Langkau ke kandungan
Dari Kelantan, untuk semuaKhabar negeri. Suara masyarakat. Perspektif serantau.
Politik

Batal PN petanda kerajaan di hujung usia

Editor: Arus Lebir3:22 petang25 views
Saiz teks20px

Oleh M Faqih |

PEMBATALAN pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dianggap menyerlahkan tindakan sebuah kerajaan yang semakin terdesak terhadap sokongan rakyat yang kian meningkat kepada PN.

Kerajaan disifat menyalahgunakan kuasa untuk membatalkan pendaftaran PN, namun ia tidak mampu memadamkan kehendak rakyat untuk perubahan politik dan pemerintah.

Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menganggap sejarah berulang kali memperlihatkan apabila sesebuah kerajaan menggunakan kuasa untuk menyekat lawan politik sebagai petanda menghampiri penghujung usia.

Kata beliau kerajaan bimbang kehilangan sokongan rakyat sehingga melakukan tindakan seperti itu.

“PN akan mencabar kesahihan perintah pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan di mahkamah.

“PN juga menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan itu berhubung pendirian jabatannya di mahkamah semasa pendengaran permohonan penagguhan PN pada 22 Oktober ini.

“PN turut akan mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan belakangkan proses mahkamah,” katanya pada kenyataan hari ini.

Terdahulu Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada kenyataan mengumum telah membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.

Menurut RoS keputusan itu dibuat Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].

Kehakiman

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, pembatalan itu dibuat hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti PN.

Menurutnya keputusan bertindak sebelum pendengaran tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.

Sedangkan pada 6 Oktober lepas RoS menyatakan isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah.

Malah, pada 13 Oktober mahkamah memberi kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan pendengaran penangguhan pada 22 Oktober ini setelah Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes.

Lebih pelik lagi permintaan bertulis PN pada 14 Oktober lepas supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran, tidak dijawab.

Manakala hujahan Peguam Negara pada 19 Oktober 2026 menyatakan bahawa proses pembatalan ‘masih berjalan’, tanpa memaklumkan bahawa pembatalan akan dibuat keesokan harinya.

Agenda politik

“Namun, sebelum pendengaran berlangsung, pendaftaran PN dibatalkan sehingga keadaan yang menjadi pokok pertikaian berubah secara mendasar.

“Kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang sepatutnya memberi ruang kepada mahkamah untuk memutuskan permohonan tersebut, dan menjelaskan mengapa tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu.

“PN berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan tersebut menimbulkan persoalan serius tentang unsur serta tujuan politiknya,” kata beliau.

Notis Pendaftar dikeluarkan pada 22 September 2026, ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka diumumkan, disusuli penggantungan keesokan harinya dan pembatalan hanya sebelas hari sebelum penamaan calon.

Alasan RoS berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 juga bercanggah dengan pendirian bertulis pendaftar pada tarikh tersebut bahawa jabatannya ‘tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan’.

Selain itu jawapan terperinci PN ditolak sebagai ‘tidak memuaskan’ tanpa alasan substantif.

Takiyuddin berkata, pembatalan itu membawa kesan terhadap jutaan rakyat yang memberi mandat kepada PN dan parti-parti anggotanya, selain menjejaskan kegiatan politik, harta parti dan kedudukan pemegang jawatan.

Menurutnya kuasa pentadbiran yang mempunyai implikasi terhadap pilihan rakyat dan proses demokrasi tidak seharusnya diguna tanpa alasan yang jelas serta penghormatan terhadap penelitian kehakiman sedang berlangsung.

Dahului mahkamah

“PN mengecam tindakan tersebut sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang Rilihan Raya Negeri Melaka.

“Sebuah kerajaan yang yakin terhadap kesahihan tindakannya sepatut bersedia mempertahankan keputusan tersebut di hadapan hakim, bukannya mengubah kedudukan pihak-pihak ketika permohonan penangguhan bakal didengar,” tambahnya.

Kata beliau juga parti-parti anggota PN bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi.

Oleh itu beliau berharap ahli dan penyokong PN mematuhi undang-undang dan memberi ruang kepada proses mahkamah.

“Rakyat akan menilai tindakan kerajaan yang menggunakan kuasa pentadbiran terhadap lawan politiknya menjelang pilihan raya,” tambahnya.

Alat politik

Hafiza Jusoh

Ketua Pejuanita Malaysia, Hafiza Jusoh pula menyifatkan tindakan RoS mengundang persoalan apabila pembatalan pendaftaran PN dikaitkan dengan cadangan dalam pembentangan ‘Inisiatif Strategik’ di Konvensyen PKR di Melaka pada 15 Ogos lalu.

Kata beliau persoalan yang wajar dijawab adakah ia sekadar tindakan pentadbiran, atau ada kepentingan politik di sebaliknya?.

“Dalam sebuah negara demokrasi, kuasa pentadbiran tidak seharusnya menjadi alat untuk melemahkan pesaing politik.

“Jangan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat. Rakyat memerhati, menilai dan mengingati setiap janji yang dibuat,” katanya.

 

Kongsi artikel
WhatsAppFacebook

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.