Serantau

Parti Islam di Indonesia hanya sekadar nama

Oleh A Alis Surya |

PARTI politik Islam di Indonesia merujuk kepada parti-parti berasaskan Islam atau memiliki asas massa dan sokongan kuat dalam kalangan umat Muslim.

Dalam konstelasi politik nasional, parti-parti tersebut terbahagi dua kelompok besar; parti yang secara eksplisit berideologi Islam, serta parti berplatform terbuka (asas Pancasila), namun sangat bergantung pada asas sokongan umat Islam Indonesia.   

Kedudukan parti-parti berasaskan Islam di Indonesia menyaksikan perubahan ketara di mana hanya tiga parti berjaya melepasi ambang batas parlimen (4 peratus) untuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2024-2029.

Berikut adalah kedudukan dan pencapaian terkini parti-parti Islam di pentas politik kebangsaan.

1. Parti Kebangkitan Bangsa (PKB): Muncul sebagai parti Islam terkuat di parlimen dengan penguasaan 68 kerusi DPR. PKB juga memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan melalui Cucun Ahmad Syamsurijal.

2. Parti Keadilan Sejahtera (PKS): Memperkukuhkan kedudukan di Senayan dengan peningkatan perwakilan kepada 53 kerusi.

3. Parti Amanat Nasional (PAN): Meraih 48 kerusi DPR, terus menjadi entiti penting yang mendapat sokongan pengundi muda dan sederhana.

4. Parti Persatuan Pembangunan (PPP): Buat pertama kali dalam sejarah pasca-reformasi, parti tertua berasaskan Islam ini gagal melepasi ambang batas parlimen 4 peratus (hanya meraih 3.8 peratus) dan hilang kesemua kerusi DPR.

Secara keseluruhannya landskap politik Indonesia kini bergerak ke arah corak post-Islamist. Parti-parti Islam dijangka bekerjasama erat di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto, dengan memberi lebih tumpuan kepada agenda pragmatik, ekonomi, dan kesejahteraan sosial berbanding retorik identiti eksklusif.

Dalam tahun 1950-an, ideologi politik mendorong parti-parti politik Indonesia secara aktif terbabit dalam penggubalan dasar ehwal luar.

Contohnya, Parti Komunis Indonesia (PKI) secara terbuka menyarankan hubungan lebih rapat dengan sama ada Soviet Union atau China, sejajar dengan ideologi parti itu.

Persaingan ideologi

Bagaimanapun parti-parti nasionalis dan Islamis menentang PKI, sebaliknya mereka menjalin hubungan dengan blok Barat, terutama Amerika Syarikat.

Namun, persaingan ideologi sedemikian dalam ehwal luar hampir tidak wujud dalam politik Indonesia hari ini. Secara umum, corak interaksi antara parti-parti politik Indonesia dengan hubungan luar menunjukkan pragmatisme dan bukannya pendekatan ideologi.

Parti-parti berasaskan Islam di Indonesia kurang memberi tumpuan kepada isu-isu luar negara, mereka lebih cenderung kepada pendekatan ideologi dengan menonjolkan nama-nama tokoh kepimpinan sendiri.

Walaupun parti-parti politik kontemporari Indonesia kerap mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan sejawat luar negara bertujuan menjalin rangkaian atau silaturahim.

Misalnya, PKS mengadakan pertemuan dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di peringkat nasional dan serantau. PAS dan PKS mempunyai ciri-ciri dan dasar pendekatan yang sama berkaitan hala tuju dan perjuangan menegakkan syair Islam sebagai Ad-Din.

Beberapa parti politik Indonesia seperti Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Parti Golongan Karya (Golkar), Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan Parti Nasional Demokrat (Nasdem) pula mengadakan hubungan dengan Umno.

Pada Mei 2023, pemimpin Golkar dan Umno bertemu dengan menjalin kerjasama dalam agenda pemerkasaan belia. Kedua-dua parti tersebut mempunyai dasar perjuangan dan pendekatan hampir sama.

Parti berasas Islam dinafi hak

Ketika era Sosilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan Jokowi, parti-parti berasaskan Islam kurang mendapat perhatian, dinafikan hak dan keadilan terutamanya berkaitan pelantikan kabinet. Walaupun mengadakan kerjasama menghadapi Pemilu, sebaliknya sering dipinggirkan dalam pembahagian kerusi kabinet di Parlimen.

Perbezaan ideologi mungkin menjadi alasan parti-parti berasaskan Islam dinafikan hak. Mereka lebih mengutamakan parti-parti yang berasaskan nasionalis bagi agihan kerusi kabinet. Sebaliknya parti-parti berasaskan Islm seringkali terpaksa tunduk dan menyertai gabungan kerajaan pemerintah walaupun terpaksa mengetepikan agenda asal parti untuk terus relevan.

Sejak 1998, ideologi politik memainkan peranan kecil dalam membentuk strategi pilihan raya dan objektif jangka panjang disebabkan amalan politik pelanggan dan struktur peribadi parti-parti politik.

Kebanyakan parti-parti berasaskan Islam mengalami masalah penurunan signifikan. Hanya PKS yang dilihatkan dapat mempertahankan kedudukan.

Bagaimanapun PPP yang sudah lama usianya mengalami kemerosotan pengaruh. Pendekatan yang diguna pakai PPP tidak lagi releven berbanding dengan parti-parti berasaskan Islam lain.

Suara umat Islam Indonesia terpecah kepada parti-parti berasaskan Islam. Namun,parti terbabit tidak memiliki pengaruh signifikan. Bahkan parti berasaskan Islam iaitu PPP menanggung kekalahan dalam pentas politik nasional.

Dua parti lain iaitu PAN yang berbisa dengan warga Muhammadiyah berhasil mempertahankan sokongan yang relatif secara konsistan, manakala PKB yang berasaskan warga Nahdlatul Ulama (NU) mengalami kemerosotan signifikan.

Identiti parti-parti berasaskan Islam yang semakin memudar kini lebih cenderung memilih parti berdasarkan pendekatan kultural. Hal ini dapat dilihat terhadap PKB yang tidak lepas daripada NU. PAN pula tidak lepas daripada Muhammadiyah, PKS tidak lepas dari kelompok tarbiyah, serta kelompok Islam sederhana yang tidak lepas dari parti berasaskan nasionalis.

Hal ini mengakibatkan umat Islam terpecah dalam beberapa kelompok yang menjadikan kedudukan parti-parti berasaskan Islam menjadi semakin lemah. Akibatnya, daripada kesan tersebut menjadikan umat Islam di Indonesia menjadi kebingungan untuk menilai parti manakah yang sebenarnya harus dipilih.

Akibatnya, parti Islam hanya sekadar nama, masyarakat pula lebih cenderung memilih individu dan bukan partinya khususnya di luar Pulau Jawa, sokongan kepada parti-parti berasaskan Islam kurang. Sebaliknya PDI-P, Golkar dan Demokrat lebih mendapat tempat di hati rakyat. Ia dikaitkan dengan tokoh-tokoh kepimpinan parti-parti tersebut.

Pengaruh politik Islam di Indonesia sebenarnya lebih banyak didorong oleh pertubuhan Islam seperti Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah berbanding parti politik Islam itu sendiri. Parti-parti politik berasaskan Islam di Indonesia, selalu menerima kekalahan kerana mereka dipandang berperilaku pragmatis.

Sama berlaku pada zaman Presiden Soeharto, era kepemimpinan Abdurrahman Wahid (Gusdur) dan Amein Rais sering mengalami penurunan suara. Hal ini kerana parti Islam bersikap pragmatis dan selalu mengikuti parti pemenang.

Sikap pragmatis tidak hanya dilakukan oleh parti politik. Masyarakat Muslim Indonesia memiliki sifat tersebut sehingga parti politik yang memiliki asas Islam tidak memiliki suara. Pada era orde baharu, dukungan kepada politik Islam lebih fokus dalam bidang birokrasi dan ekonomi. Sebaliknya pada era reformasi dukungan meningkat pada unsur legal formal dan legalisasi politik Islam.

Tentangan sebelum reformasi sangat tinggi, namun dukungan rendah. Sedangkan pada era reformasi, dukungan terhadap politik Islam secara umum mengalami kenaikan, sedangkan tantangan rendah. Dukungan paling tinggi terhadap politik Islam terjadi pada zaman Habibie, tetapi selepas itu pelahan-lahan mengalami penurunan sehingga sekarang.

Islamisasi di luar jalur politik

Kegagalan parti-parti berasaskan Islam di Indonesia menyebabkan politik Islam mengalami pergeseran. Ada kecenderungan usaha Islamisasi Indonesia tetapi di luar jalur politik, melalui pelbagai penguatan kemasyarakatan pada bidang sosial, pendidikan, budaya dan media sosial.

Ada pendapat yang mengatakan, parti-parti berasaskan Islam belum siap menjadi ‘imam’ dan tetap berada di kedudukan ‘makmum’. Dalam membentuk kerjasama antara parti-parti berasaskan Islam dengan parti-parti nasionalis, selalunya parti-parti berasaskan Islam sekadar kesamping sahaja. Tidak berperanan sebagai penyatu atau yang mengerakkan kerjasama tersebut.

Faktornya parti-parti berasaskan Islam tidak ada tokoh yang dapat menyatukan seluruh kekuatan untuk setidaknya memenuhi ambang batas pencalonan presiden.

Dalam pilihan raya presiden misalnya, tiada ketua umum daripada parti-parti berasaskan Islam yang dicalon, sebaliknya mereka sekadar mendukung pasangan daripada partai nasionalis.

Ketidakmampuan parti-parti berasaskan Islam mengubah ideologinya menjadi platform politik. Yakni, menjadikan agama sebagai ideologi parti politik bererti harus memanfaatkan nilai-nilai fundamental agama untuk mendapatkan populariti dan dukungan politik.

Laporan Republik Merdeka menyatakan, kekuatan parti-parti politik berasaskan Islam dinilai masih menghadapi tantangan besar untuk boleh bersaing secara kompetitif dengan parti-parti nasionalis pada Pemilu 2029.

Menurut pengamat politik, Adi Prayitro, dalam sejarah politik elektoral Indonesia, parti-parti politik berasaskan Islam tidak pernah mendominasi atau memenangi pertarungan politik besar.

“Parti-parti politik berasaskan Islam nyaris tidak pernah memenangi pertarungan politik baik di pilihan raya umum atau pilihan raya presiden,” kata Adi di laman Youtube, 26 Mei lepas.

Ia memperjelaskan ada banyak faktor yang membuat parti-parti berasaskan Islam sulit bersaing secara maksima. Mulai dari keterbatasan jaringan politik, kekuatan logistik hingga faktor figura yang dinilai belum mampu menandingi dominasi tokoh-tokoh dari parti nasionalis.

Tiada figura Islamist

“Di Pemilu 2029, figur dari kalangan parti politik Islam nyaris tidak ada,” ujarnya. Beliau menilai kekuatan politik Islam pada Pemilu 2029 pada sisi parti maupun tokoh yang diusung, diperkirakan belum berkemampuan menyaingi dominasi parti-parti nasionalis.

“Kalau disimpulkan bagaimana kekuatan politik Islam pada 2029, baik dari segi parti politik atau figur, rasanya tidak terlampau kompetitif. Masih kalah jauh bersaing dengan parti nasionalis,” katanya.

Kesimpulannya, bolehlah ditanggapi kedudukan parti-parti berasaskan Islam di Indonesia perlu menonjol ke depan dan berperanan jelas dalam sinario politik Indonesia agar dapat bersaing secara efektif pada masa depan.

Penganalisis menyarankan parti-parti politik berasaskan Islam harus lebih bergeser ke tengah, merangkul kelompok non-muslim atau nasionalis, serta mengusung program kerja yang lebih inklusif dan populis.

Mereka juga perlu memahami intipati politik negara yang berkembang setiap masa dan disesuaikan dengan peranannya untuk meraih kemenangan. Jika tidak, parti-parti politik berasaskan Islam sekadar berada di posisi makmum di tengah-tengah parti-parti nasionalis.        

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *