Cuit Oghe Kito

Tatakelola tenggelam dalam arus ‘mafia korporat’

Oleh M Faqih |

APA nak jadi? Sejak menerajui negara pada November 2022 Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah beratus kali bercakap tentang rasuah dan tatakelola.

Awalnya ramai yang yakin terhadap kesungguhan PM. Pada Februari lepas sekali lagi Anwar mahu tindakan tegas dalam usaha memerangi rasuah walaupun berdepan tentangan dan serangan balas.

Sebaliknya, apabila menyentuh isu serupa melibatkan individu tertentu, Anwar tiba-tiba berlainan nada. Katanya, rakyat tidak harus terburu-buru menghukum, sebaliknya memberi ruang kepada proses siasatan yang telus dan adil.

Boleh lihat dakwaan isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki. Sedangkan pada 11 Mac lepas dilancar buku yang menghimpunkan koleksi ucapan Anwar.

Buku itu bertajuk ‘Amanat Integriti dan Tatakelola: Malaysia Madani’. Buku terbabit dilancarkan di Angkasapuri Kota Media mengandungi 30 teks ucapan Anwar berkaitan integriti dan tatakelola.

Malangnya, di sebaliknya usaha memerangi rasuah dan tatakelola, media antarabangsa terus menghidu babak-babak rasuah di Malaysia. Antaranya Bloomberg dan terbaharu media berpangkalan di Singapura, channelnewsasia.com (CNA).

Mafia korporat

Bloomberg mendedah komplot korporat mafia sejak Februari lalu. Kes itu disifatkan berprofil tinggi berkaitan skandal mineral Sabah. Malangnya isu tersebut tiada kesudahan. Sepi biarpun dokumen bukti ditampilkan.

Bloomberg turut mendedah berkaitan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Nama Azam dikatakan muncul dalam laporan yang mengaitkan pegangan saham dengan syarikat di bawah rangkaian Victor Chin Boon Long.

Bagaimanapun Azam menafikan dan bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dakwaan tersebut. Bloomberg merupakan media kewangan bertaraf dunia.

Dan terbaharu pula didedah seorang ahli perniagaan mendakwa membayar RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkaitan usaha ‘menyelesaikan’ isu rangkaian yang digelar mafia korporat.

Sehubungan itu Perikatan Nasional (PN) memandang serius terhadap dakwaan tersebut. Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.

Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan wang diberi untuk tujuan mendapat campur tangan politik dalam urusan korporat.

“Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan kerajaan. Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang,” katanya pada kenyataan hari ini. 

Baru-baru ini penganalisis politik Lim Sian See mendakwa skandal membabitkan syarikat tersenarai, NexG semakin memuncak dan menjadi isu besar berkaitan integriti pentadbiran negara.

Kata beliau NexG menerima pelbagai projek besar kerajaan tahun lalu dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3 bilion. Malangnya berlaku perebutan kawalan ke atas syarikat terbabit dikatakan melibatkan pertembungan antara kawan lama dan kawan baru PM.

“Ada dakwaan kuasa AMLA serta institusi penyiasatan dan pengawalseliaan kerajaan dipergunakan untuk menekan pihak lawan sejak setahun lalu,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu CNA melaporkan PM dikatakan mengarahkan ‘Ikon Muda’ supaya menghentikan usaha merebut syarikat itu bagi mengelakkan satu lagi kontroversi besar meletup.

Namun, Ikon Muda menafikan laporan CNA dan mengugut mahu mengambil tindakan saman terhadap media Singapura terbabit.

Mr R

Di tengah kemelut tersebut tiba-tiba Ahli Parlimen Sungai Buloh Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menafikan beliau dinamakan dalam laporan media asing mengenai mafia korporat berkaitan RM9.5 juta yang dibayar kepada seorang Ahli Parlimen.

Ahli parlimen terbabit yang juga Naib Presiden PKR tampil setelah disebut sebagai seseorang yang bernama Mr R didakwa menjadi pengantara dengan Victor Chin.

Manakala bekas Timbalan Presiden PKR pula mendakwa beliau menjadi mangsa ketika sidang media Ramanan berkaitan polemik siapa Mr R.

Kata Dato’ Seri Rafizi Ramli, pada 24 Mac, Victor Chin menghantar dokumen mengandungi 40 mukasurat dan dokumen sokongan memperincikan kronologi krisis perebutan NexG bermula.

Disebut juga nama-nama yang terlibat dan dakwaan tentang bagaimana institusi penguatkuasaan didakwa ada peranan ‘merampas’ NexG oleh satu kumpulan yang dipanggil mafia korporat.

Isu tersebut panas apabila Victor Chin mendakwa membayar RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR pada Oktober 2025. Bayaran dibuat boleh menyelesaikan tekanan yang dihadapi oleh agensi penguatkuasa.

“Ada beberapa orang ahli parlimen PKR yang namanya bermula dengan R. Saya sendiri, Rodziah Ismail, R Yuneswaran dan Ramanan. Namun saya dan Rodziah hanya tweet secara berseloroh yang R itu bukan kami,” ujar Rafizi.  

Kumpulan mana dimaksudkan mafia korporat. Ada pihak menyebut sekumpulan peniaga Cina yang berkuasa dalam korporat dan syarikat senarai awam.

Perebutan syarikat

Perebutan pemilikan syarikat yang mendapat tender kerajaan bukan perkara baharu. NexG dahulu dikenali sebagai Datasonic Group Bhd.

Namun, kali ini didedah secara terbuka selepas berdepan dengan tindakan pihak berkuasa. Victor Chin pada kenyataan media sebelum ini mendakwa lebih 500 yang ada kaitan dengan dirinya dibeku akaun.

Isu pokok terhadap kemelut yang berlaku itu mungkin agak sukar direlai kerana jawatan PM dan Menteri Kewangan berligar pada individu sama.

Hakikat itu turut diakui Prof Emeritus Edmund Terence Gomez yang pernah mencadangkan reformasi paling utama iaitu memisahkan jawatan PM dengan Menteri Kewangan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menegaskan kenyataan itu selaras dengan pendirian Ahli Parlimen PN ketika perbahasan pindaan had tempoh 10 tahun jawatan PM.

“Ironinya, hari ini segala reformasi yang diuar-uarkan kerajaan menemui jalan buntu. Malah, keadaan menjadi meruncing dengan pendedahan Victor Chin, figura utama dikaitkan korporat mafia oleh Bloomberg,” katanya pada kenyataan.

Syarikat NexG Bhd dilapor mendapat kontrak projek MyKad dan passport berjumlah RM2.4 bilion. Ramai bimbang kewujudan komplot korporat mafia yang mengambil alih (takeovers) syarikat melalui kaedah intimidasi terhadap pihak tertentu sehingga mereka menjual saham pada harga rendah.

“Persoalannya, bagaimana Malaysia akan keluar daripada polemik dan tuduhan salah laku berprofil tinggi? Nampaknya ia mustahil selagi ada ‘giant’ yang masih berkuasa. Bahkan ada dukungan pembiayaan politik di sebaliknya yang menjadikan mereka sangat kebal dan wicked problem,” ujarnya.

Suruhanjaya Siasatan Diraja

Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung pula menyifatkan skandal ‘mafia korporat’ terus memuncak tidak seharusnya ditangani dengan sikap berlengah.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjalankan siasatan menyeluruh yang bebas dan telus.

“Hanya melalui penubuhan RCI, proses siasatan dapat dijamin bebas daripada sebarang tekanan politik, sekali gus memastikan kebenaran dapat dibongkar dan fakta sebenar dapat dipulihkan. Lebih-lebih lagi apabila kes ini kini melibatkan wakil rakyat kerajaan, tiada alasan untuk kerajaan terus menangguhkan atau menolak penubuhan RCI,” ujarnya.

Pada kenyataan itu beliau menyifatkan kegagalan kerajaan menubuh RCI akan menimbulkan persepsi kerajaan cuba melindungi rakan seperti yang didakwa terlibat.

Menurutnya juga skandal ‘mafia korporat’ mempunyai kaitan yang meluas, bukan sahaja melibatkan individu tertentu, malah berkemungkinan menyentuh sistem operasi dan proses membuat keputusan kerajaan.

Beliau turut mencabar DAP menyatakan pendirian khususnya sama ada masih komited untuk memperjuangkan penubuhan RCI.

“Sikap DAP berdiam diri hanya akan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat sama ada prinsip anti-rasuah dan akauntabiliti yang selama ini diperjuangkan telah mulai goyah,” ujar Yee Fung.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS menggesa SPRM dan PDRM menjalankan siasatan secara menyeluruh, bebas dan telus tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“PN menggesa kerajaan khususnya kepimpinan PKR supaya memberi penjelasan segera, selain bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan. Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah serta salah guna kuasa,” ujarnya.

PN akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan tidak akan teragak-agak membawanya ke parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.

Kata beliau integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu. Ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani.

Jelaslah tatakelola dan integriti bukan sekadar catatan di dalam buku, namun perlu diterjemah dalam pentadbiran kerajaan. Inilah disebut orang kampung, cakap serupa bikin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *