Cuit Oghe Kito

Pemimpin PH sukar terima karma rakyat

Oleh M Faqih |

BUKAN Zaid Dacing atau Edi Bulan yang sebut pengaruh Pakatan Harapan (PH) merosot, namun data tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi bukti kukuh. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan terbaharu Negeri Sembilan memperlihatkan pengaruh PH semakin pudar.

Kata orang lama, sudah jelas lagi bersuluh. Kekuatan sesuatu dalil bergantung kepada kesahihan sumber, kejelasan petunjuk dan sokongan dalil lain. Bukti juga dikumpul daripada dokumen, rakaman atau tanda fizikal yang menyokong sesuatu hujah. Kriteria itu mencakupi pelbagai bidang ilmu.

Petunjuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan ternyata membuatkan pemimpin PH tidak lena tidur. Mereka mungkin dihimpit mimpi ngeri hilang kuasa politik tidak lama lagi.

PRN Sabah pada November 2025, PH hanya menang satu kerusi. Di Johor kerusi Dun PH susut daripada 12 (PRN 2022) kepada 8 (PRN 2026). Dan di Negeri Sembilan jumlah kerusi Dun PH berkurang daripada 17 kepada 11.

Paling mengejutkan PH hilang kuasa politik di Negeri Sembilan. Lapan tahun PH mendominasi hegemoni politik di negeri terbabit.

Popular

Biarpun kecundang, namun ada pihak menggambarkan popular PH paling tinggi berbanding Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Lalu digambarkan PH mendapat 40.7 peratus undi popular atau 232,230 undi.

Di tempat kedua, BN mendapat 38.3 peratus atau 218,609 undi dan ketiga PN meraih 17.4 peratus (99,328 undi). Manakala Bersatu pula mendapat 2.5 peratus atau 12,050 undi.

Mereka menyembunyikan jumlah kerusi yang ditanding PH, BN dan PN. Sedangkan PH bertanding di 36 kerusi, BN (25 kerusi) dan PN (11 kerusi). Jumlah undi PH secara individu kelihatan lebih tinggi kerana mereka meletakkan calon di lebih banyak kerusi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Dato’ Dr Wan Nik Wan Yussof menjelaskan penilaian yang dibuat pihak terbabit tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Menurutnya jumlah sokongan terhadap mana-mana parti yang bertanding perlu dilihat berdasar kadaran mengikut jumlah kerusi yang mereka tandingi.

Jumlah undi yang diterima PH perlu dibahagi dengan 36 kerusi bagi memperlihatkan purata undi sebenar. Ini bermakna undi yang diterima PH sebanyak 232,230 perlu dibahagi 36 menjadikan 6,451 undi.

BN pula mendapat 218,609 undi dan apabila dibahagi 25 kerusi purata jumlah undi iaitu 8,744 undi, manakala PN mengumpul 99,328 undi dan apabila dibahagi 11 kerusi purata undi iaitu 9,030 undi.

“Ini bermakna PN mempunyai kadaran paling popular berbanding PH dan BN. Dan berdasar tiga muafakat politik terbukti PH paling tidak popular,” katanya.

Dan sekiranya dinilai berdasarkan gabungan parti yang membentuk kerajaan Negeri Sembilan, koalisi BN dan PN memperoleh 317,937 undi atau 55.7 peratus daripada keseluruhan undi.

PH pula mengumpul 232,230 undi atau 40.7 peratus. Apapun secara jelas  majoriti pengundi Negeri Sembilan memilih gabungan BN-PN berbanding PH.

Selepas tidak berupaya mempengaruhi orang ramai bagi menggambarkan PH mendapat undi popular paling tinggi, pendukung PH mencipta seribu alasan bagi meletak premis kelemahan kepada pihak lain.

Perkauman

Lalu ceplos PH menjaja punca kekalahan parti itu disebabkan sentimen perkauman yang dijuarai PAS. Kata mereka baru sebulan bersama PAS, Umno menyambung wirid yang sama terhadap DAP untuk mendapat undi Melayu walaupun Umno tahu DAP bukan sebegitu rupa.

“Kenapa kekuatan PAS dan bukan Umno? Faktanya PAS yang mencipta ketakutan orang Melayu untuk melawan DAP macam melawan orang Israel. Laungan UMDAP atau DAP siang malam yang akhirnya Umno yang tewas. Umno tewas apabila terpaksa bekerjasama dengan PAS untuk dapatkan undi Melayu seperti mana dilakukan di Negeri Sembilan.

“Sedangkan tiga tahun lebih Umno cuba pertahankan DAP berdasarkan pengalaman bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” kata ceplos PH, seperti diviralkan.  Benarkah begitu? Ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini siapa yang sebut undi PAS sama dengan Taliban.

Ketika kempen PRU15, seorang pemimpin DAP memberi amaran dalam bahasa Mandarin, jika PN, yang terdiri daripada Bersatu dan PAS berkuasa, Malaysia akan menjadi Afghanistan.

Pada 2019, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dilaporkan berkata pada satu majlis di Perak, jika pakatan Umno-PAS memiliki kuasa di persekutuan, Malaysia boleh bertukar menjadi Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban.

Siapa sebenarnya yang menjuarai isu perkauman. Ternyata PH sukar menerima karma rakyat. Mereka masih membayangkan PH kuat. Lalu ceplos mereka menyifatkan kekalahan DAP di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan di kerusi pengundi Cina biarpun mengejutkan banyak pihak, namun 70 peratus pengundi Cina masih bersama DAP.

PRN Negeri Sembilan memperlihatkan kemarahan kaum Cina terhadap dasar kerajaan Madani termasuk isu e-invoice. Mereka juga tidak berpuashati terhadap sikap pemimpin DAP.

Masyarakat Cina melihat pemimpin DAP tidak seperti dahulu. Karektor mereka berbeza ketika berada di saf pembangkang. Antara pemimpin DAP yang  tidak disukai termasuk Nga Kor Ming.

Biarpun pendokong PH cuba menyalahkan PAS dengan permainan politik perkauman, namun PRN Johor dan Negeri Sembilan memperlihatkan politik identiti masih ada pengaruh besar di Malaysia.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia mengakui politik identiti masih menjadi faktor dominan dalam menentukan corak pengundian pengundi Melayu-Islam.

Menurutnya politik identiti mengatasi isu pentadbiran, pembangunan,  ekonomi dan kebajikan rakyat. “Hakikatnya sentimen identiti masih menjadi pertimbangan utama pengundi Melayu,” ujarnya.

Malah tinjauan awal Ilham Centre di Negeri Sembilan juga menemui elemen politik identiti. Ia memberi kesan besar terhadap corak pengundi dalam kalangan pengundi Melayu.

Biarpun ramai pengkaji politik cuba menyisihkan politik identiti, namun ia merupakan teras perjuangan orang Melayu sejak zaman awal kemerdekaan negara.

PH agak bernasib baik sebelum ini apabila berjaya singgah sekejap di Putrajaya selepas isu 1MDB mencalar nama Umno di mata dunia. Dan setelah isu 1MDB berlalu dan pesalah dihukum, politik identiti dipugar semula dalam landskap politik Semenanjung.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *