Oleh Lanjusoh |
SEJAK merdeka sehingga sehingga tahun 2018 rakyat berada di bawah naungan kerajaan Barisan Nasional (BN). Tempohnya 61 tahun. Bagaimanapun tanggal 9 Mei 2018 sejarah baru tercipta di Malaya apabila kerajaan BN tumbang.
Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah menurunkan BN dari puncak kuasa di Putrajaya. Bermula dari detik itu sehingga Februari 2020 PH menguasai Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun hayat kerajaan PH tidak panjang. Kebimbangan terhadap pengaruh DAP semakin melebar dalam kerajaan Pusat ketika itu tidak dapat disembunyikan.

Isu utama berpangkal peralihan kuasa. Pengikut Dato’ Seri Anwar Ibrahim berulang kali menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad berundur. Tekanan itu mewujudkan ketegangan politik.
Desakan berterusan isu tarikh peralihan kuasa jawatan perdana menteri menjadi asbab gabungan PH berpecah. Kemudian muncul Langkah Sheraton. Detik-detik itu membawa Bersatu mufarakah daripada PH.
Dan Timbalan Presiden PKR Dato’ Seri Azmin Ali bersama 10 pengikutnya mengumum keluar daripada parti tersebut. Berikutan perisitwa itu Dr Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020.
Maka bermula Mac 2020 Perikatan Nasional (PN) pula menerajui Putrajaya. PN dianggotai PAS dan Bersatu bekerjasama dengan BN mengemudi bahtera kerajaan.
Kali kedua dalam sejarah PAS berada dalam kerajaan selepas tahun 1973. Kerajaan PN bertahan selama 20 bulan, turut disertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kerajaan PN bertahan sehingga November 2022. Dan bermula 20 November 2022 sehingga sekarang, PH dan Umno pula mengetuai kerajaan. Turut berada dalam kerajaan sekarang GPS dan GRS.
Sepanjang tempoh 69 tahun usia kemerdekaan negara, dua kali PAS berada dalam saf kerajaan Pusat. Kali pertama pada 1973 hasil kerjasama dengan Perikatan. Dan pada 1974 PAS menyertai Barisan Nasional (BN).
Menteri dari PAS
Ketika PAS berada dalam saf Kerajaan Pusat ada pemimpinnya dilantik sebagai menteri, timbalan menteri, Setiausaha Parlimen, diplomat dan Exco kerajaan negeri.
Antaranya Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Muda pernah dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas serta Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.
Selain itu Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Hassan Adli dilantik Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.
Naib Yang Dipertua Agung PAS Dato’ Abu Bakar Umar dilantik Timbalan Menteri Kesihatan. Ustaz Yusof Rawa pula mengisi jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Utama serta Duta Besar Malaysia ke Iran dan Turki.

Manakala Ketua Dewan Pemuda PAS, Haji Mustafa Ali dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian; Ustaz Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar).
Haji Zahari Awang (Setiausaha Parlimen Kementerian Luar) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus (Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan).
Jasa PAS
Isunya apa perubahan dibuat pemimpin PAS ketika berada dalam kabinet ketika itu. Berdasar kajian akademik dalam tempoh 1973–1978 perkembangan Islam didapati semakin pesat berlaku.

Antaranya azan mula dikumandang melalui RTM, siaran radio dan televisyen dimulakan dengan bacaan al-Quran, hidangan arak dihentikan dalam majlis rasmi kerajaan, henti promosi dan keputusan judi di media kerajaan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ditubuh pada 25 Januari 1974.

Turut dirintis PAS penubuhan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) pada 1974, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Pada 1977 diwujud pula Maktab Perguruan Islam.
Malah banyak perubahan berorientasi Islam dan kebajikan rakyat dilaksanakan kerajaan sebelum ini hasil desakan berterusan pemimpin PAS.
Dan kali kedua PAS dalam Kabinet Kerajaan Pusat pada Mac 2020 sehingga November 2022. Ini bermakna hampir lapan tahun PAS turut memacu jentera pentadbiran Kerajaan Pusat.

Bagi pusingan kedua, Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik menerajui Kementerian Alam Sekitar, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Parlimen dan Undang-undang): serta Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Manakala bagi jawatan timbalan menteri, Dato’ Dr Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama); Dato’ Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia); Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga)
Selain itu Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Dato’ Ahmad Amzad Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).
Menghampiri Putrajaya
Apakah PAS sekali lagi akan kembali ke saf kabinet? Asas pertimbangan itu berdasar kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022. PAS memiliki jumlah ahli parlimen paling ramai iaitu 43 orang.
Bagaimanapun ramai masih sangsi kemampuan PAS. Mungkin kerana melihat PAS didominasi golongan agamawan. Mereka tidak membelek pencapaian pimpinan PAS sepanjang dua kali berada dalam saf kabinet iaitu pada 1973-1977 dan 2020-2022).

Biarpun belum ada pemimpin PAS berada di kerusi perdana menteri, namun ia bukan perkara pelik. Masih kah kita ingat kata-kata arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata beliau, Orang Asli pun boleh mentadbir negara sekiranya diberi peluang. Malah ketika awal menjejaki ke Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990, beliau bermula dengan kosong.

Akhirnya pada 2009 beliau berada di kedudukan ke-42 individu paling berpengaruh di dunia berdasar kajian yang diterbit Royal Islamic Studies Center yang bertajuk ‘The 500 Most Influential In The wold’.
Banyak rujukan boleh dibuat bagi menentukan hala tuju sesebuah kerajaan. Antaranya Piagam Madinah yang menjadi asas pembentukan Negara Madinah. Piagam itu mengandungi 47 fasal.
Sebanyak 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan sesama umat Islam. Dan 24 fasal lagi memuatkan berkaitan hubungan umat Islam dengan bukan Islam.
Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama digunakan umat Islam Madinah. Ia digubal oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun pertama Hijrah.

Maka mengambil kira peluang itu, sarjana dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menjangka PRU16 PAS berpeluang untuk menerajui pentadbiran negara.
Kerajaan menunggu

Teori tersebut dinukilkan dalam sebuah buku bertajuk ‘PAS Menuju Putrajaya: Suara Kepimpinan Dan Penilaian Sarjana’. Buku tersebut mengetengahkan suara leluhur pemimpin-pemimpin PAS dan sarjana dari Pusat Pengajian Tinggi (IPT).
Buku terbabit mengetengah tulisan Prof Emeritus Dato’ Dr Raduan Che Rose (PAS Kini Lebih Hampir kepada Putrajaya); Prof Dr Baharom Abdul Hamid (Di Bawah Kepimpinan Strategik Dr Samsuri, PAS Mempunyai Peluang Bersejarah).

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid (Doa Saya Keyakinan Nik Aziz Akan Menjadi Kenyataan Tidak Lama Lagi); Ts Dr Syed Agil Alsagoff (Politik Identiti Mungkin Mampu Membawa PAS kepada Kemenangan).
Dr Nur Ayuni Mohd Isa (Perjalanan PAS Menuju Putrajaya Mempunyai Asas yang Nyata); Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (Putrajaya Melalui Penyatuan, Bukan Keangkuhan); Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah (PAS Mempunyai Peluang Yang Realistik untuk Muncul Sebagai Blok Terpenting dalam PRU16).

Turut berkongsi idea Prof Dato’ Dr Sivamurugan Pandian; Prof Madya Dr Sara Chinnasamy dan Dr Warjio. Bab akhir pula memaparkan kaji selidik di Kelantan oleh Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff dan Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof.
Bab 22 memapar kaji selidik di Terengganu oleh Dr Kamarul Zaman, Dr Nor Azura A. Rahman dan Prof Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero. Dan bab 23 pula kaji selidik di Kedah dilakukan Dr Mukhtaruddin Musa dan Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban.

Dr Kamarul juga berjaya menyiapkan dua buku bersiri iaitu ‘PAS Menakluk Putrajaya: Dari Parti Pembangkang Ke Kerajaan Menunggu’.
Berdasar senario yang dikongsi pemimpin PAS, sarjana dan pengalaman dua sesi PAS berada dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum ini, ia bukan lagi perkara pelik.
Kemampuan PAS untuk mengemudi Putrajaya tidak mampu ditolak lagi. Apa pun PAS bukan keseorangan mendaki tangga Pejabat Perdana Menteri. Perlu ada koalisi melalui jalinan kerjasama dengan blok parti lain. Ia mungkin dilihat mengulangi apa yang berlaku sebelum ini.

