Oleh Aslani M |
KEWIBAWAAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar menjadi buah mulut rakyat, sebaliknya turut dipertikai pemimpin parti itu sendiri. Baru-baru ini Lee Chean Chung mengumum meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen (MP) Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta.
Langkah tersebut sebagai tindak balas susulan penggantungan keahliannya dalam PKR selama tiga tahun. Selain itu beliau mendakwa dinafikan akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu turut menjelaskan dakwaan kononnya beliau sudah lama tidak aktif bersama PKR.

“Saya tidak menjauhkan diri tanpa sebab. Saya mula kurang aktif selepas isu korporat mafia yang saya bangkitkan melalui saluran dalaman tidak diendahkan,” katanya pada kenyataan.
Sedangkan sebelum itu Anwar yang juga Presiden PKR mendakwa Chean Chung sudah lama tidak aktif dalam parti itu. Kata beliau Chung tidak hadir dalam mesyuarat dan Kongres Nasional PKR lebih setahun, sekali gus menunjukkannya sudah tidak lagi berminat dengan PKR.
Sebaliknya Chung menjelaskan kenyataan beliau lebih setahun hilang daripada urusan parti sebagai tidak tepat. Kata beliau ia sekadar mengalihkan perhatian daripada punca sebenar.
Korporat mafia
Pada Mac lepas beliau mendesak isu yang membabitkan seorang wakil rakyat PKR berkaitan isu korporat mafia disiasat. Namun ia tidak diendahkan. “Sepatutnya siasat dengan segera dan telus. Sehingga hari ini, tiada tindakan yang diambil,” ujarnya.
Pada 24 Mac 2026 media melaporkan ahli perniagaan Victor Chin menuduh seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk ‘menyelesaikan’ isu korporat mafia yang membabitkan dirinya.
Malah, pada 26 Januari Chung meminta siasatan terhadap isu pegangan saham berlebihan bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan isu korporat mafia di Parlimen. Juga tiada tindakan.
Berikutan itu pada April 2026 beliau bertemu Perdana Menteri dan memohon sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat isu tersebut. Namun tiada tindakan.
Kesan kelantangannya memperjuangkan isu korporat mafia akhirnya pada 26 Mei peruntukan di kawasan Petaling Jaya disekat dan diserahkan kepada parti politik untuk menguruskannya.
Berikutan itu pada 12 Jun Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Susulan itu pada 2 Julai beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR. Dan beliau menjawabnya pada 9 Julai 2026, namun tiada balasan.
Digantung

“Pada 20 Ogos saya mengutuskan surat dan memohon kepada Lembaga Disiplin supaya pendengaran diadakan agar saya diberi peluang membela diri. Permohonan itu tidak dipedulikan.
“Dan pada 30 September saya digantung keahlian selama tiga tahun tanpa sebarang pendengaran. Ini hukuman tanpa perbicaraan.
“Rekod ini jelas. Saya tidak hilang. Saya menggunakan setiap saluran yang betul, dan setiap kali jawapan yang saya terima ialah diam, sekatan dan hukuman,” kata beliau.

Sebaliknya Chung membangkitkan mengapa Ahli Parlimen yang mendesak siasatan dihukum, tetapi Ahli Parlimen yang dituduh menerima RM9.5 juta tidak disiasat?
Situasi itu dianggapnya sebagai bertentangan dengan peranannya sebagai Pengerusi Southeast Asia Parliamentarians Against Corruption (SEAPAC).
“Saya memikul tanggungjawab serantau dalam usaha memerangi rasuah. Rakyat Malaysia tidak boleh menggadaikan maruah negara di mata masyarakat antarabangsa.
“Kita tidak boleh dilihat berkompromi dalam perjuangan menentang rasuah, apatah lagi di bawah kerajaan yang dipilih atas mandat reformasi,” ujarnya. Chung menjelaskan mengapa salah laku yang dilaporkan tidak disiasat, sedangkan pihak yang mendedahkannya pula dihukum.
“Saya kekal komited kepada rakyat Petaling Jaya dan kepada prinsip yang membawa saya ke dalam politik integriti, akauntabiliti, dan keberanian untuk bersuara walaupun ia tidak popular,” katanya.


