Gelanggang Rakyat

Tanpa wang tiada rawatan?

BARU-baru ini seorang pemuda memberitahu keluarganya perlukan segera wang berjumlah RM15,000 bagi membolehkan bapanya yang tidak sedarkan diri akibat pendarahan di kepala mendapat rawatan segera.

Wang sebanyak itu dikatakan diminta pihak pengurusan hospital di tengah malam. Hendak cari duit sebanyak itu sudah tentu begitu sukar. Wang di bank pun tidak boleh dikeluarkan sehingga RM15,000 menggunakan mesin wang automatik (ATM).

Habis itu hendak cari wang di mana? Sedangkan pesakit perlu menjalani rawatan segera. Masa sudah terlalu suntuk. Keluarga terbabit dirundung kebingungan. Akhirnya terpaksa meminta ihsan daripada waris waras.

“Sekiranya wang deposit tersebut tidak dijelaskan, rawatan segera tidak dapat dijalankan oleh doktor pakar,” luah seorang anak ketika menceritakan situasi yang menimpa ayahnya.

Bapanya tidak sedarkan diri selepas tekanan darah dikatakan naik mendadak. Rawatan awal di sebuah hospital lain mengesan ada darah beku di kepala. Dan darah beku tersebut perlu dikeluarkan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Akhirnya hasil bantuan waris terdekat, wang deposit RM15,000 dibayar segera di awal pagi. Tidak lama kemudian pemuda itu memberitahu, rawatan dilakukan doktor pakar bagi mengeluarkan darah beku di kepala bapanya.

Isunya, bagaimana kalau melibatkan pesakit miskin. Usahkan hendak cari RM15,000 nak kumpul RM5,000 dalam tempoh begitu singkat amat sukar.

[aruslebir – nak selamat nyawa pun kena bayar deposit]#

Kad pesara

Kes seumpama itu bukan pertama kali berligar dalam masyarakat. Tiga tahun lepas seorang pesara memberitahu beliau mendapat rawatan segera ketika menghadapi masalah jantung kerana ada kad pesara.

Kata beliau, seorang pesakit warga emas lain yang juga mengalami masalah jantung ditunda beberapa kali sebelum menjalani pembedahan kerana tiada wang deposit.

“Kad pesara rupa-rupanya seakan menjadi penyelamat nyawa ketika terlantar di hospital,” kata pesara terbabit.

[aruslebir – Beruntung bekas penjawat awam]#

Bayar deposit dulu

ISU seperti di atas sudah acap kali diviral. Ada netizen yang menggunakan nama Cik Nik Jasmin turut mendedahkan isu serupa.

Catatan di laman sosialnya. “Doktor cakap, pembedahan boleh diteruskan.. tapi bayarannya perlu dibuat dahulu. Itulah saat yang takkan dilupakan oleh seorang pesakit bila diberitahu kos pembedahan mencecah RM35,000.

“Lebih mengejutkan beberapa skru yang perlu dipasang pun dah bernilai RM6,000! Ramai tak tahu, walaupun di hospital kerajaan, kos untuk implant seperti skru atau besi tetap perlu dibayar sendiri.

“Alhamdulillah, lepas usaha kumpul duit berjaya, barulah pembedahan dapat dijalankan dengan selamat. Tapi bayangkan kalau masa tu tiada simpanan, tiada perlindungan… Apa pilihan yang ada? Kisah itu dikongsi laman sosial Warga Taman Putra Perdana, Puchong.

[aruslebir – nasib malang orang kampung]#

Jangan buat lupa

LAMAN sosial lain pula memberi ingatan. Kos perubatan yang perlu dibayar ketika mendapat rawatan di hospital meliputi kos servis dan berkaitan yuran konsultasi, pendaftaran, caj harian wad, bayaran x-ray, ujian darah dan lain-lain.

Di hospital kerajaan bayaran RM1 bagi yuran konsultasi. Namun, anda perlu membayar antara RM30 hingga RM250 bagi perkhidmatan yang sama di hospital swasta.

Bagi kes pendaftaran kemasukan ke hospital, perlu dibayar antara RM15 hingga RM35 di hospital kerajaan. Manakala di hospital swasta, yuran kemasukan wad antara RM500 hingga RM2,000.

Atau 6 hingga 10 peratus daripada kos keseluruhan rawatan. Pesakit yang ditahan di wad hospital kerajaan perlu membayar caj bilik wad antara RM3 hingga RM120 sehari bergantung kepada kelas wad.

Bagaimanapun di hospital swasta antara RM80 hingga RM300 sehari, bergantung kelas wad. Itu tidak termasuk rawatan lain seperti x-ray, ultrasound, ujian darah, CT scan dan MRI.

[aruslebir – tiada yang percuma sekarang]#

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *