Cuit Oghe Kito

Kelibat PN di sebalik konflik BN-PH di Johor

Oleh M Faqih |

PERSOALAN yang timbul sekarang benarkah Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah berkerat rotan dengan Pakatan Harapan (PH). Berdasar kenyataan media, ia seakan benar-benar berlaku. Malah perbalahan sudah diheret di pentas ceramah.

Namun, majoriti rakyat masih sangsi. Ramai bimbang akan berulang episod ‘No Anwar, No DAP’ ketika kempen, namun selepas menang bertaut semula. Maka ketika itu akan dicipta pelbagai alasan termasuk demi perpaduan dan kepentingan rakyat.

Ramai tidak yakin. Selagi Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemudi Umno, situasi serupa boleh berulang. Bagaimanapun Umno Johor kelihatan lebih kebal.

Pendirian Umno Johor menolak DAP bukan perkara baharu. Pada 21 November 2022 Pengerusi Umno Johor ketika itu Dato’ Seri Hasni Mohammad secara jelas mengenepikan DAP dalam kerajaan negeri. 

“Umno Johor memegang pendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu melibatkan DAP,” katanya kepada media.

Bagaimanapun setelah Umno membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) Hasni tidak lagi mengetuai Umno Johor. Tempatnya tiba-tiba ditukar kepada Dato’ Onn Hafiz Ghazi.

Mungkinkah ada kaitan dengan kelantangan Hasni menolak DAP dan PH sehingga tidak disenangi Umno Pusat. Sedangkan sepanjang kempen PRN berlangsung, Hasni dinobatkan sebagai ‘poster boy’ BN.

Kenyataan itu dibuat Zahid yang juga Pengerusi BN pada 24 Februari 2022. Kata Zahid, Hasni dipilih sebagai ‘poster boy’ BN bagi menghadapi PRN Johor.

Tukar MB

“Hasni bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan,” kata Zahid.

Dan selepas PRN lain pula jadinya. Hasni diganti Onn Hafiz. Berdasarkan flip flop tersebut, ramai tidak yakin terutamanya orang Melayu terhadap Umno selagi diketuai Zahid.

Biarpun Presiden Umno dilihat masih lunak dengan DAP dan PH, namun Umno Johor menongkah arus dengan mempamer pendirian tegas. Ia disuarakan berulang kali Onn Hafiz, menolak kerjasama dengan DAP kerana perbezaan ideologi politik.

Kenyataan Menteri Besar itu turut dipertahankan Pemuda Umno Johor. Ketuanya, Noor Azleen Ambros dengan menjelaskan pendirian tersebut tidak berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya berpunca perbezaan prinsip, nilai dan hala tuju politik antara Umno dengan DAP.

Dan sudah tentu pertembungan terbuka antara BN dan PH, membolehkan rakyat Johor mencari pilihan lain. Maka peluang perlu direbut Perikatan Nasional (PN). Biarpun Bersatu tidak ada lagi hubungan politik dengan PAS, namun kedua-dua parti terbabit masih kekal dalam PN.

Bergerak bersama

Malah, Pengerusi PN Johor Dato’ Seri Dr Sahruddin Jamal pada kenyataan sebelum ini memberitahu parti-parti komponen PN bergerak bersama bagi menghadapi PRN Johor.

“PN Johor tiada masalah. Kami akan bergerak bersama-sama. Setiap ujian membawa hikmah, setiap badai membina kekuatan! Perjuangan demi rakyat dalam Perikatan Nasional tidak akan sesekali goyah. Di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin kita rapatkan saf, bulatkan tekad dan terus istiqamah,” kata Dr Sahruddin.

Perikatan Nasional secara jelas mengesahkan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Ia ditegaskan Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Kata beliau PN akan memasuki gelanggang PRN Johor dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Oleh itu beliau berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi.

“Dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, PN akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik,” ujarnya di laman sosialnya.

Selain PAS dan Bersatu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Gerakan juga sudah menggerakkan jentera pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.

MIPP mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Nilai Springs Resort Hotel, Negeri Sembilan baru-baru ini membincangkan perkembangan semasa landskap politik negara dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Setiausaha Agung MIPP, Sathes Kumar Nilameham pada kenyataan memberitahu jentera pilihan raya MIPP di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka telah digerakkan sepenuhnya. Kata beliau pelbagai program mendekati rakyat di peringkat akar umbi dijalankan.

Dekati rakyat

“MIPP telah mengenal pasti empat kerusi di Johor dan tiga di Negeri Sembilan untuk ditandingi dan kesemua calon yang bakal diketengahkan merupakan pemimpin muda masyarakat India yang berwibawa serta berpotensi membawa suara generasi baharu,” ujarnya. 

Begitu juga Gerakan sudah menyusun jentera menghadapi PRN Johor. Ahad lepas Presiden Gerakan, Dato’ Dr Dominic Lau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Johor di Pejabat Gerakan Negeri di Skudai.

Beliau menegaskan setiap peringkat parti perlu bersedia memperkukuh jentera, memperkemas strategi serta memperluas gerak kerja akar umbi demi memastikan Gerakan dan PN terus mendapat kepercayaan rakyat.

“Kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesungguhan jentera di lapangan dan komitmen setiap ahli dalam memperjuangkan nasib rakyat. Saya menyeru pemimpin-pemimpin kita untuk memberi sokongan penuh kepada bakal-bakal calon kita, calon Perikatan Nasional,” kata beliau.

Pada PRN lepas PN mempunyai tiga kerusi Dun di Johor. Menurut Dr Jamal sehingga sekarang 80 peratus agihan kerusi PN selesai bagi menghadapi PRN Johor.

Menurutnya baki 20 peratus kerusi masih dalam perbincangan, membabitkan kerusi Parti Rakyat India Malaysia serta cadangan kerjasama melalui electoral pact dengan parti lain termasuk MUDA dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

“Gabungan itu turut mengaktifkan jentera bagi empat komponen parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP dalam gerak kerja pilihan raya,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *