Cuit Oghe Kito

Parti mana ulangi nasib Semangat 46

Oleh M Faqih |

SETELAH PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, ramai bertanya apa pula nasib Perikatan Nasional (PN) selepas ini. Sebaliknya, Bersatu pula mulai mengasak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin PN.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Afif Bahardin tanpa berselidung dilapor menggambarkan PN memerlukan seorang pemimpin yang boleh melihat jauh ke hadapan.

Selain itu, kata beliau mengurus perbezaan dengan hikmah dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat. Benarkah begitu? Sedangkan sebelum ini begitu ramai pemimpin Bersatu disingkir sehingga parti itu mulai mengempis.

Berikutan kenyataan itu, Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS Nazrul Nazir mencabar Bersatu menyingkirkan PAS daripada PN.

“Pengerusi PN dari PAS. Ketua Pembangkang dari PAS. Majoriti Ahli Parlimen PN dari PAS, yang dari Bersatu pun hampir semua hang dah pecat. Nak tendang PAS dari PN? Go on! Kalau rasa kuat silakan,” cabar Nazrul di media sosialnya.

Muhyiddin tidak dinafikan merintis pengorbanan besar apabila mufarakah daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020.

Keputusan itu dicapai melalui mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Ia juga menyaksikan semua Ahli Parlimen parti tersebut keluar daripada gabungan berkenaan.

Hadiah

Keberanian Muhyiddin akhirnya dihadiahkan jawatan Perdana Menteri melalui Langkah Sheraton selepas kerajaan PH tumbang.

Bagaimanapun nasib malang menimpa Bersatu ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 2025. Kekecohan berlaku semasa Muhyiddin menyampaikan Ucapan Dasar Presiden.

Sebelum itu pemilihan Bersatu pada 2 November 2024 Muhyiddin kekal sebagai presiden dan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin menang tanpa bertanding Timbalan Presiden.

Naib Presiden Bersatu yang menang iaitu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Dato’ Dr Radzi Md Jidin dan Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee. Manakala Dato’ Seri Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung.

Berikutan perubahan struktur Bersatu menyebabkan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 11 Disember 2024 melantik Azmin sebagai Setiausaha Agung, manakala Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Ketua Penerangan. Selain itu Dato’ Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.

Hamzah pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN. Bagaimanapun selepas PAT 2025, Bersatu bergolak sehingga akhirnya Hamzah dan penyokongnya ‘ditendang’ daripada parti terbabit.

Kemelut yang melanda Bersatu tidak dapat dinafikan terkena tempias kepada PN. Muhyiddin tiba-tiba mengumum meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Berikutan itu beberapa kali Mesyuarat Majlis Tertinggi PN dijadualkan diadakan bagi melantik pengerusi baharu. Mesyuarat beberapa kali dianjak ke tarikh lain.

Akhirnya Muhyiddin hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari 2026. Menteri Besar Terengganu Dato’ Ir Dr Samsuri Mokhtar dipersetujui dilantik sebagai pengerusi baharu PN. Kemudian pada 14 Mac 2026 Ketua Whip PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Azmin.

Singkir MB

Banyak kerenah yang dibiarkan berlaku dalam PN tanpa tindakan tegas parti komponennya. Paling ketara dakwaan wujud akuan bersumpah (SD) bagi menyingkirkan Mohd Sukri Ramli sebagai menteri besar Perlis.

Lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS dilapor menyerahkan SD kepada Raja Perlis bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.

Peristiwa yang berlaku itu menyebabkan PAS Pusat mengambil tindakan tegas. Pada 25 Disember 2025 Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu PAS mengambil tindakan tegas terhadap tiga Adun parti itu kerana melanggar disiplin jemaah.

Tiga Adun PAS terhenti keahlian kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti. Mereka iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

PAS turut menggesa Bersatu mengambil tindakan tegas terhadap lima Adunnya yang didakwa menandatangani SD untuk menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Sebaliknya, lima Adun Bersatu selamba sahaja, tidak dikenakan sebarang tindakan. Apapun Bersatu mendapat laba politik apabila Adun mereka dilantik menteri besar dan anggota-anggota Exco.

Wibawa Bersatu tercalar lagi Mei lepas apabila dua Adunnya di Negeri Sembilan tiba-tiba mengubah pendirian dengan mengambil sikap berkecuali serta menarik balik sokongan dalam kemelut penyingkiran Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Adun terbabit iaitu Ridzuan Ahmad (Gemas) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu). Sedangkan sebelum itu mereka bersama tiga Adun PAS menyokong tindakan 14 Adun BN menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Langgar

Maka mengambil kira timbunan kes perlanggaran setia kawan politik, maka tidak salah PAS mengambil pendirian menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Langkah politik itu dijangka akan membuka ruang kepada pembentukan kerjasama baharu PAS dengan Gerakan Reset yang diketuai Hamzah serta parti-parti Melayu lain.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) mendakwa punca utama yang menyumbang kepada keretakan hubungan PAS-Bersatu berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perlis.

“Selain itu tindakan disiplin yang dikenakan terhadap pemimpin-pemimpin Bersatu daripada kem Hamzah,” ujarnya.

Kini PN memasuki era baharu. Sekiranya Bersatu berkeras mahu jawatan pengerusi dikembalikan kepada Muhyiddin, PN Plus dijangka muncul. PN+ mungkin membabitkan penggabungan parti komponen sedia ada dan Gerakan Reset.

Malah, pembentukan PN+ difahamkan antara perkara yang disyorkan Majlis Syura Ulama PAS bagi menyatukan orang Melayu-Islam. Seandainya Bersatu memilih berada di luar PN+, parti itu dibimbangi mengulangi nasib serupa pernah menimpa Parti Melayu Semangat 46.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *