2,000 solat hajat tuntut keadilan

Oleh Aslani M |
MENURUT laporan media Thailand, lebih 2,000 penduduk menunaikan solat hajat bagi memohon perlindungan serta keadilan buat Ahli Parlimen Kawasan 5 Narathiwat, Kammolsak Leewamoh yang menjadi mangsa cubaan bunuh.
Pada kejadian pada 20 Mac lepas, Kamonsak, 59 terselamat dalam cubaan bunuh kira-kira jam 1 pagi di hadapan rumahnya di Mukim Bacho, Daerah Bacho.
Bagaimanapun media melaporkan seorang anggota polis Sarjan Polis Harirak Heemmina, 43, dan pemandu, Uchalam Kohloh, 55, cedera parah terkena beberapa das tembakan.
Kamonsak yang lebih dikenali sebagai Wan Johan seorang pengamal undang-undang dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand.

Beliau juga terkenal sebagai peguam kumpulan pejuang pembebasan Patani terbabit dalam kes melibatkan undang-undang. Kejadian yang menimpa Wan Johan menurut media tempatan merupakan kali kedua.
Wan Johan turut hadir pada perhimpunan di Padang Tadika Cempako, Daerah Bachok, Narathiwat pada pagi semalam.
Hadir sama ulama, guru-guru agama, guru pondok, wanita, belia dan wakil masyarakat sivil. Kehadiran mereka sebagai solidariti terhadap pemimpin yang lantang memperjuangkan hak rakyat di Patani.
Wartani melaporkan ulama yang mengimami solat hajat menegaskan insiden serangan terhadap seorang wakil rakyat menggambarkan tahap keselamatan di kawasan Selatan Thailand semakin membimbangkan.
Keadilan

Oleh itu beliau mahu pelaku dan dalang di sebalik serangan tersebut segera dibawa ke muka pengadilan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
Wan Johan pada ucapan di perhimpunan tersebut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Saya tidak akan berundur. Apa pun yang berlaku, saya akan terus berjuang bersama rakyat,” katanya dalam nada sebak, seperti dilapor Wartani. Berikutan itu orang ramai datang memeluknya sebagai memberi sokongan moral terhadap pemimpin terbabit.
Wartani juga melaporkan tokoh agama, Dr Muhammad Cuwo menyifatkan insiden cubaan membunuh wakil rakyat mencerminkan masalah struktur dalam sistem keadilan dan pentadbiran negara.
Pada perhimpunan tersebut juga pemimpin masyarakat yang hadir mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan iaitu menuntut siasatan telus dan boleh diaudit.

Selain itu, tindakan terhadap dalang di sebalik serangan, menghentikan amalan diskriminasi dan komitmen kerajaan menegakkan keadilan.
Manakala pada perkembangan berkaitan Wartani melaporkan wartawan terkenal, Thapanee Ietsrichai menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada 17 April lepas.
Beliau menuntut siasatan terhadap dakwaan operasi maklumat (IO) yang didakwa menyebarkan fitnah dan serangan terhadap pengamal media di media sosial. Memorandum tersebut diserahkan di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan di Yala.
Keselamatan

Menurutnya penyebaran maklumat berunsur fitnah berpotensi mencetuskan kebencian, mengancam keselamatan individu serta menjejaskan proses damai di Patani.
Aduan tersebut turut merujuk kenyataan Thai Journalists Association pada 15 April lalu yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan wartawan, selepas Thapanee mengemukakan soalan kepada Panglima Wilayah 4 berhubung kes tembakan terhadap Ahli Parlimen Narathiwat.
Thapanee meminta siasatan dilakukan bagi mengenal pasti penglibatan mana-mana agensi kerajaan atau keselamatan, khususnya di bawah struktur keselamatan wilayah.
Thai Journalists Association turut membela wartawan terbabit dengan menegaskan petugas media mempunyai hak untuk mengajukan soalan kepada pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka.
“Mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera menghentikan amalan tersebut demi memastikan media dapat berfungsi secara bebas, selamat serta menyumbang kepada pengurangan konflik di selatan Thailand,” lapor laman Wartani.
