Cuit Oghe Kito

Isyarat dari Johor buat PH makin cemas

Oleh M Faqih |

APA yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sekarang seakan memberi isyarat kerajaan perpaduan yang diuar-uarkan sejak November 2022 tidak mampu dipertahan lagi.

Kerajaan perpaduan yang dicanang ketika itu memberi ruang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencapai cita-cita politiknya sejak 1998. Keduanya, usaha menyelamat sementara pemimpin yang berdepan kes profil tinggi di mahkamah.

Hasil sokongan Umno-Barisan Nasional (BN) yang memiliki 30 kerusi, membolehkan Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November 2022.

Sedangkan Pakatan Harapan (PH) tidak cukup jumlah kerusi bagi membentuk kerajaan. PH hanya ada 82 kerusi parlimen. Diikuti rapat Perikatan Nasional (PN) yang memiliki 73 kerusi. Perbezaannya hanya sembilan kerusi.

Bagaimanapun BN di bawah Dato’ Seri Zahid Hamidi menobatkan Anwar sebagai perdana menteri. Sedangkan ketika kempen pilihan raya umum (PRU) ke-15, dicanang ke peringkat akar umbi ‘No Anwar, No DAP’.

Malangnya selepas PRU, lain pula jadinya. Perbezaan ideologi dan pendekatan membuatkan kerajaan Madani tidak mampu bertahan lama. Ia mengulangi apa yang berlaku terhadap Pakatan Rakyat (PR) pada 2015.

Pakatan Rakyat terbubar pada Jun 2015 berikutan hubungan politik DAP dan PAS terelai. Muktamar PAS melulus usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Berikutan itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud. Langkah awal diambil DAP Sarawak dengan mengumum keluar daripada PR berkuat kuasa serta merta.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen menyifatkan PAS menyeleweng daripada dasar bersama PR kerana mahu melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Pengalaman PAS

Dan hari ini apa yang menimpa PAS 11 tahun lalu menimpa pula Umno-BN. Selepas hampir empat tahun perkataan perpaduan dilaung, kini masing-masing cuba membawa diri. 

Umno Johor memulakan langkah keras menjarakkan diri daripada PH yang diketuai DAP. Ketua Umno Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi menolak kerjasama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada 11 Julai ini.

“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026,” katanya pada kenyataan.

Pengumuman Menteri Besar Johor itu mengundang tidak puas hati pemimpin PH. Pada 8 Jun lepas Perdana Menteri dilapor berkata, langkah menafikan kumpulan kaum serta pimpinan parti politik yang dipilih untuk berada dalam pentadbiran kerajaan sebagai tindakan agak angkuh dan sombong.

Onn Hafiz berani menongkah arus dengan mengambil kira prestasi BN pada PRN 2022. BN menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi iaitu dua dimenangi Bersatu dan PAS (1). Kejayaan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti kukuh membuatkan Onn Hafiz yakin dalam misi menyingkirkan PH dan DAP pada PRN 2026.

Biarpun menang dengan majoriti besar pada PRN lepas, namun PH ada kekuatan jentera kerajaan Pusat. Pertembungan Pusat-negeri akan memberi kelebihan kepada PH.

PH menyahut cabaran Umno. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan PH akan meneruskan perjuangan dan berdepan mana-mana pihak yang enggan bekerjasama atau duduk semeja pada PRN Johor.

“Ada pihak yang merasakan mereka lebih kuat dan tidak mahu duduk semeja dengan kita. Maka PH akan lawan. Daripada 56 kerusi akan ada calon daripada Amanah, DAP dan PKR. Tidak kira siapa calon, kita akan undi semua calon PH,” katanya ketika berucap pada pengumuman calon PH di Tangkak malam tadi.

PH mengumumkan senarai 56 calon bagi menghadapi PRN Johor ke-16. Calon terbabit mewakili PKR, DAP dan Amanah. Calon dari PKR, Arthur Chiong akan mempertahankan kerusi Dun Bukit Batu. Selain itu PKR juga menamakan bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik bertanding di Puteri Wangsa.

Bekas Adun Semerah, Khuzzan Abu Bakar akan bertanding semula di kerusi yang dimenangi pada 2018. Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar pula dipertaruhkan di Senggarang.

DAP pula menampilkan 17 calon. Amanah menonjolkan seorang peguam Norhafiz Roslan menentang Onn Hafiz di Machap. Amanah juga mengemukakan calon keturunan Cina, Teo Siew Hui di Permas.

Ramai melihat PH sukar untuk mempertahankan 12 kerusi yang dimenangi pada PRN lepas. Pada PRN sebelum ini DAP menang di 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing menang satu kerusi.

Imej Anwar tercalar

Imej Anwar begitu tercalar kebelakangan ini. Antaranya isu membabitkan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Dato’ Seri Farhash dan mafia korporat.

Paling ketara kemarahan rakyat apabila harga diesel melonjak sehingga RM6.72 sen seliter pada April lepas. Begitu juga RON97 (RM5.35 seliter). Harga tersebut paling mahal dalam sejarah negara sejak merdeka.

PKR juga hilang sebahagian momentum apabila Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad memecahkan parti itu dengan mewujudkan Parti Bersama. Di sana sini pemimpin di peringkat cabang dilapor mengisytiharkan keluar PKR dan menyertai Bersama.

Dapatan kajian di 66 kerusi Parlimen membayangkan hanya tujuh sahaja kerusi Parlimen yang dianggap selamat bagi PKR begitu merisaukan. Lebih mendebarkan lagi empat daripada tujuh kerusi yang selamat itu dikatakan cenderung kepada team Rafizi.

Bagaimanapun 13 kerusi parlimen lagi dianggap boleh dimenang PKR. Kajian terbabit menggambarkan seandainya PKR boleh memenangi 20 kerusi parlimen, ia sudah dianggap bernasib baik.

DAP pula masih tenggelam dalam igauan kerana kalah teruk pada PRN Sabah November 2025. Semua calonnya tewas pada PRN tersebut.

Seorang sarjana, Dr Kamarazaman Yacob menyifatkan Amanah gagal berfungsi sebagai wadah alternatif Islam yang progresif, sebaliknya sekadar ‘pak turut’ kepada naratif DAP dan PH.

“Amanah kini berdepan defisit kepercayaan yang parah, dilihat semakin hanyut daripada prinsip asal perjuangan demi mempertahankan survival kuasa dan kerusi dalam kerajaan,” katanya.

Bagi Prof Adjung Institut Pengajian Borneo Universiti Malaysia Sarawak, Dato’ Dr Jayum Jawan, keputusan PRN Johor akan menjadi petunjuk penting bagi menilai kerjasama politik masa depan.

Landskap politik Malaysia nampaknya seperti kembali ke era tradisional. Umno dilihat sedia meninggalkan PH bagi mengintai semula di bawah payung perpaduan ummah.  

“Kita merestui perjumpaan yang digerakkan kepemimpinan Umno dan PAS untuk merungkai beberapa permasalahan dan agenda bukan politik,” kata Zahid kepada media 9 Jun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *