Oleh Lanjusoh |
TIDAK dapat dinafikan ada asbab politik Perikatan Nasional (PN) digantung tidak bertali. Ia tidak berlaku tanpa sebab. Saatnya dihukum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Tujuannya tidak lain bagi mengelakkan gelombang biru menjalar ke Melaka. Gelombang itu bermula di Johor kemudian berjangkit ke Negeri Sembilan. PRN Negeri Sembilan membuktikan PN ada pengaruh.

Maka bagi mengelakkan PN muncul pula di Dewan Undangan Negeri (Dun) maka langkah terbaik, cari kaedah untuk menghalang kemaraannya.
Biarpun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan pihak seangkatan dengannya menafikan dengan keras, ia tidak mudah diterima rakyat. Sudah tentu ada udang di sebalik batu.

Politik tidak bergerak tanpa sebab. Ia turut diakui bekas Menteri Undang-Undang Dato’ Zaid Ibrahim. Menurutnya tindakan penggantungan PN bertujuan mengganggu momentum gabungan itu.
Selain itu menghalang usaha PAS menuju kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Menurutnya sebelum PRN Melaka berlangsung, tiba-tiba keluar notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menggantung PN.
“Pertikaian mengenai peraturan mesyuarat membawa kepada penggantungan,” katanya. Sebaliknya beliau mendakwa Bersatu tiba-tiba mendapat laba selepas hasratnya mahu kembali ke pangkuan PH.
Kata beliau empat pertuduhan terhadap seorang pemimpin tertinggi Bersatu tiba-tiba menerima keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Menurutnya semua itu dianggap sepadan dengan yang tindak tanduk ROS. Ia sebagai sebahagian daripada tekanan terhadap pembangkang.
“Ini satu lagi babak ketakutan pemerintah. Akan berlaku intimidasi di merata tempat. Namun ia diyakini tidak akan melemahkan PAS, sebaliknya boleh menguatkan sokongan penyokong parti itu.
“Kesan akhirnya boleh menjadikan PAS lebih kuat. Intimidasi tidak pernah berjaya. Ahli PAS akan menjadi lebih berani,” katanya, seperti dilapor sebuah laman berita.

Halang kerjasama PAS-Umno
Bagaimanapun kerajaan Madani tidak akan berdiam diri. Mereka sedang mencari formula untuk menghalang kerjasama PAS dengan Umno.

Dr Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan penggantungan PN dijangka mencetuskan cabaran buat Wawasan, memandangkan parti masih baharu.
Kata beliau rata-rata pengundi sudah tahu logo PAS berbanding logo Wawasan yang masih lagi baharu bagi pengundi di Melaka.

Prof James Chin dari Universiti Tasmania, James Chin pula membayangkan penggantungan PN tidak akan menjejaskan rundingan antara PAS dan Umno bagi menghadapi PRN Melaka.
Berdasar perkembangan itu, Bersatu dilihat semakin serba salah. Parti itu seperti mengharapkan tuah Langkah Sheraton berulang bagi membolehkan pemimpin mereka kembali ke saf kabinet. Maka jalan pintas memupuk semula ‘cinta’ lama dengan PH.
Hari ini bayangan ke arah itu semakin jelas. Kerugian besar Bersatu ekoran merajuk dengan PN terpahat dalam sejarah PRN di Johor dan Negeri Sembilan.
Oleh itu bagi mengelakkan berulang pengalaman di Melaka, Bersatu perlu segera menjalin kerjasama dengan sahabat baharu. Kata orang tua-tua, kembali ke lorong asal. Atau bagai sirih pulang ke gagang.

Lagi pun Bersatu sebelum ini merupakan pengasas bersama Pakatan Harapan (PH). Bersatu mendapat laba besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Pemimpin parti itu mendapat kerusi menteri dan timbalan menteri.
Namun untung secupak, rugi segantang. Penguasaan abang besar PH, iaitu DAP antara sebab Bersatu mufarakah daripada PH selepas mendapat untung besar pada PRU 2018.
Tempoh berbulan madu dalam PH tidak lama. Muncul kebimbangan berkaitan kedudukan serta hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam di bawah kerajaan PH. Dominasi DAP dalam gabungan itu tidak dapat dinafikan.
Selain itu kebimbangan pemimpin Bersatu mengenai desakan berterusan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad menyerah jawatan Perdana Menteri kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun hari ini kebimbangan lama seperti dilupakan. Ia seumpama api padam puntung hanyut. Malah media asing melaporkan Bersatu dilihat begitu serius mahu kembali bersama PH menjelang PRN Melaka dan PRU16.
Kenyataan ke arah itu dizahirkan secara terbuka Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kerjasama BN-PH berakhir

Usaha-usaha tersebut dilihat semakin lunak selepas Pengerusi BN, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama dengan PH melalui Kerajaan Madani akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Menurut Presiden Umno terbabit sebaik sahaja pembubaran Parlimen, BN tidak lagi terikat dengan kerjasama dengan PH yang dijalinj selepas PRU15 pada November 2022.
“Di saat Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya pada Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini. Adakah Zahid benar-benar serius?
Kenyataan Zahid terbabit mengesahkan BN akan mengangkat kaki keluar daripada kerajaan Madani. Untung segantang yang diraih dalam Kerajaan Madani tidak sepadan dengan rugi seguni.
Ternyata Umno dapat mengesan lebih awal, akan ditolak orang Melayu sekiranya terus bersama PH. Di mata PH, Umno kini seumpama musuh dalam selimut.
Ketika Umno masih lagi mencari regu serasi menghadapi PRN Melaka, PH sudah mengesahkan pembahagian kerusi antara parti komponennya bagi menghadapi PRN Melaka sudah selesai.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dilapor berkata, susunan akhir akan dimuktamadkan selepas perbincangan antara Majlis Presiden PH.
“Apa-apa pun, kita tunggu minggu depan. Pembahagian kerusi sudah ada dalam perhatian Pengarah Pilihan Raya PH, Dato’ Seri Amirudin sebelum dimuktamadkan,” katanya kepada media.
Isunya berbaloikah Bersatu berketuakan DAP yang menjadi abang besar PH. Pengalaman dilalui Umno-BN ditolak majoriti pengundi Melayu pada PRU15 seperti tidak dihiraukan Bersatu.
Silap langkah Bersatu mungkin mengulangi nasib Semangat 46, yang pernah menggemparkan negara pada 1990. Kini disemadikan tanpa batu nisan.


