Oleh Lanjusoh |
SUDAH terang lagi bersuluh. Bayangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 semakin jelas. Ia bukan didedah dukun di kampung, sebaliknya disebut pemimpin utama negara.
Isunya, apakah segala umpan segera yang diumum Perdana Menteri pada Belanjawan 2027 boleh memancing undi rakyat? Belum tentu.

Petang Jumaat lepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM150 sebulan. Ia membabitkan 9 juta penerima.
Selain itu, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ditambah kepada RM16 bilion. Kerajaan juga memperuntukkan RM1.3 bilion bagi membantu hampir 200,000 warga emas.

Belanjawan Madani itu juga merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk peningkatan pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Selain itu kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027. Jangan lupa. Langkah seumpama itu pernah dilaksanakan Dato’ Seri Najib Razak ketika era akhir Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada 27 Oktober 2017 Najib meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kadar maksimum RM1,200. Bantuan itu memberi manfaat kepada 7 juta penerima.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.8 bilion untuk menjayakan program berkenaan. Ia terkandung dalam Bajet 2018.
Biarpun pelbagai umpan disogok kepada rakyat, namun belum tentu boleh menarik undi rakyat. Sebaliknya pada PRU 2018 mencatat sejarah apabila kerajaan BN tumbang.
Belanjawan 2027 berjumlah RM459.8 bilion, dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan disiplin fiskal.
Anak muda
Penasihat Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun, menyifatkan Belanjawan 2027 memenuhi keperluan golongan muda, warga emas, pekerja gig dan keluarga.

Manakala pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Barjoyai Bardai pula melihat Belanjawan 2027 boleh menangani isu mendesak termasuk penjagaan kesihatan, bantuan warga emas dan kebajikan doktor kontrak.
Bagaimanapun kata beliau usaha menangani masalah gaji rendah masih tidak mencukupi. ”Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 masih tidak mencukupi, dengan menganggarkan pekerja tempatan memerlukan gaji antara RM2,300 hingga RM2,400 untuk menampung kos sara hidup,” ujarnya pada kenyataan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu ukuran sebenar kejayaannya, sejauh mana mampu meningkatkan pendapatan, menyediakan pekerjaan berkualiti dan meringankan kos sara hidup rakyat.
“Saya mengalu-alukan bantuan STR dan SARA serta langkah meningkatkan pendapatan pekerja. Namun, keutamaan jangka panjang meningkatkan kuasa beli rakyat, menyediakan peluang pekerjaan dan memperkukuh perusahaan tempatan,” katanya.
Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion memperlihatkan perbelanjaan besar. Namun, RM459.8 bilion daripadanya melibatkan perbelanjaan Persekutuan. Ia meliputi RM376.8 bilion bagi mengurus dan RM83 bilion untuk pembangunan.
Dr Ahmad Samsuri yang juga ahli parlimen Kemaman juga bimbang caj perkhidmatan hutang mencecah RM61 bilion. Oleh itu disiplin fiskal dan kecekapan perbelanjaan perlu diperkukuh bagi menjamin kemampuan kewangan negara untuk jangka panjang.
“Kita akan meneliti Belanjawan 2027 secara bertanggungjawab di Parlimen. Mana yang baik kita sokong, mana yang perlu ditambah baik kita kemukakan cadangan,” katanya pada kenyataan.
Kos sara hidup

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun pula bimbang kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan boleh meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat. Kata beliau majikan perlu menyesuaikan operasi dengan perubahan kos dan peraturan yang ditetapkan kerajan.
“Perkara yang sama turut berlaku apabila kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 dan kemudian RM2,000 pada Jun tahun hadapan.
“Kesannya terhadap syarikat mungkin menjadi semakin besar. Kebimbangan utama pelabur dan syarikat akan memilih untuk memindahkan operasi mereka ke negara lain yang menawarkan kos operasi lebih rendah.
“Kerajaan tidak boleh melihat satu faktor sahaja menyelesaikan masalah gaji minimum atau membantu rakyat yang memerlukan,” ujarnya.

Dua tahun lepas empat syarikat multinasional termasuk Goodyear Malaysia Bhd menutup operasi di Malaysia dalam tempoh separuh pertama 2024.
Manakala dua lagi syarikat berkaitan industri pengangkutan, besi dan keluli. Dan satu lagi industri makanan. Perkara itu didedah bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Dato’ Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

Menurutnya syarikat terbabit menghentikan operasi secara beransur-ansur yang melibatkan jumlah pelaburan berjumlah RM7 bilion.
“Perkara itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita supaya setiap keputusan berkaitan dasar gaji dan kos operasi diteliti sebaiknya.
“Apakah tindakan kerajaan selepas ini? Adakah kerajaan hanya akan menumpukan kepada pelaksanaan gaji minimum, atau turut mengambil kira nasib majikan yang terpaksa menanggung peningkatan kos operasi,” ujar Hasnizan.
Kos tambahan

Penganalisis ekonomi Dr Armin Baniaz Pahamin pula menggambarkan kenaikan gaji nominal tidak semestinya meningkatkan kuasa beli sebenar sekiranya kos tambahan dipindahkan kepada pengguna.
Menurutnya walaupun kenaikan gaji tidak semestinya menyebabkan inflasi, namun kerajaan perlu memastikan manfaat kenaikan pendapatan tidak hilang akibat tekanan kos berterusan.
Bank Negara Malaysia sebelum ini melaporkan produktiviti sektor swasta meningkat secara terkumpul sebanyak 9 peratus sejak 2019, sedangkan gaji benar setiap pekerja merosot 1.7 peratus.
“Situasi itu menunjukkan peningkatan produktiviti juga perlu diterjemah kepada ganjaran yang lebih adil kepada pekerja.
“Penyelesaian jangka panjang bukan sekadar menetapkan gaji minimum lebih tinggi, tetapi membangunkan ekonomi berproduktiviti tinggi melalui automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan, inovasi dan peningkatan kemahiran,” ujar Dr Armin.

Bagaimanapun Prof Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan langkah menaikkan kadar gaji minimum dianggap sebagai signifikan.
Kata beliau Malaysia tidak boleh selama-lamanya kekal dengan model gaji murah. Belanjawan 2027 memberi isyarat bahawa zaman persaingan berasaskan buruh murah perlu beransur-ansur ditinggalkan.
Menurutnya Belanjawan 2027 mula menyerang akar sebenar kos sara hidup, iaitu pendapatan yang terlalu rendah.
“Gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 melibatkan lebih empat juta pekerja. Kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan,” katanya kepada media.
Biarpun Belanjawan 2027 dilihat bersifat gula-gula politik, namun sentimen rakyat terhadap Kerajaan PH sudah jelas. Ia telah diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

“DAP tewas kesemua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada November 2025,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

