Cuit Oghe Kito

PN-BN mampu dominasi politik Semenanjung

Oleh M Faqih |

SEBELUM ini kita sering dihidangkan pilihan raya kecil (PRK) apabila berlaku kematian atau wakil rakyat meletak jawatan. Namun, bermula tahun 2020 situasi berbeza sama sekali.

PRK bertukar kepada pilihan raya negeri (PRN). Biarpun masih berlaku PRK, namun situasi sekarang lebih terarah kepada PRN. Semuanya berpangkal perebutan kuasa politik. Di Kelantan juga pernah diadakan PRN pada Mac 1978, akibat krisis dalaman PAS sehingga melahirkan Berjasa.

Namun, ia berbeza dengan PRN di Sabah dan Sarawak. Ia bukan berpunca krisis politik. Sarawak mengadakan PRN berasingan daripada pilihan raya umum (PRU) di peringkat persekutuan sejak tahun 1963. Begitu juga di Sabah PRN pada peringkat awal diadakan secara berasingan sebelum penyelarasan dibuat bagi membolehkan PRN diadakan serentak dengan parlimen.

Bagaimanapun selepas 42 tahun PRN di Kelantan, akhirnya bermula 2020 trend PRN semakin rancak akibat krisis politik. Kemelut politik menyaksikan beberapa negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) lebih awal berbanding Parlimen.

Siri PRN bermula di Sabah pada tahun 2020, PRN Melaka (2021) dan PRN Johor (2022). PRN juga pernah diadakan serentak membabitkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Ogos 2023. Namun, ia bukan angkara konflik politik.

PRN akibat kemelut politik di era moden bermula di Sabah pada 2020. Ketua Menteri ketika itu, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dun pada 30 Julai 2020 berikutan Barisan Nasional (BN) Sabah di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman mendakwa memiliki majoriti. 

Sebelum itu BN Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) terikat jumlah kerusi yang sama iaitu 29 daripada 60 kerusi Dun. Dan dua kerusi lagi dimiliki Parti Solidariti Rakyat Sabah (Star).

Musa mendakwa mendapat sokongan dua Adun Star, sekaligus memperoleh majoriti mudah dengan 31 Adun yang membolehkan BN membentuk kerajaan. Bagaimanapun Shafie membubarkan Dun lebih awal.

Kes di Johor

Situasi serupa juga berlaku di Johor pada 2022. Kerajaan negeri ketika itu mempunyai majoriti 28 kerusi berbanding pembangkang 27 selepas Adun Kempas Dato’ Osman Sapian meninggal dunia.

Keadaan hampir sama berlaku di Melaka. Pada 4 Oktober 2021 Ketua Menteri Dato’ Seri Sulaiman Md Ali membubarkan Dun selepas hilang majoriti sokongan.

Empat Adun kerajaan tiba-tiba menarik sokongan terhadap kepemimpinannya. Adun terbabit iaitu Dato’ Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Dato’ Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Dato’ Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Dato’ Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Ketika itu Kerajaan BN Melaka diwakili 17 Adun yang terdiri iaitu Umno 14 Bersatu (2) dan Bebas (1), manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7), PKR (2) dan Amanah (2).

Pada PRN Melaka 20 November 2021 BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dun dan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Manakala PH menang lima kerusi dan PN (2). Dan sekali lagi Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri.

Namun, pada 29 Mac 2023 Sulaiman meletak jawatan akibat krisis dalaman Umno. Sulaiman diganti Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh. Sulaiman memberi laluan kepada Rauf bagi membolehkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka seperti dihasrat Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PRN Melaka

Dan pada 19 November 2026 genap sepenggal kerajaan BN Melaka. Sekiranya Dun tidak dibubar, ia akan terbubar secara automatik. Dalam tempoh berbaki tiga bulan PRN perlu diadakan.

Biarpun BN menang besar pada PRN Melaka November 2021, namun PRU yang diadakan setahun selepas itu, pengaruh BN merosot. Malah 11 kerusi dimenangi BN pada PRN 2021 majoritinya di bawah 1,000 undi.

Antaranya Serkam 79 undi, Pengkalan Batu (131), Duyong (200), Tanjung Bidara (364), Gadek (530), Durian Tunggal (559), Paya Rumput (629), Pantai Kundor (827), Rembia (860), Klebang (876) dan Machap Jaya (938).

Begitu juga kerusi dimenangi PN di Bemban hanya majoriti 328 dan Sungai Udang (53). Bagaimanpun lima kerusi dikuasai PH majoriti agak selesa iaitu lebih 1,000 undi. PH menang bergaya di Dun Kota Laksamana dengan majoriti 11,494 undi.

Malah, kedudukan Ab Rauf di Dun Tanjung Bidara juga dianggap begitu mencabar kerana memenangi Dun terbabit hanya menang dengan majoriti 364 undi pada PRN lepas.

Ab Rauf meraih 3,559 undi berbanding Dato’ Mas Ermieyati Samsudin dari PN yang mendapat 3,196 undi. Manakala calon PKR Zainal Hasan hanya mendapat 489 undi.

Sebelum ini lima Adun PH di Melaka juga berada di saf penyokong kerajaan dengan mengambil kira teori kerajaan perpaduan. Pembangkang di Melaka ketika itu hanya tiga Adun PN. Adun terbabit iaitu Adun Sungai Undang, Dr Mohd Aleef Yusof; Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Adun Rembia, Dato’ Muhamad Jailani Khamis.

Bagaimanapun sekarang jumlah pembangkang di Melaka bertambah kepada lapan orang setelah lima Adun PH menarik sokongan terhadap Ab Rauf.

Pada 14 Julai lepas Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan empat Adun DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. Adun terbabit iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang); Kerk Chee Yee (Ayer Keroh); Low Chee Leong (Kota Laksamana) serta Leng Chau Yen (Banda Hilir).

Selain itu Adun Bukit Katil, Adly Zahari mewakili Amanah juga dikatakan mengambil langkah serupa. Berdasar perkembangan tersebut BN mempunyai 20 Adun dan pembangkang (8).

Dan bagi menghadapi PRN Melaka ke-16, Ab Rauf masih berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kerajaan negeri tanpa mengguna pakai formula yang dilaksanakan di Negeri Sembilan.

Penyatuan ummah

Penyatuan ummah wajar digerakkan semula bagi menghalang kemaraan PH yang sudah berkubu di lima Dun di Melaka. Kerjasama BN-PN hampir pasti akan menambah kekuatan di 13 kerusi majoriti Melayu yang dimenangi kedua-dua parti pada PRN lepas.

Malah, BN-PN mampu menambah jumlah kerusi kepada 19 di kawasan majoriti Melayu di Melaka. Dan hampir pasti Dun Bukit Katil yang dimenangi Amanah pada PRN lepas boleh dirampas kembali. Ini kerana jumlah pengundi Melayu iaitu 65 peratus berbanding Cina (30 peratus), India (4 peratus) dan lain-lain (1 peratus).

Dun lain yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di Melaka iaitu Kuala Linggi – Melayu (74 peratus) dan Cina (22 peratus); Tanjung Bidara – Melayu (94 peratus) dan Cina (4 peratus); Ayer Limau (91 peratus) dan Cina (4 peratus), Lendu – Melayu (78 peratus) dan Cina (16 peratus).

Selain itu Taboh Naning – Melayu (80 peratus) dan Cina (12 peratus); Rembia – Melayu (67 peratus) dan Cina (19 peratus), Gadek – Melayu (61 peratus) dan Cina (22 peratus); Durian Tunggal – Melayu (69 peratus), Cina (22 peratus) dan India (8 peratus).

Asahan – Melayu (64 peratus); Cina (22 peratus) dan India (11 peratus); Sungai Udang – Melayu (80 peratus), Cina (8 peratus) dan India (3 peratus); Pantai Kundor – Melayu (80 peratus) dan Cina (17 peratus); Paya Rumput – Melayu (62 peratus), Cina (29 peratus) dan India (7 peratus).

Klebang – Melayu (67 peratus), Cina (30 peratus); Pengkalan Batu – Melayu (65 peratus), Cina (28 peratus) dan India (5 peratus); Bukit Katil – Melayu (65 peratus), Cina (30 peratus) dan India (4 peratus); Ayer Molek – Melayu (88 peratus), Cina (7 peratus) dan India (4 peratus).

Duyong – Melayu (61 peratus), Cina (33 peratus) dan India (4 peratus); Telok Mas – Melayu (74 peratus), Cina (23 peratus) dan India (2 peratus); Bemban – Melayu (62 peratus), Cina (21 peratus) dan India (16 peratus); Rim – Melayu (67 peratus), Cina (19 peratus) dan India (13 peratus).

Serkam – Melayu (90 peratus), Cina (6 peratus) dan India (3 peratus); Merlimau – Melayu (70 peratus), Cina (17 peratus) dan India (11 peratus); Sungai Rambai – Melayu (84 peratus), Cina (13 peratus) dan India (2 peratus).

Manakala Dun yang dianggap kubu DAP iaitu Machap Jaya – Melayu (45 peratus), Cina (39 peratus) dan India (14 peratus); Ayer Keroh – Melayu (41 peratus), Cina (49 peratus) dan India (8 peratus); Kesidang – Melayu (37 peratus), Cina (57 peratus) dan India (4 peratus); Kota Laksamana – Melayu (17 peratus), Cina (79 peratus) dan India (3 peratus) dan Bandar Hilir – Melayu (13 peratus), Cina (76 peratus) serta India (5 peratus).

Seorang pemerhati politik Saiful Bahar merumuskan BN wajar diperuntuk 19 kerusi dan PN pula sembilan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka ke-16.

“Agak munasabah dan adil. Umno mempertahankan kesemua kerusi yang mereka menangi pada PRU-14. Dengan formula (13 + 7 + 2) dijangka boleh menghasilkan kemenangan untuk BN dan PN majoriti 22 kerusi,” katanya, seperti dilapor laman berita.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa pula melihat keadaan di Melaka berbeza dengan Johor atau Negeri Sembilan, memandangkan PAS menguasai dua daripada enam parlimen di Melaka. PN menguasai tiga daripada enam parlimen. BN tiada sebarang kerusi parlimen di Melaka.

“Sejak PRU15 PAS Melaka mencatat perkembangan pesat. Puluhan cawangan baru dibuka, dan pertambahan ahli cukup ramai. Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka juga melonjak dan kini dipimpin bekas pemimpin DAP Melaka.

“Parti Wawasan Melaka pula dipimpin oleh ramai mantan pemimpin kanan Bersatu menjadikan PN Melaka cukup padu,” katanya pada lontaran di laman sosialnya.

Bagaimanapun kata Annuar biarpun BN Melaka menguasai Dun, namun selepas PRU15 menyaksikan berlaku kemerosotan besar. Namun, sekiranya PN-BN berpadu tenaga boleh dijangka mampu menguasai sekurang-kurangnya 24 atau 25 daripada 28 kerusi Dun.

“Cabarannya bagaimana menyusun persefahaman yang mantap. Ia tidak boleh menggunakan formula Johor atau Negeri Sembilan. Terserah kepada kebijaksanaan pimpinan BN dan PN mencari satu formula menang, insya-Allah,” ujarnya.  

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng juga melihat kerjasama BN-PN mampu memperoleh majoriti mudah di peringkat persekutuan berdasarkan jumlah kerusi dimenangi pada PRU lalu. Kata beliau formula BN-PN juga berkemungkinan menyapu bersih semua negeri di Semenanjung.

“Jumlah keseluruhan kerusi (Parlimen) yang dimenangi BN dan PN pada 2022 ialah 104. Angka keramat untuk membentuk kerajaan ialah 112. Hanya lapan lagi kerusi parlimen diperlukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Julau, Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *