Cuit Oghe Kito

Teori kerajaan sepenggal makin nyata

Oleh M Faqih |

TEORI kerajaan sepenggal dilihat bukan lagi samar sekarang. Ia seperti mengulangi episod penggal lepas. Selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018, tiada parti lain yang mampu memecah rekod BN.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan BN hanya mampu bertahan kira-kira dua tahun. Kemudian diikuti Perikatan Nasional (PN), juga hanya mampu bertahan dua tahun.

PKR yang mendominasi kerajaan Madani sekarang juga sedang membarah krisis dalaman. Retak menunggu belah mungkin berulang semula menimpa PKR. Manakala Umno dan DAP berentap antara parti.

Krisis PKR memutar semula episod yang berlaku pada Februari 2020. Ketika itu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disingkir daripada jawatan Timbalan Presiden PKR.

Nasib serupa juga menimpa Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. Mereka dipecat keanggotaan parti. Berikutan kemelut itu, 11 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan.

Kumpulan terbabit diketuai Azmin (ahli parlimen Gombak). Diikuti Zuraida (Ampang), Dato’ Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Dato’ Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Dato’ Mansor Othman (Nibong Tebal).

Turut mengambil langkah serupa Dato’ Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dato’ Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Dan hari ini drama enam tahun lepas seperti mahu berulang semula. Kumpulan terbabit juga diketuai bekas Timbalan Presiden PKR.

Dato’ Seri Rafizi Ramli turut disokong tujuh lagi ahli Parlimen PKR iaitu Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Ir Zahir Hassan (Wangsa Maju), S Kesavan (Sungai Siput) dan Tan Kar Hing (Gopeng).

Isunya berkisar isu integriti. Mereka mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggantungkan tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Selain itu mendesak disegera siasatan bebas berkait dakwaan pemilikan saham.

Sebelum itu Azam didakwa terpalit dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing korporat dan mengatur pengambilalihan syarikat.

Digantung tugas

Isu pemilikan saham Azam sebenarnya bukan perkara baharu. Ia pernah muncul sebelum ini. Majlis Presiden PH pada 12 Januari 2022 menggesa Azam digantung tugas bagi memberi laluan siasatan bebas berhubung kontroversi pegangan saham.

Menurut pemimpin DAP, Lim Guan Eng Majlis Presiden PH menggesa Azam serta dua individu lain digantung tugas susulan skandal pemilikan saham yang mencetuskan persoalan integriti.

Ketika itu Azam dikaitkan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad pada 30 April 2015 dianggar bernilai kira-kira RM772,000.

Selain itu, Azam turut dilaporkan memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Isu Azam turut mendapat perhatian Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz juga mahu Azam Baki bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung dakwaan pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat.

“Bagi kami, untuk mengelakkan isu konflik kepentingan, adalah lebih baik beliau bercuti atau digantung tugas,” katanya pada kenyataan.

Nampaknya isu Azam benar-benar mencalarkan imej kerajaan Madani. Ternyata Rafizi dilihat bukan keseorangan. Pelbagai pihak senada dalam isu tersebut.

Maka tidak hairanlah apabila Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar menyifatkan pertembungan terbuka Rafizi-Anwar sukar dipulihkan.

Dan ia digambarkan berpotensi menjadi ‘bom jangka’ yang boleh menggugat kestabilan PKR. Secara tidak langsung akan menjejaskan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri.

Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-16 (PRU16) tidak lama lagi. Menurut Hisomudin pendekatan keras kedua-dua pihak memperlihatkan tiada ruang perdamaian.

Pertembungan Rafizi-Anwar bukan sahaja berkisar isu saham Azam, sebaliknya sudah jauh menjalar. Biarpun suara Rafizi semakin nyaring, namun beliau masih bernasib baik, belum digantung keahlian PKR.

Pada 1 Mac lepas PKR memutuskan Rafizi kekal sebagai ahli parti selepas meneliti isu surat tunjuk sebab yang dikemukakan terhadapnya sebelum ini.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan parti menerima penjelasan Rafizi dan menegaskan beliau masih berstatus anggota parti.

Kemelut politik negara yang semakin membengkak sekarang turut menarik perhatian tokoh wartawan negara Dato’ A Kadir Jasin.

Beliau meluahkan tidak faham bagaimana kerajaan cuba menggambarkan keluarga Almarhum Tun Daim Zainuddin mahu tumbangkan kerajaan Madani.

Kata beliau sekarang bukan pembangkang yang ancam hendak jatuh kerajaan tetapi keluarga Almarhum Daim dan agensi berita ekonomi Bloomberg.

Media asing

“Apa yang terjadi kepada Dato’ Seri Najib Razak akibat pendedahan Wall Street Journal akan berulang dengan laporan Bloomberg?

“Najib jatuh kerana media massa dalam dan luar negara dedah skandal 1MDB. Lagi kuat Najib dan konco-konconya kutuk Wall Street Journal dan ambil tindakan terhadap pengkritik, lagi orang ramai nak tahu.

“Bloomberg tulis pasal kartel dan mafia korporat dalam bahasa Inggeris. Hari ini lebih banyak laporan dan bahas dalam bahasa Melayu. Maksudnya, daripada cerita korporat bertukar jadi isu politik,” katanya pada catatan di laman sosial.  

Pada 12 Februari lepas, Bloomberg memapar laporan penyiasatan mengenai Azam, di mana saksi dan mangsa menceritakan pegawai SPRM bersekongkol dengan ‘mafia korporat’ untuk mengambil alih secara paksa pemilikan syarikat awam tersenarai.

Laporan itu susulan pendedahan Azam memiliki berjuta-juta saham syarikat tersenarai bernilai kira-kira RM800,000. Ia disifatkan melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.

Malangnya di sebalik kebimbangan pelbagai pihak, perdana menteri memilih strategi mempertahankan Azam. Sebelum ini jawatan Azam di SPRM dilanjutkan tiga kali sejak Anwar terajui Putrajaya.

Bagi meredakan kemarahan pelbagai pihak, Anwar memberitahu menubuh ‘jawatankuasa khas’ untuk menyiasat dakwaan mengenai pemilikan saham Azam.

Sebaliknya pelbagai pihak mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan jawatankuasa khas menyiasat kaitan Azam dengan individu yang dikenali sebagai ‘mafia korporat’.

Manakala pihak polis pula dilapor menumpu perhatian kepada Bloomberg dengan membuka siasatan jenayah fitnah di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Pada 2024 Bloomberg dilapor pernah memetik sumber SPRM, ada arahan Azam mengecualikan bekas pembantu perdana menteri daripada sebarang siasatan rasuah berkait pembelian saham. Laporan tersebut turut mendedah ada arahan siasatan terhadap Dr Mahathir dan tiga anaknya serta Daim.

Berdasar lambakan isu berkisar Azam, Farhash dan keluarga Daim, ia membayangkan petunjuk teori kerajaan sepenggal tidak mampu disembunyikan lagi. Ditambah pula protes jalanan yang menuntut Azam ditangkap. Protes tersebut dimanfaatkan Rafizi dengan bantuan Zahir, Wong Chen dan Nik Nazmi bagi meraih laba politik.

Pada ucapan di himpunan terbabit, Rafizi bimbang sikap kerajaan terus mempertahankan Azam menjadi asbab rakyat turun ke jalanan. “Kalau kamu masih mempertahankan Azam Baki, ini bukan cinta Azam Baki semata-mata, ini juga berkait dengan Anwar,” kata Rafizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *