Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Politik

PH makin hilang pengaruh di bawah Anwar

Editor: Arus Lebir3:11 petang132 views
Saiz teks20px

Oleh Lanjusoh |

PADA Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 Pakatan Harapan (PH) menguasai hampir kesemua negeri di Pantai Barat. Bermula dari Johor sehingga ke Kedah. Negeri yang berada di bawah genggaman PH ketika itu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Kedah dan Sabah. Di Sabah PH bekerjasama dengan Warisan.

Barisan Nasional (BN) hanya tinggal di Perlis dan Pahang. Begitu juga PAS bertapak di Kelantan dan Terengganu. PH meranapkan kubu Umno di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Siapa pemimpin PH sehingga berjaya menumbangkan kerajaan BN. Adakah tokoh hebat itu ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mungkin tidak. Individu terbabit pernah dikenali sebagai ‘Maha Zalim’ oleh kumpulan reformasi.

Itulah susuk badan yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika menerajui Umno beliau berada di kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun. Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ke-4 bermula 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Dan kali kedua menerajui Putrajaya bermula 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020. PH berada di kemuncak ketika diketuai Dr Mahathir.

Bagaimanapun semasa di bawah kepimpinan Anwar PH hanya menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada PRU15. Dan lebih malang lagi penguasaan PH semakin susut. PH hilang Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lepas.

PH terajui Melaka

Sedangkan di bawah pimpinan Dr Mahathir PH menguasai Melaka buat pertama kali dalam sejarah pada PRU14. PH memenangi 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Melaka.

PH membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Manakala 13 kerusi lagi dimenangi BN. Berikutan kemenangan itu Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka pada 11 Mei 2018.

Biarpun Amanah menguasai dua kerusi Dun, namun PH menobatkan Adun Amanah sebagai Ketua Menteri. DAP mendominasi Kerajaan Melaka dengan memenangi lapan kerusi dan PKR tiga kerusi. Bersatu pula menang dua kerusi.

Malangnya Kerajaan PH Melaka hanya bertahan 22 bulan setelah tumbang pada Mac 2020 susulan Langkah Sheraton. Berikutan itu juga kerajaan PH di Melaka, Johor, Perak dan Kedah turut kecundang. 

Adly yang juga bekas pemimpin PAS, menang di Dun Bukit Katil pada PRU Mei 2018. Beliau menggantikan Dato’ Seri Idris Haron daripada BN di kerusi Menteri Besar. Selepas kerajaan PH tumbang di Melaka, Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan negeri.

Adun Lendu daripada BN, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac 2020. Beliau menggantikan Adly.

Bagaimanapun di bawah kepimpinan Sulaiman krisis politik meletup dan beliau hilang majoriti. Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadapnya pada 4 Oktober 2021.

Adun terbabit iaitu Dato’ Seri Idris Haron (BN – Sungai Udang), Dato’ Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor), Dato’ Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Dato’ Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu).

Kesan tindakan empat Adun terbabit menyebabkan kerajaan negeri hilang majoriti. Dan berikutan itu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 pada 20 November 2021.

Pada PRN tersebut BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dun Melaka, manakala PH menguasai lima kerusi dan PN menang dua kerusi. DAP menguasai Dun Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala Amanah di Bukit Katil.

BN merosot

Bagaimanapun pengaruh BN merosot pada Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat parlimen pada November 2022. BN gagal memenangi sebarang kerusi parlimen di Melaka.

Pada PRU tersebut PN menang di parlimen Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin, manakala PH pula menguasai parlimen Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.

PN melalui Dato’ Mas Ermieyati Samsuddin menang dengan majoriti 4,411 undi, Bakri Jamaluddin di Tangga Batu majoriti 8,849 undi dan Ustaz Zulkifli Ismail (Jasin) majoriti 322 undi.

Calon PH pula menang di parlimen Alor Gajah melalui Adly dengan majoriti 890 undi, Adam Adli Abd Halim (Hang Tuah Jaya) 8,638 undi dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) 46,420 undi.

Pada PRU tersebut PH mengumpul jumlah undi tertinggi iaitu 199,267 undi atau 38.7 peratus, kemudian diikuti PN (159,238 undi) 30.9 peratus dan BN 152,613 undi (29.6 peratus).

Biarpun pengaruh BN merosot pada PRU November 2022 berbanding PRN 2021, namun BN pada kenyataan sebelum ini BN tetap mahu mempertahan 21 kerusi Dun yang dimenangi pada PRN lepas.

Taawun siyasi dengan PAS-PN sekadar mengelakkan berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi majoriti pengundi Melayu. Sifir pembahagian kerusi antara BN-PAS mungkin berdasar kaedah status quo.

Parti yang menang pada PRN lepas dianggap kekal mempertahan kerusi tersebut. Sifir serupa juga boleh diperluas ke seluruh negara. Ini bermakna kerusi majoriti Melayu di Selangor dan Perak lebih terarah kepada PN.

PAS dan rakan-rakan tahaluf dalam PN hanya berpeluang bertanding di tujuh kerusi Dun di Melaka. Lima daripada kerusi tersebut dipertahankan PH dan dua lagi milik Bersatu sebelum ini.

Berdasar sifir tersebut ada pihak menjangka PAS bertanding dua kerusi iaitu Dun Sungai Udang dan Bukit Katil. Atau ada ihsan daripada BN di Dun Rembia. Asas diambil kira kerana PAS mempunyai kekuatan jentera dan sokongan.

Dun Sungai Udang terletak di kawasan Parlimen Tangga Batu. Tiga lagi Dun di kawasan parlimen berkenaan iaitu Pantai Kundor, Paya Rumput dan Klebang.

Bukit Katil

Manakala Dun Bukit Katil berada di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya. Dun lain di kawasan parlimen tersebut iaitu Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Ayer Molek. Dun Sungai Rambai terletak di parlimen Jasin. Terdapat lima lagi Dun di kawasan parlimen terbabit iaitu Dun Asahan, Dun Rim, Dun Serkam, Dun Merlimau dan Dun Bemban.

Pada PRN lepas PN menang di Dun Sungai Udang melalui Dr Mohd Aleef Yusof dengan majoriti 530 undi. Selain itu Dun Bemban dimenangi Dr Mohd Yadzil Yaakub majoriti 328 undi.

Dun Rembia juga dimiliki PN selepas Dato’ Muhammad Jailani Khamis yang menang atas tiket BN kemudian menyertai PAS. Beliau menang majoriti 860 undi.

Potensi untuk memenangi Dun Bukit Katil mengambil jumlah pengundi Melayu membentuk 65 peratus, Cina (29 peratus) dan India (5 peratus). Kerjasama BN dan PN dianggar mengatasi PH kira-kira 16 peratus undi.

Sungai Udang juga dianggap selamat untuk BN-PN. Kerjasama BN dan PN boleh membentuk kekuatan sehingga 46 peratus undi. Selain itu Parti Wawasan Negara (Wawasan) kemungkinan besar akan mengekalkan Dun Bemban yang dimenangi Dr Mohd Yadzil pada PRN 2021. Dr Yadzil merupakan Pengerusi Penaja Wawasan Jasin.

Gerakan pula kemungkinan bertanding Dun Banda Hilir, Kota Laksamana, Kesidang dan Ayer Keroh. Kawasan tersebut mempunyai majoriti pengundi Cina.

Pengerusi Muafakat Nasional Tan Sri Annuar Musa menggambarkan berdasar keputusan PRU15, BN hanya mempunyai kekuatan di empat Dun sahaja berbanding pengaruh PN di 10 Dun di Melaka.

Pengaruh PH dijangka susut kepada empat kerusi Dun dengan mempertahankan kawasan majoriti pengundi Cina di parlimen Kota Melaka.

Kemenangan besar BN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini juga tidak dapat dinafikan boleh mempengaruhi pola pengundi PRN Melaka kali ini. Mungkinkah berdasar kronologi tersebut memperlihatkan PH benar-benar merosot di bawah Anwar?

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.