Peneroka Kesedar dilema kebun tiada geran
Oleh Aslani M |
ISU peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh Gua Musang menunggu hampir 40 tahun untuk memiliki surat milik kebun secara sah menarik perhatian ramai.
Ramai simpati terhadap nasib yang dialami peneroka terbabit. Malah isu serupa juga dialami ramai lagi peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) di bawah Kesedar.
Bagi peneroka isu terbabit tidak nampak akan diselesaikan dalam tempoh singkat biarpun sebahagian besar peneroka awal sudah meninggal dunia.
Masalah ibu bapa mereka sekarang diwarisi generasi kedua dan ketiga, yang juga berdepan dengan kekangan serupa kerana kebun dan lot kediaman yang mereka duduki tidak memiliki geran secara sah.

Belum pun selesai isu hak milik kebun dan lot rumah, ada ladang milik mereka didakwa didatangi agensi kerajaan untuk membuat kajian berkaitan kandungan unsur nadir bumi (REE).
Ramai peneroka di RKT Jeram Tekoh dan tempat-tempat lain di Gua Musang bimbang hasil kelapa sawit yang diusahakan mereka sejak berpuluh tahun lalu akan terjejas sekiranya dilombong mineral REE.
Mereka mendakwa kira-kira tiga bulan lagi ada pasukan daripada agensi kerajaan datang menggunakan pacuan empat roda menggali lubang bagi mengambil contoh tanah untuk dianalisis kandungan mineral.
Seorang peneroka Hadi Daud memberitahu lubang di kebunnya digali sedalam kira-kira 15 kaki bagi mengambil contoh tanah untuk dianalisis kandungan mineral.

Kata beliau pasukan penyelidik terbabit dari sebuah jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi tidak memaklumkan secara jelas kepada peneroka ketika datang mengambil contoh tanah.
“Saya dan peneroka di sini bimbang sekiranya kebun yang kami usahakan sejak berpuluh tahun lalu terdapat galian REE, namun hasilnya tidak dinikmati peneroka kerana kebun tiada geran.
“Saya bertanya kepada pegawai terbabit berkaitan hasil REE adakah juga akan dinikmati peneroka. Sebaliknya mereka memberitahu hasilnya milik Kesedar kalau kebun tiada geran,” katanya di sini.

Kajian REE
Sebelum ini dilaporkan ada syarikat yang mendapat kontrak dengan Kesedar mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Galian dan Mineral Kelantan membuat kajian berkaitan REE.
Kajian potensi sumber mineral dilakukan di Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang bagi menumpukan penilaian Unsur Nadir Bumi. Fokus kajian berkaitan penilaian potensi sumber REE bagi fasa 2.

Manakala berdasar laporan media sebelum ini terdapat sebanyak 33 kawasan di Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai dijalankan aktiviti perlombongan mineral setakat ini.
Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan, masih banyak lokasi baharu yang dikesan mempunyai sumber mineral berdasarkan faktor geologi kawasan terbabit.
Malah sehingga di Kelantan terdapat 33 lombong mengandungi mineral emas, ‘manganite’, besi, emas, perak, plumbum dan zink yang boleh memberi hasil kepada negeri. Kesemua lombong itu terletak di merata di jajahan Tanah Merah, Gua Musang serta Kuala Krai.
Kelantan dipercayai memiliki sumber mineral dan unsur nadir bumi yang dianggar mencecah RM125 bilion. Kekayaan sumber mineral tersebut membolehkan Kelantan mengembangkan sektor perlombongan dan industri berasaskan mineral.
Pakar mineral memberitahu pembangunan industri REE boleh memberi sokongan besar kepada industri REE hiliran.

Sementara itu beberapa lagi peneroka yang ditemui mengharapkan ada imbuhan untuk mereka sekiranya ladang yang diusahakan mereka sejak berpuluh tahun lalu disahkan mengandungi REE.
“Biarpun belum dapat geran lagi namun peneroka sudah lama diarah membayar RM20 sebulan kepada Kesedar sebagai proses membuat geran,” kata mereka.
Hadi juga bimbang sekiranya kebunnya terdapat kandungan mineral REE, tidak dapat lagi mengeluarkan hasil sawit kerana tanah akan dikorek bagi mengeluarkan mineral.
“Peneroka akan kehilangan sumber pendapatan kerana pokok sawit akan ditebang bagi membolehkan perlombongan dilakukan dan hasil REE pula menjadi milik pihak lain,” ujarnya.

