Campur tangan politik jejas prestasi TH
Oleh Dr Zulkeflee Yaacob |
DAPATAN Suhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji merungkai masalah asal tadbir urus 2010–2017 mendapati Tabung Haji (TH) mengalami jurang kewangan yang besar apabila liabiliti melebihi aset akibat penurunan nilai pelaburan lampau.
Menteri Kewangan era pentadbiran Pakatan Harapan (2018–2020), memainkan peranan penting meluluskan pelan penstrukturan dan pemulihan kewangan (bailout) bagi menyelamatkan Lembaga TH.
Ketika itu TH dikatakan menghadapi krisis defisit kritikal. Ekoran itu Kementerian Kewangan menubuh syarikat milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) untuk mengambil alih aset-aset pelaburan TH yang kurang berdaya maju.
Sebanyak RM9.73 bilion aset TH dipindah kepada UJSB dan sejumlah ratusan juta sahaja dipulangkan kepada TH. Pelan pemulihan ini melibatkan pemindahan aset bermasalah kepada UJSB melalui penerbitan sukuk kerajaan dan jaminan kewangan bernilai belasan bilion ringgit untuk memastikan kedudukan kewangan TH kembali stabil.
Sebaliknya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berulang kali menegaskan aset tersebut tidak dijual, sebaliknya dipindahkan kepada UJSB bagi memulihkan aliran tunai dan akaun pencarum.
Kenyataan itu memberi gambaran untuk menafikan dakwaan aset Tabung Haji dilepaskan kepada pihak bukan Islam atau pemodal asing.

Sidang khas
Aset TH berbilion menjadi kontroversi mendasari isu menyebabkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan, kehadiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim penting dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat baru-baru ini.
Keabsahan perlu dijawab Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan bukan menyerah tanggungjawab kepada menteri.
Pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat blok pembangkang bertindak keluar dewan kerana menyifatkan sidang sebagai sesi penerangan menteri sahaja setelah Speaker Tan Sri Johari Abdul menolak usul penangguhan sidang khas pada suatu tarikh baharu.
Usul terbabit dikemukakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Takiyuddin Hassan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) untuk membahaskan laporan RCI mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) susulan ketidakhadiran Perdana Menteri.

Laporan RCI Tabung Haji tentang pengurusan dan amanah wang pendeposit Tabung Haji dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
RCI ditubuhkan untuk menyiasat isu pengurusan, operasi, dan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020. Tujuannya untuk mengenal pasti punca masalah kewangan dan kelemahan tadbir urus sebelum pelan pemulihan pada 2018.
Dalam laporan rinci semakan mendapati Tabung Haji mengalami defisit antara aset dan liabiliti serta pembayaran hibah melebihi kemampuan kewangan dikesan ekoran wujud campur tangan politik dan keputusan pelaburan yang tidak berhemat.
Kandungan penuh laporan disiarkan kepada umum oleh Dokumen laporan RCI TH menyebabkan ahli parlimen Hulu Langat (PH-PAN), Mohd Sany Hamzan secara sinis menyentuh isu salah laku dan penyelewengan membabitkan orang Melayu Islam.
Kata beliau “boleh merompak atau mencuri asalkan Melayu dan Islam. Orang Cina dan India tak boleh buat”.
Kenyataan tersebut jelas penghinaan terhadap orang Melayu dan Islam. Sepatutnya sebagai penggubal dasar bicaranya lebih berhemah dan hikmah menyampaikan pandangan yang memperlihat prestasi serta nilai individu dan entiti. Apalagi sebagai penyokong kerajaan, kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam perlu dielak.
Ahli parlimen daripada Amanah terbabit dianggap menjadi liabiliti dalam kerajaan Madani kerana setiap kali berhujah penuh emosi dengan suara volume tinggi dan verbal tidak seimbang.
Pelaburan rugi

Isu melatari Lembaga TH kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh pelaburan merekodkan kerugian 100 peratus.
Memetik pandangan Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi penggulungan menjelaskan pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda) merekodkan kerugian terbesar.
Kerugian mencecah RM13 bilion merangkumi RM10.2 bilion ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025.
Beliau menambah tujuh daripada 14 pelaburan itu merekod kerugian 100 peratus. Pelaburan Al-Rawda membabitkan perjanjian pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017 apabila TH membayar 1.4 bilion Riyal (RM1.5 bilion), kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi penempatan jemaah haji.

Sepatutnya pihak berkenaan mengendalikan hotel itu dan membayar sewa sebanyak 2.49 bilion riyal Saudi kepada TH, namun bayaran tersebut gagal dilunaskan.
Sedangkan jaminan bagi pelaburan bernilai besar terbabit hanya bersandarkan nota janji yang dijamin secara peribadi. Tambahan Al-Rawda gagal membuat bayaran sejak suku pertama 2019 yang akhirnya menyebabkan TH terpaksa menanggung susut nilai sepenuhnya berjumlah RM1 bilion pada 2024.
Sebelum itu Jabatan Pengurusan Risiko TH meminta jaminan bank bagi pelaburan Al-Rawda, namun jaminan berkenaan gagal disediakan, manakala laporan wajaran tidak lengkap.
Malah kepimpinan TH ketika itu tetap meneruskan urus niaga berkenaan dengan hanya bersandarkan nota janji sahaja, sekali gus meletakkan lebih RM1.5 bilion dana pendeposit dalam pelaburan tanpa cagaran bernilai.
Projek pembinaan kapal
Pelaburan bermasalah turut melibatkan projek pembinaan tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi TH Heavy Engineering Bhd (THHE), syarikat bersekutu TH yang turut disebut dalam RCI susulan susut nilai yang tidak direkodkan.
Kerajaan merilis kontrak bernilai RM738.9 juta kepada THHE Destini Sdn Bhd pada tahun 2017 melibatkan usaha sama antara THHE Fabricators Sdn Bhd yang memegang 49 peratus dan Destini Shipbuilding Engineering Sdn Bhd (51 peratus).
Kerja pembinaan sepenuhnya diserah kepada anak syarikat Destini, manakala THHE hanya agensi yang menerima surat lantikan khidmat nasihat. Dalam audit forensik dikesan seorang bekas pengarah Destini Bhd menerima RM1 juta melalui sebuah syarikat.
Tambahan tiada kepatuhan selenggara dana RM48.1 juta serta potensi ketidakaturan lanjut RM195.4 juta yang masih disiasat, termasuk RM31.6 juta wang kontrak yang dialihkan kepada syarikat induk subkontraktor dan ia bercanggah dengan aturan yang dipersetujui.
Malah, satu daripada tiga kapal sahaja disiapkan, yang sepatutnya tiga kapal siap dalam tempoh 42 bulan atau sekitar pertengahan 2020. Kapal pertama hanya diserahkan pada 2 Jan 2024, kira-kira tiga setengah tahun lewat.
Manakala kontrak kapal kedua dan ketiga ditamatkan atas persetujuan bersama berkuat kuasa 31 Disember 2024, tetapi kos tambahan menyiapkannya sebanyak RM310 juta atau 40 peratus melebihi kos asal.
Ini berpunca kelemahan tadbir urus pelaburan di antara TH dan Destini yang merugikan, bahkan kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan untuk menyiapkan baki dua unit OPV tersebut.
Kerugian bersih

Laporan RCI tentang penyata kewangan TH 2017 tidak mengikut piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) yang wajaran ketika itu TH merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan tersebut.
RCI berpendapat penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset kerana RAV tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH yang diaudit.
Dapatan tersebut memperkukuh keperluan untuk memastikan penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan.
Laporan RCI juga menyatakan pendekatan yang diambil oleh TH mengagihkan keuntungan dari tahun 2014 hingga 2017 tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji. Agihan keuntungan hendaklah dibayar daripada keuntungan sebenar dan bukannya daripada dana pendeposit sendiri.
Menurut RCI, amalan tersebut memberi kesan kepada rizab kewangan TH serta mewujudkan jangkaan berterusan terhadap kadar Agihan Keuntungan yang tinggi dalam kalangan pendeposit. Kedudukan kewangan TH pada tahun 2014 sehingga 2017 menunjukkan jurang defisit aset-liabiliti yang terus berkembang daripada RM352 juta kepada RM4,093 juta.
Oleh itu langkah meminda Akta Tabung Haji 1995 bagi memperketat peraturan pelantikan dan tadbir urus serta kerajaan mesti bertindak tegas terhadap pihak yang didapati bersalah atas unsur kecuaian atau salah guna kuasa.

