Oleh M Faqih |
DAKWAAN Ketua Pejuanita Malaysia, Hafiza Jusoh pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) ada kaitan dengan campur tangan politik tidak boleh dipandang enteng. Ia menimbul keraguan ramai.
Sekiranya ada asasnya ia memperlihatkan sejarah lama berulang. Banyak kajian Sains Politik memperlihatkan pemerintah mengenepikan ‘rule of law’ bagi mempertahankan kuasa politik.
Undang-undang tidak lagi berfungsi sebagai instrumen keadilan seperti diluang-laung sebagai teras demokrasi. Sebaliknya tanpa segan silu dimanipulasi sebagai alat politik bagi memastikan kelangsungan kuasa rejim.
Situasi tersebut berlaku apabila sokongan politik semakin merosot. Atau berlaku transisi demokrasi. Di saat itu pemerintah cenderung menggunakan mekanisme perundangan formal untuk mengekalkan pengaruh.

Pejuanita mengaitkan isu terbabit dengan agenda Inisiatif Strategik di Kongres PKR di Melaka 15 Ogos lalu. Bagaimanapun PKR menafikan dakwaan wujud slaid mengandungi cadangan pembatalan pendaftaran PN dibentangkan dalam kongres parti terbabit di Melaka.
“Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengundang persoalan. Adakah sekadar tindakan pentadbiran atau ada kepentingan politik di sebaliknya,” ujar Hafiza.
Menurutnya cabaran berkaitan RoS dan perkembangan politik bukan perkara baharu. Pengalaman menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pernah dilalui Pejuang.

Biarpun ada pihak cuba menafikan pembabitan elemen politik di belakang tabir, namun berdasar kronologi yang berlaku ia memperlihatkan sebaliknya.
Ada agenda

Sebelum ini PN digantung RoS melaksanakan semua aktiviti berkuat kuasa pada 23 September lalu. Tarikh itu juga berkuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka.
Pembubaran dibuat pada 22 September 2026 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. Adakah kronologi yang berlaku itu secara kebetulan atau sebaliknya?
Begitu juga PN dibatal secara tiba-tiba. Ia berlaku dua hari sebelum permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktivitinya.

“Keputusan bertindak sebelum pendengaran kes tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman,” kata Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.
Lebih pelik lagi pada 6 Oktober lepas RoS menyatakan isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah. Malah, pada 13 Oktober mahkamah memberi kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan pendengaran penangguhan pada 22 Oktober ini.
Mungkinkah juga ia berlaku secara kebetulan? Agenda itu seperti terancang. Lagipun semua orang tahu penamaan calon PRN Melaka akan diadakan pada 31 Oktober ini.
Apa yang berlaku itu membayangkan ada pihak begitu gelabah apabila bendera PN makin meluas di Melaka. Kejayaan PN pada PRN Negeri Sembilan sudah tentu tidak dibiarkan berulang di Melaka.
Inilah antara isunya. Biarpun pelbagai tekanan dihadapkan kepada PN, namun ada hikmat yang tersembunyi. Perkara itu mungkin sudah dikesan Umno lebih awal.

Sebelum ini Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Barisan Nasional (BN) hanya mengadakan rundingan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.
Ia secara tidak langsung memperlihatkan Umno seperti tahu nasib yang akan dihadapi PN. Bagaimanapun tanpa sedar tindakan RoS seperti memberi ruang bulan purnama terus mengambang di Melaka.
Bukan tangan ghaib

Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan bukan lagi tangan tersembunyi di belakang tabir membatalkan pendaftaran PN, selaliknya ia agenda nyata.
“Bukan lagi tangan ghaib,” katanya ketika menjawab respon Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada kenyataan sebelum itu katanya, PAS kesal tindakan yang mendahului keputusan mahkamah, menghadkan hak demokrasi dijamin oleh perlembagaan.
Apa yang berlaku itu memperlihatkan ketakutan yang sedang memuncak di pihak kerajaan. Kata beliau PAS mengesahkan segala aspek pentadbiran dan pengurusan PN dijalankan secara teratur dan mengikut perlembagaan parti.
Bagaimanapun keharmonian dalam kalangan parti anggota amat utuh, kecuali satu pihak yang menyisihkan diri dan berpaling arah.
“Segala langkah seterusnya, termasuk persiapan menghadapi PRN Melaka dan tindakan di mahkamah bagi mencabar keputusan itu akan diambil secara bersama parti-parti PN yang sehaluan,” ujarnya.
Keputusan nekad RoS turut dikecam keras Parti Wawasan Negara kerana pembatalan berlaku hanya beberapa hari sebelum penamaan calon PRN Melaka.
Situasi itu memperlihatkan kerajaan sekarang tidak berani berdepan dengan pembangkang melalui persaingan demokrasi yang adil.

Keputusan tersebut kata Presidennya Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, bertentangan dengan pendirian asal RoS seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 6 Oktober 2026, menyatakan isu-isu dibangkitkan PN akan dijawab RoS di mahkamah.
Lebih aneh lagi sehari sebelum perintah pembatalan dikeluarkan, pihak Peguam Negara menyatakan dalam hujahan kepada mahkamah proses pembatalan masih berjalan.
Namun, RoS terus membatalkan pendaftaran PN dua hari sebelum Mahkamah Tinggi bersidang. Ia dibuat berdasarkan dua tafsiran berbeza oleh RoS dalam pemakaian Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
Pada 13 Julai 2026, empat Ahli Parlimen Bersatu membuat aduan kepada RoS yang mempersoalkan kuorum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Dalam jawapannya pada 16 Julai 2026, RoS merujuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan menetapkan bahawa keputusan parti politik berhubung urusan dalamannya adalah muktamad.
“Namun, apabila Bersatu membuat aduan terhadap PN, RoS tidak lagi menyerahkan tafsiran tersebut kepada parti. Sebaliknya, RoS mentafsir sendiri Fasal 7.1 Perlembagaan PN, menolak tafsiran PN, lalu membatalkan pendaftarannya,” kata Hamzah.
Beliau juga menyifatkan pembatalan PN sebagai hukuman paling berat di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Tekanan politik

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden percaya RoS berdepan dengan tekanan politik sehingga membuat keputusan membatalkan pendaftaran PN.
“Siapa yang mendesak? Ada tangan-tangan tertentu yang sedang memberi tekanan kepada RoS? Kenapa tidak tunggu proses mahkamah sampai keputusan perlu dibuat lebih awal?
“Kita mahu RoS bertindak secara profesional, bebas dan berintegriti. Jangan sampai institusi kerajaan dilihat seolah-olah menjadi alat untuk memenuhi kehendak politik pihak tertentu,” ujarnya pada kenyataan.
Biar apa pun rakyat bukan mudah diperbodohkan. Mereka boleh menilai apa yang sedang berlaku. Pada PRU15 PN meraih 4.72 juta undi atau 30.2 peratus undi popular dan memenangi 74 kerusi Parlimen.
PN muncul sebagai blok kedua terbesar di Dewan Rakyat. Tiba-tiba hari ini PN dimatikan. Tentunya rakyat tidak akan berdiam diri. Rakyat Melaka mungkin menjejaki langkah Negeri Sembilan menolak Pakatan Harapan (PH) pada 14 November ini. Ia membolehkan bulan terus mengambang di Melaka.

