Cuit Oghe Kito

Selepas Negeri Sembilan, PH terlepas Selangor?

Oleh M Faqih |

MINGGU lepas Muktamar PAS kali ke-72 berlangsung di Kota Bharu selama dua hari. Dan esok pula Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 mengambil tempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Muktamar PAS dan PAU menarik perhatian ramai mengambil kira perhimpunan parti tertua di Malaysia. PAS ditubuh pada 1951 iaitu lima tahun selepas Umno diwujudkan di Tanah Melayu.

Selain itu kedua-dua parti merupakan teras orang Melayu. Ahli PAS sekarang berjumlah 1.07 juta. Manakala ahli Umno pula seramai 3.5 juta. Jumlah ahli Umno itu didedah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan.

PKR dilapor mempunyai ahli lebih kurang 1.13 juta. DAP pula pada laporan sebelum ini mencatat kira-kira 300,000 ahli.

Berdasar statistik tersebut tidak sukar untuk mengukur kekuatan sesebuah parti. Di peringkat akar umbi ada cawangan. Markas PAS dan pejabat pentadbiran parti itu ada di segenap tempat di Pantai Timur dan utara.

Begitu juga cawangan Umno mudah ditemui di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Bagaimanapun cawangan PKR atau DAP sukar ditemui di negeri majoriti orang Melayu.

Pejabat-pejabat DAP hanya kelihatan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Sedangkan ukuran kekuatan akar umbi mencerminkan pengaruh sebenar sesebuah parti.

Kajian Scarrow (2006) mendapati kekuatan dalaman organisasi merupakan tunjang ketahanan parti. Indikatornya berdasar jumlah keahlian, kekuatan cawangan dan pejabat parti. Selain itu parti memiliki penyokong setia (value infusion) berasaskan ideologi dan bukan sekadar material.

Faktor lain ukuran kekuatan parti termasuk jumlah dana dan aset yang dimiliki. Dengan ada keupayaan itu boleh diukur sejauh mana sebuah parti diterima pengundi atau ‘electoral strength’.

Tidak kurang penting juga kekuatan tadbir urus kerajaan (governance strength) bagi pemimpin parti yang ada kedudukan di peringkat legislatif dan eksekutif.

Dalil bagi memperlihatkan kekuatan PAS di Pantai Timur dan utara kerana memiliki jumlah ahli yang ramai. Misalnya jumlah ahli PAS di Kelantan 192,130 orang dan Terengganu (143,697). Kedah jumlah ahli PAS 167,127 orang.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan pada muktamar PAS di Kota Bharu 5 September lepas. Maka tidak hairanlah pengaruh PAS begitu kuat di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Potensi Selangor

Jumlah cawangan PAS di Kelantan sebanyak 1,657, Kedah (1,428), Terengganu (957) dan dikuti Selangor 946. Maka mengambil kira perkembangan tersebut Selangor berpotensi bertukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Faktor tersebut ditambah nilai dengan agenda penyatuan ummah semakin semarak sekarang. Hakikat itu tidak dapat dinafikan lagi. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, Pakatan Harapan menguasai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor, manakala Perikatan Nasional (22) dan Barisan Nasional (2).

Daripada 22 kerusi dimenangi PN, 10 daripadanya mewakili PAS. PAS menang di Dun Sabak melalui Ustaz Sallehen Mukhyi dengan majoriti undi 4,215 undi.   Selain itu, Dun Sungai Panjang dimenangi Ustaz Mohd Razali Saari dengan majoriti 3,576 undi. Mu’izzuddeen Mahyuddin menang di Dun Hulu Bernam dengan majoriti 669 undi.

Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin menang di Dun Sungai Burong majoriti 6,842 undi, Dun Ijok dimenangi Jefri Mejan majoriti 912 undi, Dun Semenyih dimenangi Ustaz Nushi Mahfodz menang majoriti 1,262 undi.

Ustaz Mohd Shafie Ngah menguasai Dun Sungai Ramal majoriti 7,767 undi dan Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menang di Dun Paya Jaras majoriti 1,986 undi. Dun Sementa dimenangi Noor Najhan Mohamad Salleh majoriti 10,039 undi dan Dun Sijangkang dimenangi Dato Dr Ahmad Yunus Hairi majoriti 11,308 undi.

BN pula hanya memenangi Dun Sungai Air Tawar dan Dusun Tua pada PRN lepas. Sekiranya agenda penyatuan ummah dilebarkan ke Selangor pada PRU16, peluang terbuka untuk menguasai beberapa Dun lagi termasuk Sekinchan yang dimenangi PH dengan majoriti 4,018 undi.

Selain itu Kuala Kubu Baharu (4,119 undi), Batu Tiga (3,382 undi), Meru (3,422 undi), Tanjung Sepat (2,524 undi), Sungai Pelek (1,458 undi) dan Taman Templer (467 undi).

Berdasar perkiraan atas kertas PN-BN berpeluang memenangi 31 kerusi di Selangor. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan perlu menguasai 28 kerusi Dun.

Mungkinkah Dato’ Seri Amirudin Shari akan mengulangi nasib Dato’ Seri Aminudin Harun di Negeri Sembilan pada PRN 1 Ogos lepas.

Isyarat penyatuan ummah tentunya menakutkan Amiruddin dan PH. Biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi menggagal penyatuan tersebut, namun gelombang yang berlaku seperti tidak mampu dihalang.

PAU 2026

Malah, Umno tidak menjemput PH hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang berlangsung 9 hingga 12 September ini. Kata Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, PAS dijemput sebagai membalas undangan ke Muktamar PAS di Kota Bharu.

“Ada ubi, ada bataslah. Jika mereka (PAS) jemput kita, kita jemput mereka lah,” katanya kepada media. Setiausaha Agung Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan keputusan menjemput PAS dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

Perkembangan yang berlaku itu memberi bayangan BN dan PN-PAS akan mengulangi strategi di Negeri Sembilan ke Melaka dan Selangor. Malah, kemungkinan akan diperluaskan bagi menghadapi PRU16.

Mungkin apa yang berlaku di PAU Umno sudah dihidu PH. Maka tidak pelik apabila Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PH memberitahu media, kemungkinan PH bertanding tanpa kerjasama BN di Melaka.

Khabarnya visel PRN di Melaka akan dibunyikan selepas PAU berakhir. Bayangan itu disebut Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh. Kata beliau pembubaran Dun akan dibuat dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi. Apakah agenda penyatuan ummah marak semula di Melaka? Petandanya semakin jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *