Gelanggang Rakyat

RUU: Kerajaan tidak cukup 2 undi

Oleh Salmah Mat Husain |

TINDAKAN kerajaan tidak menghiraukan desakan pembangkang supaya menambahbaik Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal menyebabkan RUU itu gagal mendapat sokongan majoriti.

Malah, sebelum itu pembangkang menyatakan pendirian ‘bersetuju dengan bersyarat’, namun desakan tersebut tidak dihiraukan kerajaan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menjelaskan keputusan undian di Dewan Rakyat semalam sebagai bukti kegagalan kerajaan mendapatkan sokongan dua pertiga.

Kata beliau setiap pindaan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Undian yang dijalankan semalam menyaksikan RUU itu hanya mendapat sokongan 146 Ahli Parlimen. Speaker ketika mengumumkan keputusan memaklumkan 44 Ahli Parlimen berkecuali manakala 32 tidak hadir,” katanya pada kenyataan.

Kerajaan bercadang mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun bagi mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat.

Syahir memberitahu selepas cadangan balas pembangkang tidak diendahkan, mereka mengambil keputusan untuk tidak mengundi atau berkecuali.

Kata beliau antara perkara yang dibangkitkan pembangkang termasuk Perkara 159(5) dan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kemuliaan, kebesaran dan kekuasaan Raja-Raja.

Selain itu, Perkara 43(2) berhubung budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik seorang perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Pembangkang juga berhujah sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, tugas perdana menteri dan menteri kewangan wajar diasingkan.

“Bagaimanapun ketika sesi penggulungan hujah tersebut ditolak dan menteri memaklumkan pindaan dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan serta dengan penghormatan terhadap institusi Raja-raja,” katanya.

Ketika pengundian kehadiran ahli parlimen blok kerajaan dilihat penuh termasuk perdana menteri, timbalan merdana menteri serta menteri-menteri.

Namun, selepas kertas undi dikira dan diumumkan Speaker menyebabkan penyokong kerajaan terdiam seketika kerana kerajaan tidak cukup dua undi untuk mencapai majoriti dua pertiga.

Difahamkan terdapat lapan ahli parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir, menyebabkan kerajaan gagal memperoleh 148 undi seperti yang diperlukan.

Syahir menjelaskan pembangkang melaksanakan peranan semak dan imbang di parlimen, manakala tanggungjawab memastikan kehadiran Ahli Parlimen kerajaan terletak di bahu kerajaan.

“Tugas kerajaan memastikan semua ahli parlimen mereka hadir, namun selepas kerajaan kalah undi, tiba-tiba pembangkang yang dipersalahkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *