Oleh M Faqih |
ERA Kerajaan Madani dilihat ada keberanian politik. Apa asasnya. Dalilnya beberapa wakil rakyat sanggup meletak jawatan ketika pihak lain mengidamkan kuasa politik.
Ada yang meletak jawatan menteri dan anggota Exco. Lebih mengejutkan lagi apabila Istana Negeri Sembilan membatalkan pelantikan semua Exco. Ia dianggap jarang berlaku sebelum ini.

Biar apa pun langkah politik lebih berani apabila ada pemimpin sanggup meletak jawatan sebagai wakil rakyat. Adegan itu dimulakan Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Rafizi mengumum meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025. Manakala Nik Nazmi berundur daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 4 Julai 2025.
Apakah petanda semuanya itu? Ia secara tidak langsung memperlihatkan Kerajaan Madani yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibelenggu krisis kepimpinan.
Kosong kerusi
Peristiwa wakil rakyat meletak jawatan kali terakhir berlaku 12 tahun lepas. Ada wakil rakyat ‘diarah’ mengosongkan kerusi untuk memberi ruang kepada boss bertanding.

Langkah pertama dilakukan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Julai 2008.
Kemudian diikuti Adun Kajang, Lee Chin Cheh. Beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat pada 27 Januari 2014. Langkah tersebut bagi memberi laluan Pilihan Raya Kecil (PRK). Khabarnya untuk beri ruang Anwar bertanding.
Isu serupa berulang pula kali ketiga. Seorang ahli parlimen berkorban. Beliau juga memberi laluan Anwar kembali ke Dewan Rakyat. Dato’ Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan ahli Parlimen Port Dickson pada September 2018 untuk membolehkan PRK diadakan.
Semuanya itu berlaku dalam rumah tangga PKR. Demi seorang jagoan, pemimpin bawahan terpaksa berkorban. Sebaliknya apa yang berlaku dalam PKR sekarang berbeza.

Ada juga pemimpin meletak jawatan tetapi bukan kerana pengorbanan. Sebaliknya menentang ketua secara anak jantan. Ahli Parlimen Subang, Wong Chen membuktikan hakikat itu.
Beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat pada 10 Ogos 2026. Wong menjejaki langkah Rafizi dan Nik Nazmin. Begitu juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung. Beliau mengumum peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Mereka berundur kerana tidak sebulu lagi dengan Anwar.
Balas dendam

Episod meletak jawatan juga berjangkit kepada Umno. Namun, situasinya berbeza. Ketua Pemuda Umno Dato’ Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Melaka sebagai menyahut cabaran DAP.
Beliau meletak jawatan Exco pada Januari lepas dengan alasan suara akar umbi menuntut Umno tidak lagi bersama dengan DAP. Isunya berpangkal konflik Umno-DAP.

Dan sebagai langkah membalas dendam terhadap Umno, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula mengumum meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Ia sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak. Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ahad lepas.

Bagaimanapun bagi mengelak kemungkinan dilabel ‘derhaka’, Loke dilapor memberitahu DAP menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan Najib.
Ternyata Loke ada keberanian seperti Dr Akmal. Namun beliau dianggap belum mampu menyaingi pengorbanan besar Rafizi, Nik Nazmi dan Wong Chen.
Mungkinkah apa yang berlaku dalam rumah tangga PH sekarang sebagai isyarat supaya Anwar membubarkan Dewan Rakyat lebih awal. Ia tidak dapat dinafikan lagi.
PRN Melaka

Sedangkan apa berlaku sekarang, rakyat Melaka menunggu Menteri Besar Dato’ Seri Rauf Yusoh meniup wisel pilihan raya negeri (PRN). Ini kerana tempoh Dun Melaka penggal ke-15 akan berakhir hujung tahun ini.
Paling lewat PRN perlu diadakan sebelum Februari 2027. Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.
Maka mengambil kira detik PRN Melaka begitu hampir, Rauf digambar bekerja keras mempertahankan kedudukan Umno dan BN di Melaka. Hampir dua tahun beliau turun ke seluruh negeri menjayakan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Dan baru-baru ini agenda itu lengkap di kesemua 28 Dun di Melaka. Program terakhir di Dun yang diwakilinya di Dun Tanjung Bidara.

Pada catatan di laman sosialnya beliau menyebut lautan gelombang cukup luar biasa untuk bersama kepimpinan kerajaan negeri pada penutup WRUR di Tanjung Bidara.
“Alhamdulillah, setelah kesemua 28 Dun selesai kita jelajahi, hasilnya sebanyak 1,981 program dan aktiviti dilaksanakan, dengan merekodkan hampir 100,000 kehadiran rakyat,” ujarnya.
Menurut Rauf juga sepanjang tiga tahun menerajui pentadbiran Melaka, sebanyak 212 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM41.16 juta dilaksanakan di Dun Tanjung Bidara. Hasil gerak kerja itu beliau yakin sokongan rakyat terhadap Umno-BN akan dijelmakan pada PRN Melaka tidak lama lagi.
Sebaliknya, ketika demam PRN di Melaka semakin kuat, kemungkinan pilihan raya Parlimen disebut banyak pihak. Ramai menjangka parlimen dibubar lebih awal berbanding tempoh matang penggal ke-15 pada Februari 2028.
Alasannya bagi meredakan kekalutan politik membadai Kerajaan Madani sekarang. Malangnya di tengah-tengah kekalutan PRN Melaka dan beban Kerajaan Madani, isu adat di Negeri Sembilan pula makin kecamuk.
Krisis adat
Pertukaran kerajaan pada 1 Ogos lepas tidak menyelesaikan masalah. Malah dilihat semakin rumit. Tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan anggota Exco membahang suhu krisis adat.
Seorang peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi menyifatkan tindakan Tuanku tanpa nasihat Menteri Besar sebagai tidak berperlembagaan.

Hujah sama juga disebut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim. Menurutnya beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang,” katanya pada kenyataan.
Kekalutan politik kebelakangan ini seperti di luar kawalan. Lebih-lebih kehilangan Loke dalam jemaah menteri. Ia dianggap tidak memberi sebarang makna lagi kepada DAP.

Tanpa Loke, Anwar agak sukar untuk mengemudi kerajaan. Maka langkah pilihan bubar parlimen sebelum siri meletak jawatan menteri makin melebar dalam DAP. Ternyata Rafizi berjaya memulakan langkah tersebut.

