah.

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa pula menyifatkan apabila meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik, membolehkan sebuah keluarga besar yang berkongsi cita-cita sama dibentuk.

“Inilah kekuatan sebenar gelombang biru. Bukan sekadar gabungan parti, tetapi penyatuan hati dan tekad untuk mengembalikan politik matang yang mengutamakan rakyat,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Annuar bertaut semula dengan bekas anak buahnya, Dato’ Seri Md Alwi Che Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno ketika membantu kempen di Negeri Sembilan.

PRN Negeri Sembilan juga menyaksikan pimpinan PN di semua peringkat dibenarkan berkongsi pentas dan bekerjasama dengan jentera BN apabila diperlukan. Annuar yang juga Ketua Penerangan PN berkata, PN terus memperkukuhkan perpaduan dan muafakat rakyat semua kaum, bangsa dan agama.

Menurutnya mesyuarat jawatankuasa induk pilihanraya PN yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PN, Dato’ Seri Sanusi Md Nor mewujudkan Pusat Media, Penerangan dan Komunikasi PN untuk kemudahan wartawan dan sebagai ‘command centre’ bagi semua aktiviti penerangan.

“Selain itu melantik dan memberi mandat kepada Setiausaha Agung PN dan wakil komponen untuk menyelaras aktiviti dan gerakan bersama BN,” katanya pada kenyataan.

Kongsi pentas

Pada minggu pertama diadakan lapan ceramah secara berkongsi pentas PN-BN. Selain itu petugas PN pula menggerakkan ceramah kelompok kecil serta ziarah mesra di setiap Unit Daerah Mengundi.

“Hidupkan suasana persaudaraan dan kebersamaan PN-BN serta rakyat berharmoni dan bersatu padu. InsyaAllah.. ‘Bersama Kito Jago,” ujar Annuar.

Pada Sabtu lepas pemimpin PAS, Umno, Wawasan, Gerakan dan MIPP bergabung pada hari penamaan calon. Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob mengiringi calon PN, Kamarol Ridzuan Mohd Zain di Dun Paroi.

Ketika penyatuan Melayu subur semula di Negeri Sembilan, sebaliknya Bersatu tanpa menghiraukan kawan dalam PN bertanding di 24 daripada 36 kerusi Dun. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu melebihi majoriti mudah 19 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“InsyaAllah, jika diberikan mandat rakyat Negeri Sembilan, Bersatu akan membentuk kerajaan negeri,” katanya pada kenyataan.

Keberanian Bersatu meletak ramai calon biarpun banyak calon parti itu di Johor hilang wang pertaruhan, disifatkan seorang sarjana bertujuan membolehkan Muhyiddin menumpu agenda politik peribadi untuk kembali menduduki jawatan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof Madya Ir Dr Khairudin Md. Isa berkata, prestasi buruk Bersatu pada PRN Johor memberi gambaran jelas parti itu semakin kehilangan pengaruh di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Menurutnya Muhyiddin dilihat lebih memberi keutamaan kepada usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri berbanding memperkukuhkan struktur parti.

“Saya berpendapat Bersatu akan kalah teruk di Negeri Sembilan. Jika itu berlaku, Bersatu akan menjadi Semangat 46 versi 2.0,” katanya kepada laman berita.

Menurutnya keputusan PRN Johor dan prestasi Bersatu di Sabah sebelum ini menunjukkan parti itu sedang berdepan krisis sokongan yang serius, selain dibelenggu masalah dalaman serta penghijrahan pemimpin.

Ahli Parlimen Beluran, Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee turut menyifatkan tindakan Bersatu meletakkan calon menentang calon PN di lapan kerusi Dun membuktikan parti itu tidak lagi berhasrat untuk kekal bersama gabungan tersebut.

Kata beliau, langkah itu secara jelas memperlihatkan pendirian politik Bersatu memilih untuk bergerak secara berasingan daripada PN dalam pilihan raya berkenaan.

Bersatu menurunkan 24 calon dalam PRN kali ini, di mana 8 daripada kerusi tersebut bertembung dengan parti-parti komponen PN.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman pula menggambarkan PH begitu gelisah di Putrajaya ketika kerjasama PN-BN semakin rancak di PRN Negeri Sembilan.

Kata beliau persefahaman PN-BN di Negeri Sembilan bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi, memperkukuh penyatuan ummah dan menawarkan alternatif kepada kegagalan pentadbiran PH.

“Adapun sebarang bentuk kerjasama PN-BN pasca PRN Negeri Sembilan masih bersifat ‘ujian formula’. Semua pihak masih berhati-hati, termasuk mengambil kira pandangan akar umbi. Reaksi MCA menunjukkan rasa sangsi terhadap kerjasama itu masih wujud.

“Hakikatnya, di mata rakyat, khususnya umat Melayu di negara ini, Perdana Menteri dan PH sedang menghitung hari,” ujarnya.

Kubu DAP tidak selamat

Penguasaan PH di Negeri Sembilan sejak PRU 2018, kini nampaknya semakin longgar. Gelombang biru mara sehingga ke Dun Chennah yang ditandingi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dun Chennah berada di kawasan Parlimen Jelebu, mempunyai kira-kira 15,000 orang pengundi berdaftar iaitu 46 peratus Melayu, Cina (44 peratus), India (2 peratus) dan lain-lain termasuk Orang Asli (7 peratus).

Pada PRN 2023, Anthony Loke menang dengan majoriti 2,200 dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PN dari Bersatu. Anthony Loke mendapat 61.49 peratus undi dan calon PN (38.51 peratus) undi.

Ketika itu Umno dan PH bergabung menentang calon PN. Dan PRN 2026 situasi berbeza apabila PN bekerjasama dengan BN menentang PH. Dun Chennah menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Anthony dengan calon BN, Siow Kong Choon.

Pada perkiraan mudah sudah tentu Loke menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan Dun Chennah. Dan hampir pasti sebahagian besar pengundi Melayu menolak calon DAP.

Lagi pun petunjuk yang berlaku pada PRN di Johor dan Sabah, sudah jelas berlaku peralihan pengundi Cina daripada DAP. Situasi itu membuatkan Loke semakin tidak senang duduk. Sekiranya calon MCA berjaya merampas kerusi tersebut, bukan sahaja karier politik Loke terjejas, malah reputasi kerajaan Madani juga tergugat.

Mungkinkah ia sebagai isyarat awal, satu demi satu negeri diterajui PH bakal terlepas ke tangan gelombang biru (BN+PN). Lebih-lebih lagi gelombang merah dilihat semakin hilang ghairah. Kata Pak Abu dari Seremban, janji tidak ditepati punca PH semakin ditolak rakyat.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *